Inspirasi

“Kalau nak ikut jejak, ikutlah dengan cara betul, bukan ambil jalan pintas!” Noraniza Idris kecewa produk diciplak

Share

Dalam diam membina legasi perniagaan dengan penuh kasih dan dedikasi, penyanyi dan usahawan tersohor Noraniza Idris tidak menyangka produk muruku viral keluarannya, Che Ani Premium, menjadi mangsa peniruan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menyifatkan tindakan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap nilai usaha dan integriti, Noraniza meluahkan rasa kecewa apabila mendapati produk tiruan berlabel ‘Cik Annie’ meniru hampir sepenuhnya identiti jenama asal miliknya daripada reka bentuk pembungkusan, warna, tipografi hinggalah kepada nama yang sengaja dipesongkan sedikit.

“Saya berusaha membina jenama ini dengan penuh kasih dan komitmen. Bila ada yang meniru secara terang-terangan, ia bukan sekadar menciplak rupa produk .tapi menciplak perjuangan saya sebagai wanita yang gigih mencari rezeki halal,” ujarnya tegas.

“Kalau Nak Ikut Jejak, Ikutlah Dengan Cara Yang Betul”

Lebih memeritkan, produk tiruan tersebut didapati dijual secara runcit di kedai-kedai kampung dengan harga jauh lebih rendah, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan setia Che Ani Premium.

Perkara ini terbongkar selepas satu video tular di TikTok memaparkan pengarah urusan Che Ani Premium, Afiq Haikal, membuat tinjauan ke sebuah kedai yang menjual produk tiruan itu.

“Saya dapat panggilan daripada kenalan, katanya ada muruku seakan-akan jenama kami dijual RM5 sepek. Bila kami buat tinjauan sendiri, ternyata hampir sebiji rekaannya. Tapi pemilik kedai enggan beri kerjasama,” kata Afiq dalam nada kecewa.

Perjuangan Diteruskan, Rasa Tetap Dijaga

Walaupun terpalit isu peniruan, Noraniza tidak berundur. Malah, beliau komited untuk memperbaiki kualiti produk dan merancang perubahan besar dalam pembungkusan dan bentuk muruku keluarannya.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/datuk-rosyam-pesan-jangan-buat-wakaf-dosa-menfitnah-kalau-netizen-nak-buli-memang-tak-kisah-pun-ia-tak-jadi-kudis/

“Kami sedang merancang tukar bentuk muruku dan rekaan pembungkusan baharu. Tapi buat masa ini, kami perlu habiskan dahulu baki 10,000 unit stok sedia ada,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa meskipun bentuk asal iaitu jejari panjang dikekalkan buat sementara waktu, rasa dan kualiti tetap unggul seperti selalu.

“Kami akan pastikan rasa lebih sedap dari sebelumnya. Rezeki yang datang dengan cara yang bersih dan jujur, insya-Allah akan terus diberkati,” tambah Noraniza.

Sempena ulang tahun kedua Che Ani Premium yang bakal disambut pada Julai ini, syarikat tersebut akan mengadakan promosi istimewa untuk para pelanggan setia. Antaranya, pembelian Set Kotak Warisan akan menerima 1 pek percuma perisa kari, terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Rosmah Idayu