
Kulat Dinding
Tolong jangan pandang remeh kulat dinding yang tumbuh, baru-baru ini ada anak 10 Tahun sampai kena tebuk paru-parunya. Ini nak salahkan siapa?
Jika nampak kulat dinding di rumah, anda kena ambil peduli. Ini bukan sekadar mencacatkan pemandangan mata tetapi memberi kesan buruk kepada kesihatan penghuni rumah.
Ramai menganggap masalah ini kecil dan boleh diselesaikan dengan cara mengecat, menggunakan dehumidifier (alat penyahlembap), menyembur cecair pembasmi kuman dan membersihkan dengan cuka.
Tapi hakikatnya, tidak semudah itu untuk menyingkirkan kulat.
Kulat boleh muncul semula jika masalah utama seperti kelembapan, kebocoran atau pengudaraan yang tidak baik tidak diselesaikan terlebih dahulu.
Bayangkan, spora daripada kulat yang yang tidak kelihatan dek mata kasar berterbangan di udara dan disedut setiap hari oleh penghuni kediaman.
Maka tidak hairanlah jika munculnya simptom-simptom seperti batuk berpanjangan, resdung, mata dan hidung kerap gatal serta berair, eczema, asma dan sebagainya yang melibatkan sistem pernafasan.
Paling dibimbangkan, simptom yang dilihat remeh ini sebenarnya boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan lebih serius untuk jangka masa panjang.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang pelayar, @aryna.ariff berkongsi kisah anak kepada rakannya yang terpaksa menjalani pembedahan menebuk paru-paru, dipercayai berpunca daripada masalah kulat di rumah.
“Saya baru je balik melawat anak kawan yang baru lepas buat operation sebab kulat dekat dinding ni.
“Anaknya umur 10 tahun, kena tebuk paru-paru. Sekarang dipantau dekat hospital. Paru-paru dia dah lemah… dah dua kali operation.
“Check lah keadaan rumah masing-masing sebelum memudaratkan kesihatan,” tulisnya.
Jadi anda kena sedar betapa penting setiap penghuni rumah mengambil langkah pencegahan sebelum masalah kulat menjadi lebih serius sehingga membahayakan kesihatan.
Berikut merupakan tip pencegahan yang betul sebagaimana saranan sebuah syarikat pakar kebersihan dan rawatan kulat (mould) bangunan:
1. Pastikan ventilasi bilik cukup
2. Jangan tutup tingkap dan menghidupkan pendingin hawa setiap masa
3. Periksa belakang perabot setiap bulan
4. Jangan abaikan jika sudah mengesan bau hapak dalam bilik
Sekiranya pertumbuhan kulat sudah merebak atau berulang walaupun selepas dibersihkan, sebaik-baiknya dapatkan pemeriksaan dan rawatan yang lebih menyeluruh.
Tidak salah membeli dan meletakkan dehumidifier di dalam bilik, namun ini hanya sesuai sekiranya masalah kulat sudah dibasmi. Jadi, jomlah hapuskan masalah kulat secepat mungkin sebelum memudaratkan kesihatan keluarga tersayang!