
Jalil Hamid Meninggal Dunia
Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita sedih, apabila bintang veteran versatil, Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam, pada jam 12.30 tengah hari tadi, pada usia 69 tahun.
Pemergian Allahyarham Jalil atau nama sebenar, Abdul Jalil Abdul Hamid disahkan anak kelimanya, Afiqah Jalil atau Iqa.
“Ayah meninggal dunia dalam tidur di rumah. Ayah mengalami jantung bengkak.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar, petang ini. Sebelum itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Munawwarah untuk solat jenazah,” katanya.
Menerusi portal Berita Harian, Allahyarham Jalil yang juga anak ketiga daripada lima beradik, dilahirkan pada 25 April April 1957 di Kampung Kuala Masai, Masai, Johor Bahru, Johor. Allahyarham Jalil membesar di Felda Cahaya Baru, Masai, Johor.
Allahyarham Jalil mula bekerja di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada 1976, namun, minat mendalam terhadap seni membawanya mengikuti kursus dalam bidang seni pentas di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1979.
Bakat dan minatnya terhadap dunia seni terus berkembang apabila aktif dalam pelbagai kegiatan seni di Johor.
Pada April 1984, Allahyarham Jalil menyertai Institut Teknologi MARA yang kini Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, dan terus menyumbang dalam bidang seni dan pendidikan.
Allahyarham Jalil banyak menyumbang kepada perkembangan dunia seni tanah air dan pernah meraih anugerah berprestij, termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-13.
Sebelum ini, Allahyarham Jalil dilapor mengakui kesihatan tidak mengizinkan hingga terpaksa melepaskan peluang menunaikan ibadat Haji.
Allahyarham Jalil dilapor berkata, beliau menerima panggilan mengerjakan Haji oleh kakitangan Tabung Haji, tahun lalu, namun, terpaksa melepaskannya berikutan masalah jantung.
Terlalu banyak untuk dikenang bakatnya dalam industri hiburan sepanjang hayatnya. Apa pun, salam takziah buat ahli keluarga arwah dan semoga ditempatkan di kalangan orang beriman dan soleh.