JAIP Sahkan Perkahwinan Kamal Adli & Uqasha Senrose Sah di Sisi Syarak

Share

Isu status perkahwinan pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, akhirnya terjawab apabila Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan bahawa pernikahan mereka sah di sisi syarak.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, JAIP memaklumkan bahawa pasangan tersebut telah dinikahkan pada 4 November 2021, jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, dengan wali mujbir pengantin perempuan yang juga bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.

“Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Ahmad Kamal bin Ahmad Adli (Kamal Adli) telah sah bernikah dengan Nik Zaris Uqasha binti Nik Sen (Uqasha Senrose) melalui persetujuan dan kehadiran wali mujbir, Nik Sen bin Mat Ripin.

Bapa pengantin mewakilkan (secara wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah tersebut,” jelas kenyataan itu.

Majlis akad nikah pasangan selebriti berkenaan dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

Penjelasan Tentang Wali Mujbir

Wali mujbir ialah wali yang mempunyai kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih dara tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu, dengan syarat perkahwinan itu mendapat kerelaan anak dan persetujuan bakal suami.

Terdahulu, nama pasangan ini kembali menjadi perhatian selepas Uqasha mempersoalkan tarikh pernikahan mereka dalam satu hantaran di media sosial, mendakwa tarikh dalam sijil perkahwinan berbeza daripada tarikh sebenar.

Pelakon drama Hati Tanpa Rasa itu mendakwa akad nikah berlangsung pada 5 November 2021, dan menuduh pihak suami serta keluarganya telah memanipulasi tarikh pernikahan.

Namun begitu, hantaran berkenaan kemudiannya dipadam, dan JAIP tampil menjelaskan kedudukan sebenar berdasarkan rekod rasmi.

Sebelum ini, Uqasha dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi tentang hubungan mereka.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu