
Sebanyak 53,245 pasangan Islam di seluruh negara disahkan bercerai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurut statistik dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM).
Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan bilangan tertinggi dengan 10,774 kes, diikuti Johor (6,078), Kedah (4,582), Perak (3,908) dan Kelantan (3,820).
Sementara itu, Sabah mencatat 3,810 kes, Pahang (3,767), Terengganu (3,647), Wilayah Persekutuan (3,397), Negeri Sembilan (2,679), Sarawak (2,233), Pulau Pinang (2,026), Melaka (1,793) dan Perlis (731).
Ketua Pengarah JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain, berkata jumlah berkenaan merangkumi kes perceraian yang telah disahkan oleh Mahkamah Syariah, dan tidak termasuk kes yang masih dalam proses permohonan.
Beliau menjelaskan bahawa jenis kes perceraian yang direkodkan melibatkan permohonan lafaz cerai di depan hakim sebanyak 31,845 kes, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah (15,972), taklik (1,257), fasakh (4,090) serta tebus talak (81).
Menurutnya, JKSM mengenal pasti lima punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian pasangan Islam, termasuk kelalaian dalam tanggungjawab rumah tangga dan penglibatan dalam jenayah.
“Antara punca lain adalah kegagalan suami atau isteri menunaikan tanggungjawab masing-masing, termasuk gagal memberi nafkah (bagi suami), bersikap kasar atau mendera serta menghilangkan diri, tiada persefahaman, masalah kewangan atau curang,” katanya yang juga Ketua Hakim Syarie.
Mohd Amran berkata, dalam setiap kes permohonan perceraian, mahkamah tetap berusaha memastikan hubungan suami isteri dapat diselamatkan melalui proses mediasi atau perdamaian (sulh).
“Setiap permohonan perceraian akan disaring mengikut peruntukan undang-undang Islam, termasuk di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
“Mahkamah akan menilai asas permohonan dan melihat sama ada ia memenuhi syarat hukum syarak. Dalam banyak kes, mediasi dijalankan dahulu, jika berjaya, pasangan boleh berdamai. Jika tidak, barulah mahkamah mengesahkan perceraian melalui lafaz yang sah,” katanya.
Susulan kadar perceraian pasangan Islam yang tinggi, Mohd Amran mencadangkan agar kursus lanjutan selepas perkahwinan diwujudkan bagi memperkukuh institusi kekeluargaan dan mengurangkan risiko perceraian dalam kalangan pasangan Islam.
“Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun pertama perkahwinan, pasangan disaran mengikuti kursus lanjutan mengenai keibubapaan dan pengurusan rumah tangga, termasuk larangan terhadap gurauan yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa JKSM kini memperkukuh peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), yang berperanan memberi penerangan mengenai hak-hak pasangan, bantuan undang-undang serta pendedahan umum melalui sesi lapangan.
Katanya, usaha itu turut melibatkan pelajar universiti bagi tujuan latihan dan kesedaran terhadap isu-isu kekeluargaan dalam masyarakat.
Sumber: Berita Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE