
Dalam dunia moden hari ini, ramai wanita terperangkap dalam rasa bersalah, sama ada kerana terlalu sibuk bekerja, atau kerana terlalu banyak menghabiskan masa di rumah. Namun bagi pelakon dan usahawan jelita, Elfira Loy, 31, dia sudah melalui fasa itu dan kini memilih untuk memandang kehidupan dengan lebih tenang dan bererti.

Elfira mengakui, suatu ketika dahulu dia pernah berasa rendah diri apabila membandingkan dirinya dengan wanita lain yang mempunyai pembantu rumah, pemandu atau sistem sokongan yang lebih lengkap.
“Dulu saya selalu rasa, ‘orang lain bolehlah, sebab ada pembantu atau pemandu.’ Tapi bila saya banyak bergaul dengan para ibu, rupanya ramai sangat wanita yang boleh urus semuanya sendiri.
Dari situ saya sedar, saya pun mampu buat perkara sama tanpa perlu bersedih atau mempersoalkan kenapa saya kena buat semua,” katanya jujur dalam satu hantaran di Threads.
Kini, ibu kepada dua cahaya mata ini menjadikan setiap rutin harian daripada mandikan anak, memasak, mengemas, menghantar ke sekolah hingga melipat pakaian sebagai bentuk latihan sabar dan kasih.

Tiada Pembantu Rumah
“Sejak itu saya berhenti mencari pembantu rumah. Saya buat semua sendiri daripada bangun pagi, mandikan anak, siapkan mereka ke sekolah, masak, kemas rumah, hantar dan ambil mereka balik sekolah, sampai lipat baju pun saya buat. Tapi dalam masa sama, saya masih boleh pergi main pickleball, keluar ‘café hunting’ dan bekerja seperti biasa.”
Bagi Elfira, apa yang dilakukan bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya realiti ramai wanita lain di luar sana. Yang membezakan hanyalah bagaimana seseorang itu menyusun masa dan memilih untuk melihat urusan rumah tangga sebagai nikmat, bukan beban.

“Dalam kelompok kawan-kawan saya pun, semua ini perkara biasa. Bukan unik pun. Bezanya, mereka pandai menyusun jadual dan mencari cara untuk mudahkan urusan. Dari situ saya belajar untuk urus hidup dengan lebih teratur,” ujarnya.
Pujian
Ramai netizen memuji kecekalan dan sikap positif Elfira yang dilihat sebagai contoh wanita moden berdikari yang tidak menjadikan kesibukan sebagai alasan, tetapi peluang untuk membina kekuatan diri dan rumah tangga.

Dalam dunia yang sering menilai kejayaan wanita melalui kerjaya atau kemewahan, Elfira mengingatkan bahawa kejayaan sebenar kadang-kadang tersembunyi dalam hal-hal kecil seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, menyiapkan anak ke sekolah, atau memastikan rumah berbau harum selepas dibersihkan sendiri.
Kerana di situlah letaknya nilai seorang wanita, bukan pada siapa yang membantu kita, tetapi pada hati yang ikhlas melakukannya.
Sumber :https://www.kosmo.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!










