
Harga Makanan RM1
Tak masuk akal, tetapi harga makanan RM1 memang wujud di kedai makan ini! Kalau peniaga lain terpaksa menaikkan harga makanan akibat kos bahan mentah yang semakin meningkat, namun tinggal wanita yang di Kampung Raja, Kelantan ini tetap setia menjual kebanyakan menu pada harga hanya RM1 sejak hampir 10 tahun lalu.
Aminah Awang, 58, berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan golongan kurang berkemampuan, pelajar dan keluarga yang mempunyai ramai anak masih mampu menikmati makanan panas dengan harga berpatutan.
Idea ini dicetuskan anak keduanya bagi menyediakan hidangan murah terutamanya buat pelajar sekolah.
Antara menu yang dijual pada harga RM1 ialah mi sup, bihun sup, kuetiau sup, nasi air, sosej bakar, ABC dan Air Batu Jagung.
Walaupun murah, setiap hidangan tetap lengkap dengan sayur dan isi ayam.
Menurut Aminah, keuntungan bukan keutamaan. Baginya, melihat pelanggan dapat menikmati makanan yang mengenyangkan dengan harga mampu milik sudah cukup membahagiakan.
Kisah kedai makan ini turut tular di media sosial selepas video mengenai menu RM1 meraih lebih sejuta tontonan, sekali gus menjadikan kedainya antara destinasi pilihan pelanggan dari dalam dan luar Kelantan.
Sumber: Berita Harian