
Kakak sulung pernah meraung bila dengar lagu Achik Spin di pasar raya -“Kalau lagunya dimainkan di radio, terus saya tutup.” Sudah 15 tahun pemergian penyanyi terkenal, Allahyarham Achik Spin, namun kenangan terhadap adik tersayang itu masih terpahat erat dalam hati kakak sulungnya, Nurul Azua Md. Shari.
Kakak Sulung Pernah Meraung Dengar Lagu Achik Spin Di Pasar Raya – “Kalau Lagunya Dimainkan Di Radio, Terus Saya Tutup”
Peserta Kilauan Emas musim kelapan (KE8) yang juga merupakan seorang guru sambilan berusia 46 tahun itu mengakui masih gagal menahan sebak setiap kali terdengar lagu dendangan adik kelimanya itu, yang pergi buat selamanya pada tahun 2010 akibat kemalangan jalan raya.
“Saya reda tetapi setiap kali dengar nyanyian Achik terus timbul rasa hiba, malah kalau lagunya dimainkan di radio terus saya tutup. Pernah di sebuah pasaraya lagunya diperdengarkan, saya terus meraung.
“Sampai sekarang pun saya elakkan (dengar) hingga ada yang bertanyakan perkara ini. Bukan tak nak dengar, cuma saya memang sedih. Tak boleh langsung,” luah Nurul Azua ketika ditemui pada sidang media KE8 yang berlangsung di Hotel Summit USJ.
Menurutnya lagi, ikatan kekeluargaan yang sangat erat antara sembilan adik-beradik termasuk arwah menjadikan kehilangan tersebut sukar dilupakan, lebih-lebih lagi kerana dia turut memainkan peranan besar dalam membesarkan mereka.
“Ini kerana kami sembilan beradik sangat akrab. Dulu emak kerja ikut shift, jadi saya jaga adik-adik di rumah. Masa umur enam tahun saya dah pandai masak. Kiranya sayalah kakak, sayalah ibu,” tambahnya.
Allahyarham Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari menghembuskan nafas terakhir pada 17 April 2010 akibat kemalangan di Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), yang menyebabkan kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Semasa hayatnya, Achik bersama kumpulan Spin mencipta fenomena sekitar era 90-an dan awal 2000-an menerusi lagu-lagu popular seperti Janji Kita, Kasih Ibu, Malam Semakin Dingin dan Mengusung Rindu.

Sumber: Kosmo Online
Baca artikel lain juga: Sewa Rumah Baru, Buka Akaun Bank, Caprice Bantu Pasangan Warga Emas Uzur
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI