Wanita tak boleh pandang remeh tentang aurat. Andai tak malu pada diri sendiri pun, tolonglah malu kepada Pencipta di bulan yang mulia ini.
Dan sebelum melangkah keluar dari rumah, lihat lah diri di depan cermin seketika. Adakah pakaian itu cukup melegakan mata orang lain yang memandang?
Jangan kata cukuplah jaga kubur masing-masing, sebab ini teguran ‘manis’ untuk ke syurga bersama-sama. Nah, cuba baiki apa yang silap sebelum ini melalui perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini tentang aurat.
Aurat Ketika Keluar Solat
Wahai muslimat, andainya kehadiranmu ke masjid untuk solat tarawih berjemaah itu dengan memakai pakaian yang tidak patuh syariat, memakai kain tanpa ada seluar panjang di dalam, tanpa stokin, aurat kaki-lengan terdedah sewaktu melintas kawasan muslimin, kemudian apabila naik motor tersingkap kain menampakkan aurat betis hingga tersipu pak imam mengalihkan pandangan,
Maka sebenarnya, lebih afdal kalian bersolat di rumah kerana bimbang kebaikan dan pahala ibadah kalian ‘disapu bersih’ oleh kejahilan dan terlepas pandang kalian dalam hal yang wajib.
IKLAN
Menutup aurat, menjaga maruah diri kalian adalah hal wajib yang sangat berat. Jangan sekali ambil mudah.
Islam tak pernah menghalang keterlibatan wanita di tempat awam, tetapi wajib menjaga batasan, menutup segala pintu aib dan fitnah. Sekiranya kalian tidak mampu, eloklah duduk diam-diam di rumah.
Aurat Di Tempat Awam
Begitu juga dengan pergi ke tempat awam yang ramai muslimin seperti di bazar dan pasar Ramadan. Jika tak mampu menjaga aurat, menghindari wangian yang terlalu menusuk dan memelihara maruah sebaiknya tunggu sahajalah bapa atau suami pulang ke rumah, pesan sahajalah apa menu yang berkenan di hati kepada mereka.
IKLAN
Wanita, pesanan ini kerana sayang. Mungkin silap suami tidak tegur, bapa tidak tegur kerana malas hendak bertengkar dengan wanita-wanita mereka yang degil dan jahil.
Kita ini jangan cakap kita dah tua, dah beranak berderet maka, tiada siapa pandang. Maka, kita bermudah-mudah dengan hal menjaga aurat.
IKLAN
Nanti Amalan Puasa Sia-sia
Tudung singkat, baju ketat, seluar menampakkan bentuk kaki, stokin tidak dipakai, yang hamil ke tempat awam dengan aurat bentuk perut terlalu menonjol. Astaghfirullah. Semua dosa ini dikhuatiri hanya akan menjadikan amalan puasa kita yang berpenat lelah itu sia-sia.
Wahai diri…
Sekiranya kita tak malu dengan manusia, malulah kepada Allah. Malulah kenapa dalam bulan mulia syaitan diikat pun kita masih tak mampu mentaati syariatNya?
Ya Allah, ampuni kejahilan dan kedegilan kami.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak ayah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak mahupun cucu-cucu. Namun lumrah setiap anak pastinya mempunyai karakter dan pencapaian yang berbeza.
Inilah sebenarnya ujian terbesar buat mak ayah agar dapat berlaku adil tidak membeza-bezakan kasih sayang dan layanan buat mereka. Tiada istilah anak kesayangan mahupun anak tak guna pada anak-anak. Semuanya perlulah dilayan sama rata.Kerana waktu akan datang kita tidak tahu, anak manakah yang paling menyumbang bakti dan jasa pada kita di hari tua.
Jemput baca perkongsian Muhammad Hassan ini sebagai panduan kita.
Hargai depan mata.
Ada seorang pakcik berusia 61 tahun kena serangan stroke. Makcik agak uzur juga,selalu sakit lutut. Boleh dikatakan setiap 2-3 bulan kami akan bertemu. Hubungan kami agak rapat dan saya seronok dengar nasihat demi nasihat dan kisah kejayaan anak anak pakcik ini.
Cuma ada seorang anak yang ke 3 dari 7 adik beradik hanya kerja kampung dan jaga kebun sawit sahaja. Bagi mereka anak ini tidak setaraf dengan yang lain.
Yang lain semua kerja di bandar-bandar besar sebagai guru, pegawai di
putrajaya, pensyarah, askar, polis dan perkapalan.
Beri Kasih Sayang Sama Rata
Pakcik ini beri nasihat yang takkan saya lupa sampai bila bila.
Jika kamu ada anak ramai,beri kasih sayang mereka sama rata,jangan pilih kasih!
Pakcik dan makcik buat silap besar. Kami pandang rendah kepada anak ke 3 yang kerja kampung tu. Kadang kadang dia akan jadi bahan ketawa adik beradik yang lain. Disebabkan dia sumbing,masalah pembelajaran sejak kecil,maka dia selalu diabaikan.
Bila semua anak anak pakcik balik kampung,dialah yang selalu kami lupa nak jemput. Kadang kadang anak anak dia kami tak layan macam cucu cucu lain. Kami lebihkan cucu cucu yang jauh.
Jika masak sedap sedap,kami akan masak apabila yang lain balik sahaja. Ayam itik,kambing dialah yang jaga,tapi jika disembelih buat makan,kami lupa dia dan cucu.
Sedangkan,selang beberapa buah rumah dari rumah kami masih ada cucu cucu yang tagihkan kasih sayang nenek dan atuk.
Sehinggalah suatu hari pakcik kena serangan stroke. Semua anak anak yang lain tak dapat nak jaga,semua pakat tarik diri dengan pelbagai alasan. Akhirnya yang ke 3 inilah setiap hari datang ke ward,angkat pakcik ke tandas,basuh berak kencing pakcik.
Anak Sentiasa Ada
Sekarang kami baru sedar,betapa dia sentiasa ada bersama kami walaupun selalu ‘dipulaukan’, selalu diketawakan. Sikit pun tak mengeluh mahu pun kecewa. Tapi pakcik tahu,dia makan hati dengan layanan kami selama ini. Pakcik menangis minta maaf diatas layanan terhadap dia selama ini.
Sahabat. sedarlah hari ini. Kadang kadang yang depan mata ini selalu kita abaikan,selalu kita tidak hargai.
Peluk dan ciumlah anak anak kita. Curahkan kasih sayang terhadap mereka tidak kira apa kelebihan dan kekurangan mereka. Yang pasti mereka ada ada hati untuk disayangi dan dicintai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah renungkan kembali bagaimana layanan kita pada anak-anak. Jangan terlintas sedikit pun untuk ‘pilih kasih’, membeza-bezakan perhatian dan kasih sayang kita baik pada anak-anak, menantu mahupun cucu.
Rabu ini bersamaan 31 Januari 2018, rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan satu fenomena ‘Supermoon’ atau fenomena gerhana bulan penuh. Yang mana, gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.
Ini yang dicatatkan dalam laman web rasmi Planetarium Negara “Fasa gerhana akan bermula dari 7:48 malam hingga 11:11 malam manakala Fasa Gerhana Penuh pula akan bermula dari 8:51 malam sehingga kemuncak pada jam 9:29 malam dan tamat pada jam 10.07 malam. Gerhana Bulan juga dikenali sebagai “Bloodmoon” kerana warna gerhana yang kemerahan.
“Pada malam tersebut, Bulan dikenali sebagai “Bluemoon” kerana ianya merupakan bulan penuh kali kedua pada bulan Januari 2018. Bulan penuh yang kedua di dalam bulan yang sama dikenali sebagai “Bluemoon”.
“Pada ketika itu juga, Bulan dikenali sebagai “Supermoon” kerana Bulan berada paling hampir dengan Bumi.
Gabungan ketiga-tiga fenomena dikenali sebagai “Super Blue Blood-Moon”. Fenomena pada malam tersebut pernah berlaku pada tahun 1866 iaitu kira-kira 152 tahun yang lalu.
Sebagai umat Islam di negara ini, amat disarankan agar mak ayah bukan sekadar menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh. Malah lakukanlah juga solat sunat gerhana.
Bila Perlu Solat Sunat Gerhana Bulan
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pada tarikh itu, bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada jam 7.09 petang, kira-kira 10 minit sebelum waktu matahari terbenam.
“Di Malaysia, solat sunat boleh dilakukan sebaik tompokan hitam mula kelihatan kira-kira jam 7.49 malam dan berlarutan sehingga gerhana berakhir, kira-kira jam 11.12 malam.
“Solat sunat gerhana ini adalah sunat muakad yang amat dituntut. Jadi diharapkan umat Islam bersama-sama memanfaatkan peluang yang ada ini untuk melihat fenomena ini.
“Sekali gus dapat melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan ALLAH S.W.T dan memanfaatkannya dari segi rohani dan kajian saintifik.
Ini Tatacara Solat Sunat Gerhana Bulan
Apa Perlu Dilakukan Semasa Berlakunya Gerhana Bulan Penuh Ini
Selain melakukan solat sunat gerhana bulan, mak ayah boleh lakukan perkara sunat yang lainnya. Ini yang disarankan:
1. Melihat gerhana dengan perasaan takut kerana Allah.
2. Melaksanakan solat jika berjaya melihat gerhana bulan penuh dari tempat mak ayah berada.
3. Bertakbir, tahmid dan tahlil.
4. Berzikir dan beristighfar.
Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al-‘Ala berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Buraid bin’ Abdullah dari Abu Burdah dari Abu Musa berkata, “Ketika terjadi gerhana matahari, Nabi ﷺ berdiri dengan tergesa-gesa seolah akan terjadi hari kiamat. Baginda lantas mendatangi masjid dan solat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang paling panjang, yang pernah aku lihat dari yang Baginda pernah lakukan. Kemudian Baginda bersabda: “Inilah dua tanda-tanda yang Allah hantarkan, ia (gerhana) tidak berlaku kerana hidup atau matinya seseorang, tetapi ‘(Dia, Allah menakutkan hamba-hambaNya dengannya)’ (Qs. Az Zumar: 16). Maka jika kamu melihat sesuatu padanya (gerhana), maka segeralah untuk mengingat Allah, berdoa dan minta keampunan.” (HR Bukhari – 999)
5. Berdoa. Di antara doa yang sering dibaca terutama ketika khutbah atau selepas solat sunat gerhana ialah:
6. Mengeluarkan sedekah.
7. Membantu orang yang mengalami masalah dan kesukaran.
8. Melakukan amalan-amalan yang membawa keredhaan dan dapat mendekatkan diri kepada Allah Taala
Apa Yang Jadi Ketika Fenomena Gerhana Bulan Penuh
Ketika fenomena ini berlaku, zon bayang pusat bumi (umbra) ketika ini mengunjur sejauh 1.4 juta km pada arah yang sama dengan orbit bulan, sedangkan jarak bumi ke bulan ketika ini sejauh 360, 000 km.
Bulan yang beredar dengan halaju relatif 3,400 km perjam akan mula memasuki zon bayang pusat bumi (umbra) kira-kira jam 7.49 malam dengan bayang bumi kelihatan mula menyentuh sisi sebelah bawah permukaan bulan.
“Secara perlahan-lahan tetapi boleh kelihatan dengan jelas, bulan purnama ini bertukar menjadi ‘sabit’ sehinggalah mencapai kegelapan penuh kira-kira sejam selepas itu menandakan permulaan fasa gerhana bulan penuh.
“Fasa gerhana bulan penuh ini akan berlangsung selama kira-kira 1 jam 16 minit, sehinggalah jam 10.08 malam apabila bulan mula keluar dari kawasan zon bayangan umbra. Ketika ini, bulan kelihatan bercahaya semula sedikit demi sedikit sehingga keseluruhan jasad bulan cerah semula kira-kira jam 11.12 malam.
Di beberapa tempat dalam negara, akan mengadakan program solat maghrib berjemaah diikuti aktiviti pencerapan dan solat sunat gerhana.
Cuti sekolah kali ini, kebetulan jatuh hari lahir anak. Mak-mak mesti ‘super excited’ nak raikan hari bahagia mereka. Tapi bajet tak berapa nak ada, sebab bukan murah nak beli barang-barang ‘party’ hari jadi.
Ada cara yang mak-mak boleh buat. Walaupun cuma idea bajet, sebenarnya majlis hari lahir anak masih boleh diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan.
Suri rumah merangkap ibu anak enam, Zaila Mohamad, berkongsi bagaimana rancang majlis hari lahir anak dengan cara bajet tapi meriah. Ini idea yang Puan Zaila dipraktikkan:
Ada kawan bertanya “Macamana eh kau buat majlis, sudahlah masak sendiri lepas tu ada anak kecil lagi?”. Maka, aku pun terfikir untuk kongsikan tips untuk menganjurkan majlis harijadi versi budget. Biasalah, buat sekadar untuk suka-suka gembirakan anak-anak. Buat majlis budget ni jangan ada protokol sangat dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada seperti makanan tidak cukup atau makanan terlebih (yang ni takpe, boleh simpan dalam peti dan esoknya makan sampai lebam).
1. Pilih Tarikh
Ok pertama sekali kena pilih tarikh yang sesuai. Bila dah pilih tarikh tu dah boleh mula merancang menu, deko-deko sikit dan tempahan kek.
2. Ikut Bajet
Kalau sudah namanya majlis ‘budget’ maka janganlah berangan nak lantik ‘party planner’ untuk majlis ini. Semuanya perlu disiapkan sendiri. Kalau tak nak rasa duit habis sedebuk, apakata barangan seperti goodies anak-anak, barang untuk deko-deko tu beli awal-awal.
Boleh beli di fanpage Barangan Parti Harijadi. Sebab kat situ harga boleh tahan murah-murah dan kebanyakan tema kartun seperti Avengers, Frozen, Pokemon, Ultraman, Cars dan macam-macam lagi pun ada.
Lepas tu sediakan ‘budget’ untuk kek juga sebab kalau majlis harijadi takde kek tak bestlah kan. Kalau nak jimat boleh buat sendiri tapi kes aku ni Husna nasihatkan “mama beli aje sebab mama tak pandai buat kek“. Ha.. ha.. ha.. Untuk majlis ini aku tempah sebiji kek seberat 2kg, kalau beli kek kecil pastikan beli 2 biji atau lebih. Nanti tak cukup kesian pula tetamu.
Untuk beli bahan-bahan mentah tu peruntukan dalam RM200 dan RM100 untuk beli barangan seperti pinggan mangkuk plastik, cawan, sudu garfu dan plastik sampah. Sebenarnya tak sampai pun kalau tahu beli di tempat yang murah.
3. Menu Mudah Sedia
Selalunya majlis harijadi orang akan buat waktu petang jadi boleh sediakan pasta seperti makaroni goreng atau bihun goreng atau mee goreng tapi aku derhaka haritu sediakan menu nasi kerabu dan kue teow goreng. Maklumlah nasi kerabu ni “all time faveret” bila buat makan-makan mesti ada menu ini. Sihat lagi mudah! Caranya aku siapkan bahan-bahan kering seperti sambal nyior tu pada malam sebelum majlis lagi.
Pada hari kejadian hanya sediakan nasi (masak dengan Noxxa Pressure Cooker 8 min sahaja uols) dan ulaman hiris banyak-banyak terus. Untuk lauk aku beli 2 ekor ayam untuk goreng sahaja. Kata versi budget kan 😛 Untuk anak-anak pula siapkan keropok goreng dan nuget serta air koktel. Budak-budak main je lebih.
Tapi untungnya haritu kakak ipar datang bawakan kuih, ada yang bawa buah-buahan, sosej dan anak-anak buah pula siapkan air minuman detoks, maklumlah kami buat majlis sampai ke malam disusuli dengan bbq bersama keluarga.
Kalau nak bagi mudah, sila buat senarai bahan-bahan mentah dan kering untuk dibeli siap-siap. Jadi bila keluar membeli barangan tu takdelah terambil benda yang tak diperlukan. Ingat, versi ‘budget’ kena ikut ‘budget’ betul-betul.
4. Lokasi, Rumah Sendiri Saja
Lokasi tu sudah semestinya rumah sendiri lah kan, jangan berangan pula nak buat di hotel atau kolam renang atau dewan (kecuali kalau ada orang yang sponsor). Jadi, pastikan kerusi dirapatkan dan ada ruang kosong untuk anak-anak duduk bersila.
Meja untuk letak kek pun jangan letak sekali dengan meja makanan nanti serabut. Maklumlah zaman sekarang orang ada buat “candy buffetlah apa” tapi aku tak buat pun.
Hanya sekadar buat dekorasi belakang tabir bertemakan Avengers dengan belon dan ada kek sahaja. Kan versi budget, bukan versi artis.
5. Mental Dan Fizikal Kena Kuat
Mental dan fizikal kena bersedia. Kalau majlis harijadi ni sudah tentulah kita nak bahagiakan anak-anak jadi sediakan goodies untuk mereka. Kalau boleh kurangkan bagi gula-gula tapi pilihlah makanan yang sihat. Aku bagi keropok TAM-TAM (hehe takdelah sihat mana tapi teringat kenangan waktu sekolah dulu mesti beli keropok ini). Oh pastikan plastik sampah beli yang besar dan letak di mana-mana aje kerana mesti akan terdapat sampah merata-rata.
6. Goodies Bag Untuk Kanak-kanak Riang
Kalau buat majlis di rumah sudah tentunya kebersihan memang perlu dititiberatkan juga. Bagi aku, selepas siap masak tu pastikan basuh terus periuk atau kuali dan jangan tinggalkan di dalam sinki. Nanti bila tetamu mula datang dan percayalah sinki kita akan penuh dengan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh tetamu.
Lagi satu pastikan juga kain lap yang bersih disediakan, ini penting apabila terjadinya air tumpah atau sisa kuah tumpah atas lantai atau meja. Kalau boleh sisa makanan kering dibuang dalam plastik sampah dan sisa makanan basah tu kena asingkan dan cepat-cepat buang bagi mengelakkan dari berbau.
Apabila tetamu dah pulang, mula-mula tarik nafas dulu dan perlahan-lahan kemaskan dapur, basuh bekas-bekas makanan dan mop lantai. Kalau tak larat, tidur dulu baru kemas esoknya.
Ada Ketika Majlis Tak Berjalan Seperti Yang Dirancang
Dalam menganjurkan majlis memang kita tak boleh lepas dari melakukan pelbagai kesilapan tapi anggap itu sebagai dugaan dalam ingin menggembirakan hati orang. Memang terasa penat tapi satu kepuasan apabila tetamu datang dan pulang dengan perut yang kenyang (kalau hak tak makan tu mereka dietlah tu).
Insya-Allah semoga diberikan rezeki duit, masa dan tenaga untuk menganjurkan majlis lagi. Tak semestinya kena buat “grand” tapi cukuplah sekadar semampu mungkin dan ikhlaskan diri untuk membahagiakan insan yang tersayang.
Sumber: Zaila Mohamad
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak syurga berusia 2 hari meninggal, saluran pencernaan bengkak selepas diurut nenek. Tidak semua pandangan orang lama boleh diikuti meskipun ramai mendakwa terlebih dahulu...