
Julia Farhana beruntung Dr Che Hafiz sentiasa disisi. Walaupun jadual hariannya padat dengan pelbagai komitmen, pelakon dan pengacara Julia Farhana membuktikan bahawa keharmonian rumah tangga tetap menjadi keutamaan dalam hidupnya. Menggalas tanggungjawab sebagai isteri, anak seni, usahawan serta pelajar bukanlah satu tugas mudah, namun Julia percaya keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi perlu sentiasa dijaga.
Menurut Julia, dia dan suaminya, Dr Che Hafiz, sentiasa berusaha meluangkan masa bersama walau sesingkat mana pun. Baginya, masa berkualiti yang diisi dengan perbualan, sokongan dan saling memahami amat penting dalam membina keserasian hidup berdua.
“Kesibukan itu pasti, tetapi kami cuba untuk sentiasa ada antara satu sama lain. Sokongan suami memberi kekuatan kepada saya untuk terus melangkah dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.
Sambung Julia lagi walau sesibuk mana jangan abaikan pasangan dalam hubungan suami isteri.
“Suami merupakan seorang yang sangat menghargai setiap hubungan bukan saja dengan isteri malah dengan keluarga serta kawan-kawannya. Saya sangat beruntung dengan kehadiran suami disisi. Apatah lagi saya sendiri sibuk dalam kerjaya dan juga sebagai pelajar,” luah Julia yang begitu bahagia disisi suami tercinta.
Julia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak di Dewan Kem Tentera Sungai Buloh anjuran Rejimen 502 Askar Wataniah Negeri Selangor baru-baru ini. Majlis tersebut turut disertai oleh suaminya sendiri, yang merupakan seorang doktor estetik.
Sepanjang acara berlangsung, Julia dilihat setia menemani Dr Che Hafiz, sekali gus memperlihatkan hubungan pasangan suami isteri yang saling memberi galakan dan sokongan dalam apa jua keadaan. Kehadiran mereka bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menjadi contoh pasangan moden yang menghargai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Sambutan Hari Kanak-Kanak tersebut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghiburkan kanak-kanak serta pengunjung yang hadir. Program ini turut membuka ruang penyertaan kepada masyarakat awam, sekali gus menjadi medium yang baik untuk mengeratkan hubungan kemasyarakatan antara warga tentera dan bukan tentera.
Bagi Julia, penglibatan dalam program kemasyarakatan seperti ini memberi makna tersendiri, apatah lagi apabila dapat berkongsi masa bersama suami sambil menyumbang kepada masyarakat.
Dalam kesibukan mengejar impian dan kerjaya, Julia Farhana membuktikan bahawa wanita mampu mengimbangi pelbagai peranan dalam hidup, asalkan disertai dengan sokongan, kefahaman dan kasih sayang yang berterusan.