
Jenazah Dr. Ainul
Hari ini jenazah Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak tiba di Masjid Al-Karomah, Kampung Baung, untuk sekali lagi disolatkan.
Van yang membawa jenazah pegawai perubatan itu tiba kira-kira pukul 11.50 pagi dengan diiringi kenderaan polis pengiring sebelum disambut oleh saudara-mara dan penduduk setempat.
Turut mengiringi jenazah ialah suami Allahyarham, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, bapa, Kamarudin Salleh, 69, dan ahli keluarga yang lain.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham dan Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamuddin disolatkan selepas solat Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri pagi tadi.
Solat jenazah diimamkan oleh Penolong Imam Bahagian Miri, Mohamad Ardy Putera Zainudin disertai kira-kira 300 jemaah.
Turut terlibat dalam pengurusan jenazah kedua-dua mangsa ialah Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Rafaee Morshidi.
Selesai solat dan urusan penghormatan terakhir, kedua-dua jenazah akan dibawa ke Kargo Lapangan Terbang Miri untuk proses penghantaran ke kampung halaman masing-masing.
Untuk info, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak pada Selasa lalu.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Ainul Baraah, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Sumber: Kosmo!