
Rencana ALLAH tiada siapa yang tahu apabila dua rakan sekolah yang terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh selepas kedua-duanya kematian pasangan dua tahun lalu. Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa takdir Allah itu indah dan penuh kejutan.
Lebih menarik lagi, Zul A’ini Ariffin, 58, telah dilamar suaminya Alias Yahaya, 58, di tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah dan kemudian mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.
Mereka kini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, Seremban.
Menceritakan pertemuan semula dengan suaminya, Zul A’ini berkata, mereka bertemu semula pada tahun 2019 di Baling, Kedah ketika menghadiri majlis kenduri seorang kawan lama.
“Saya dan suami sebenarnya pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga, tapi terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah Sains.
“Kawan-kawan sekolah mula berhubung semula selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 dan saya terserempak dengan suami tiga tahun kemudian dalam satu majlis kenduri kawan kami di Kedah, ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu berlalu begitu sahaja kerana ketika itu dia masih berstatus isteri orang sehinggalah arwah suaminya meninggal dunia dua tahun lalu akibat kencing manis.
Menurut Zul A’ini, dia terdetik untuk menghubungi Alias selepas diberitahu seorang rakan bahawa isteri lelaki terbabit telah meninggal dunia akibat penyakit yang sama.
“Memandangkan kami saling mengenali, saya mesej dia di aplikasi TikTok, ucap takziah dan menasihatinya supaya tidak berterusan bersedih.
“Saya juga baru kehilangan suami dan sejak itu kami mula berkawan,” katanya.
Jelasnya, ketika itu tidak terlintas dalam fikirannya untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya, tambahan pula dengan usianya yang sudah lebih 50 tahun. Namun selepas beberapa hari berhubung, Alias tiba-tiba bergurau mengajaknya berkahwin.
“Saya anggap gurauan saja, tapi setiap hari dia tak pernah lupa hubungi saya bertanya khabar,” ujarnya.
Dari situ hubungan mereka menjadi lebih rapat. Zul A’ini memaklumkan kepada Alias bahawa dia merancang menunaikan umrah pada bulan Ogos. Alias pula menyatakan hasrat untuk turut serta dan melamarnya di sana.
“Dari situ saya nampak dia memang serius dan telah maklum kepada anak-anak serta adik mengenai perkara itu,” jelasnya.
Pada awalnya, kata ibu kepada empat anak dan enam cucu ini, ada anak-anaknya yang kurang bersetuju kerana bimbang dia dipermainkan. Namun selepas melihat keikhlasan Alias, mereka memberi restu dan kali pertama berjumpa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Sebelum pergi umrah pun kami dah hantar borang nikah dan tetapkan tarikh untuk diijabkabulkan selepas keluarga masing-masing bersetuju.
“Sepanjang di sana, saya banyak berdoa kepada ALLAH agar jika Alias ini baik untuk saya, dekatkanlah kami. Di hadapan Kaabah kami bertunang dengan bersaksikan adik perempuan, sepupu, anak saudara dan mutawif,” katanya.
Selepas 40 hari pulang dari umrah, mereka akhirnya disatukan di Seremban. Zul A’ini mengakui tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi selepas kematian suaminya.
“Selepas suami meninggal, saya memang tak terfikir pun nak kahwin semula. Saya dah rancang untuk duduk di sekolah pondok belajar agama, tapi anak-anak tak izinkan.
“Dengan takdir-Nya, saya bertemu semula dengan Alias yang merupakan rakan lama sekolah. Selepas buat solat istikharah, ALLAH beri petunjuk dan bukakan hati saya,” katanya dengan penuh syukur.
Kisah jodoh tak diduga ini membuktikan bahawa setiap perpisahan dan pertemuan telah diatur indah oleh Allah, dan cinta sejati sentiasa akan menemukan jalan pulangnya.
Sumber: Sinar Harian Sinar Harian 1 dan Berita Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE