
Di sebalik jadual kerja yang padat, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar membuktikan bahawa peranan sebagai seorang bapa tidak boleh dipinggirkan. Bagi Sheikh Muszaphar kehadiran, perhatian dan hubungan emosi dengan anak-anak adalah pelaburan paling berharga.
Beliau percaya anak-anak yang membesar dengan sokongan emosi dan kasih sayang akan lebih bersedia menghadapi dunia luar dengan keyakinan serta nilai yang betul.

Tidak Letakkan Tekanan Pada Anak-Anak
Ungkapan ini bukan sekadar kata-kata motivasi, sebaliknya menjadi prinsip hidup dan pegangan keibubapaan Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Syukor dalam membesarkan anak-anaknya. Bagi figura yang berjaya dalam kerjaya dan kehidupan ini, kejayaan sebenar seorang ibu dan ayah tidak diukur pada pencapaian diri semata-mata, tetapi sejauh mana anak-anak mampu melangkaui batas kemampuan generasi sebelumnya.
Menurut beliau, melahirkan anak yang ‘lebih hebat’ bukan bermaksud meletakkan tekanan atau memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan. Sebaliknya, ia tentang menyediakan asas yang kukuh sejak usia kecil agar anak membesar dengan nilai, ilmu dan jati diri yang kuat.
Dato’ Dr Sheikh Muszaphar ditemui sempena majlis pelancaran ibu pejabat baharu Keedsflix di Puncak Alam, Selangor, yang turut meraikan pencapaian pembukaan lebih 300 cawangan tadika Keedsflix di seluruh negara.
Dr Halina Jadikan Pendidikan Untuk Anak-Anak Teras Utama Dalam Kehidupan
Berkongsi tentang prinsip pendidikan dalam keluarganya, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata. Bersama isteri, beliau menjadikan pendidikan sebagai teras utama dalam kehidupan anak-anak, merangkumi aspek intelek, emosi, sosial dan rohani.
Mereka turut menetapkan ‘standard’ serta indikator tertentu dalam tumbesaran dan pencapaian anak-anak, bukan untuk membandingkan, tetapi sebagai panduan agar perkembangan anak sentiasa seimbang dan selari dengan nilai yang ingin dibentuk.
Konsep anak mesti lebih hebat daripada saya diterjemahkan melalui bimbingan yang konsisten, komunikasi terbuka dan penerapan nilai sejak usia awal, bukannya tekanan atau paksaan.
Anak Lebih Hebat, Ibu Ayah Perlu Jadi Contoh
Menurut beliau, anak-anak perlu dibimbing untuk mengenali potensi diri, belajar bertanggungjawab dan memahami makna usaha sejak kecil. Nilai disiplin, adab dan empati diterapkan seiring dengan pembelajaran formal agar anak membesar sebagai individu yang seimbang.
Bagi Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, jika ibu ayah mahukan anak-anak menjadi lebih baik, ibu ayah itu sendiri perlu terlebih dahulu menjadi contoh terbaik. Anak-anak belajar bukan hanya melalui nasihat, tetapi melalui pemerhatian terhadap sikap, cara berfikir dan tindakan ibu ayah mereka.
“Kalau kita mahu anak berjaya, kita sendiri kena tunjukkan usaha dan nilai yang betul,” jelas beliau.
Beri Anak Ruang Untuk Mencuba
Beliau juga percaya anak-anak perlu diberi ruang untuk mencuba, melakukan kesilapan dan belajar daripada kegagalan. Di situlah terbentuknya daya tahan mental serta keyakinan diri yang menjadi asas kejayaan jangka panjang.
Apabila anak dibesarkan dengan kefahaman bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses belajar, mereka akan lebih berani mencuba dan tidak mudah berputus asa. Inilah antara nilai penting dalam membentuk generasi yang benar-benar ‘lebih hebat’ dari sudut mental dan emosi.
Mahu Lahirkan Ummah Berjaya
Sebagai pengasas tadika Keedsflix yang kini berkembang pesat, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar melihat pendidikan awal kanak-kanak sebagai kunci utama melahirkan ummah yang berjaya.
“Saya ingin melahirkan ummah-ummah yang berjaya. ,” luah beliau, merujuk kepada generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga kukuh akhlaknya dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.
Usaha memperkenalkan modul pembelajaran bersepadu, pendidikan al-Quran berasaskan pendekatan kontemporari serta inisiatif digital dan animasi pendidikan Islamik membuktikan komitmen beliau dalam merealisasikan “prinsip anak mesti lebih hebat daripada saya” pada skala yang lebih besar.
Bergabung Dengan Isteri Didik Anak-Anak
Di sebalik jadual kerja yang padat, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar membuktikan bahawa peranan sebagai seorang bapa tidak boleh dipinggirkan. Bagi beliau, kehadiran, perhatian dan hubungan emosi dengan anak-anak adalah pelaburan paling berharga.
Beliau percaya anak-anak yang membesar dengan sokongan emosi dan kasih sayang akan lebih bersedia menghadapi dunia luar dengan keyakinan serta nilai yang betul.
Sebagai salah seorang pengasas Keedsflix beliau turut mengumumkan projek usahasama bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan SmartSens.Q bagi membangunkan modul pembelajaran al-Quran khusus untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD).
Melalui pendekatan multisensori, modul ini dijangka membuka dimensi baharu dalam pendidikan awal Islamik yang lebih inklusif, memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Prinsip anak mesti lebih hebat daripada saya” bukanlah tentang persaingan atau perbandingan, tetapi tentang amanah. Amanah untuk menyediakan laluan yang lebih baik, nilai yang lebih kukuh dan masa depan yang lebih cerah buat generasi seterusnya.
Semuanya bermula dari rumah di mana dengan contoh yang baik, sokongan emosi yang konsisten dan pendidikan yang seimbang sejak usia kecil.


Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




