Inspirasi

Jalani 22 Kemoterapi &15 Radioterapi, Graduan Ini Buktikan Semangat Wanita Tak Pernah Patah Walau Sedang Diuji!

Share

Kita tidak pernah tahu beban yang dipikul seseorang, kerana tidak semua luka terlihat di wajah. Ada yang menanggung derita dalam diam, tersenyum di luar namun berperang hebat dalam diri.

Namun, di sebalik kesakitan dan kelelahan itu, ada yang memilih untuk tidak menyerah.  Kisah luar biasa Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim, graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun ini benar-benar menjentik semangat dan inspirasi buat semua wanita sama ada sedang berhadapan ujian ataupun inginkan motivasi untuk merubah haluan hidup.

22 Kemoterapi, 15 Radioterapi

Di usia muda, tatkala rakan sebaya sibuk merancang masa depan, Syahidatunnajwa diuji dengan dugaan yang tidak semua mampu hadapi, iaitu kanser. Penyakit yang bukan hanya mencabar fizikal, tetapi juga menggugat emosi dan keteguhan jiwa. Namun gadis ini memilih untuk melawan.

22 kali rawatan kemoterapi dan 15 sesi radioterapi bukan angka kecil, malah dia masih menjalani rawatan susulan hingga kini. Tetapi di sebalik kelelahan tubuh yang saban hari diuji, semangatnya tetap menyala untuk menyelesaikan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah.

Teguh di Pentas Konvokesyen, Tersenyum Dalam Air Mata

Hari konvokesyen bukan sekadar detik menggenggam segulung ijazah tetapi detik kemenangan peribadi bagi Syahidatunnajwa. Dalam jubah hitam dan topi mortarboard yang tersarung kemas, terselit kisah air mata, kesakitan dan kekuatan yang tidak pernah putus.

Beliau bukan sekadar berdiri atas pentas sebagai graduan, tetapi sebagai simbol harapan dan inspirasi buat semua wanita yang sedang berjuang — sama ada melawan penyakit, cabaran hidup, mahupun tekanan jiwa.

Sumber: TikTok @shafiqalsukri

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Rosmah Idayu