Kalau mak ayah tak jaga gigi anak, cepatlah rosak dan kena karies gigi. Kadang umur 2 tahun pun gigi dah rongak, kasihan tengok. Sebab ada kes sampai bengkak pipi sebab sakit gigi.
Yang jadi mangsa, anak lah, terpaksa cabut gigi pada usia yang masih awal daripada yang sepatutnya. Dan kesannya, gigi akan bergerak dan menyebabkan gigi kekal tak cukup ruang untuk tumbuh.
Jadi untuk selamatkan gigi anak-anak, mak ayah cuba baca perkongsian Doktor Iqbal Rosali ini. Mungkin masih belum terlambat nak betulkan mana yang silap.
Cara Jaga Gigi Anak
Langkah-langkah terbaik untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum untuk anak masing-masing.
1. Jangan biarkan anak tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan. Walaupun anak sudah tidur dan tidak menghisap lagi, susu tetap akan menitik dan menyebabkan bertakung di dalam mulut. Pengumpulan susu ini boleh merosakkan gigi.
Ads
2. Bersihkan mulut anak 2 kali sehari seperti mana kita menggosok gigi. Gunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi.
Bagi anak yang sudah mempunyai banyak gigi susu, boleh bertukar kepada berus gigi kanak-kanak atau gunakan ‘finger toothbrush’.
3. Perlahan-lahan perkenalkan penggunaan ubat gigi. Anak kecil sudah boleh gunakan ubat gigi mengandungi flourida. Pastikan yang dibeli adalah untuk kanak-kanak. Cuma letakkan ubat gigi dengan saiz sebiji beras. Ia akan lebih mudah dibersihkan dan tidak takut ditelan oleh anak kerana kuantiti yang sangat sedikit.
Ads
4. Anak yang sudah besar sikit (2-3 tahun), pastikan jangan dibiarkan mereka gosok gigi sendiri. Pastikan ibu bapa menolong mereka menggosok gigi.
5. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan, ‘sippy cup’ atau sudu seawal usianya 6 bulan.
6. Bilas mulut bayi anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu atau hidangan ‘solid food’.
Ads
7. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu bayi anda. Malah, elakkan menggantikan dengan apa-apa jenis minuman manis ke dalam botol susu.
8. Jika anak menangis semasa membersihkan gigi, kentalkan jiwa, cekalkan hati. Biarlah mereka menangis seketika itu. Ia tidak akan membawa trauma sepanjang hayat hanya semata-mata membersihkan gigi.
9. Yang paling penting, bawalah anak masing-masing untuk pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh. Kemudian, disusuli pula dengan setiap enam bulan sekali. Pada masa inilah ibu bapa boleh menilai dan muhasabah adakah penjagaan gigi anak selama ini betul dan berkesan.
Semoga bermanfaat buat semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mempunyai anak merupakan anugerah terindah. Apatah lagi anak-anak istimewa yang dijamin syurga. Namun demikian, bila memilih untuk mengambil anak angkat, tidak ramai yang sanggup menjaga anak istimewa seperti Sindrom Down.
Sebelum ini Elyana pernah menyuarakan hasrat hati untuk mengambil anak angkat, setelah dirinya tidak lagi boleh mengandung kerana komplikasi rawatan kanser yang dilalui.
Terbaru, mulianya hati penyanyi Elyana, disebalik menghidap kanser limfoma tahap 4, ibu kepada Cinta Sumayyah ini telah membuat keputusan menjaga dan mengambil anak angkat istimewa yang menghidap Sindrom Down.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31,mengakui telah mengambil seorang anak angkat lelaki penghidap sindrom Down yang diberikan nama ‘Tulus’ sejak sebulan yang lepas.
Elyana,31, yang sedang bertarung dengan kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu memberitahu berita tersebut menerusi laman Instagram semalam.
“Ya, ini anak saya cuma saya tidak melahirkannya.
“Kini umurnya genap sebulan 24 hari. Terima kasih atas doa-doa anda buat saya sekeluarga,” tulisnya menjawab soalan-soalan peminat di Insta Story.
Hasil perkahwinan Elyana bersama suami, Khairul Anuar Husin pada 2010 telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Cinta Sumayyah yang kini berusia tujuh tahun.
Terdahulu, penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu ini mengakui pernah hamil anak kedua namun terpaksa digugurkan kerana komplikasi penyakit kanser yang dihadapinya dikhuatiri akan membahayakan diri dan bayi yang dikandung.
MW: Tahniah buat Elyana kerana berani buat keputusan ambil anak angkat sindrom down. Semoga Elyana semakin sihat dan bayi membesar dengan sempurna, memberi kebahagiaan serta melimpahkan rezeki melimpah ruah buat keluarga.
Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.
Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.
Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.
Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.
ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.
Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.
Persoalan terdetik dalam hati ini kadangkala tanpa sengaja mak ayah akan terbuat juga. Tengok anak orang tantrum depan mata, kita pun berkata-kata sendiri dalam hati ‘kenapalah mak ayah dia tak pujuk’, ‘ini mesti salah asuhan mak ayah’ dan macam-macamlah.
Bak pesan Bonda Nor, Allah itu Maha Mendengar mak ayah. Biar pun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hati, namun bila Allah nak uji, kita akan alami apa yang mak ayah anak tantrum itu alami.
Macam mana nak perbaiki kembali diri? Inilah cara yang Bonda Nor ajar.
Saya mengendalikan satu seminar parenting.
Pasangan muda itu mengadukan kisah si manja mereka yang tantrum. Asyik menangis, menangis, menjerit, mengamuk. Dah buat macam-macam cara. Tak menjadi, katanya.
“Pernah tak dulu rasa rimas tengok anak orang menangis? Pernah tak terdetik kat hati tentang rasa tak puas hati pada mak ayah budak tu?”
Mereka terkejut mendengar soalan saya. Akhirnya, pelan-pelan si suami mengangguk. Pernah. Lalu segera saya menitipkan pesan.
“Banyakkan istighfar. Kalau boleh solat sunat taubat. Kadang ketika hati kita terlanjur menghakimi apa yang jadi pada orang lain, Allah akan bagi kita rasa apa yang dia rasa.”
Saya tak bercakap kosong. Saya berbekalkan pengalaman sendiri.
Satu ketika, seorang anak kecil menangis tak henti-henti. Waktu tu saya letih dan nak tidur. Tangisannya benar-benar mengganggu saya.
Mula-mula saya sabar. Budak menangis? Biasalah. Tapi anak kecil itu terus menangis. Meraung. 15 minit. Setengah jam. Satu jam. Ya Allah. Saya dah mula mengeluh. Rimas!
‘Manalah mak budak ni? Takkan tak boleh nak kawal anak sendiri? Budak je kot!’
Kata-kata yang tak terluah. Cuma keluhan dalam hati.
Selepas itu saya mengandungkan anak keempat. Nah, Allah beri saya rasa apa yang mak budak tu rasa! Kali ini saya dapat anak jenis tantrum. Kalau mengamuk, habis-habisan. Kalau menangis, satu jam pun dia boleh meraung dan mengongoi secara berterusan.
Ketika itulah baru saya tahu bahawa memang ada kes anak menangis yang sukar dikendalikan. Memang ada! Dan segarang-garang saya, sepandai-pandai saya cuba menggunakan segala mak nenek psikologi yang ada, tetap gagal. Tetap tak mampu nak kawal! Astaghfirullah.
Jangan main-main dengan persoalan lintasan hati. Mulut tak ucap pun. Tak ada hati sesiapa yang kita sakitkan pun. Tapi Allah Maha Mendengar. Dan Allah bersedia untuk ‘mengajar’ agar kita cepat tersedar. Pengajarannya besar. Jangan nak rasa diri lebih baik daripada orang! Jangan jadi macam syaitan yang rasa dirinya lebih baik daripada Adam!
Allah.. Allah..
Sungguh sejak peristiwa tu, bila sesekali terdetik rasa tak puas hati dengan orang itu ini, saya cepat-cepat bilas dengan istighfar. Takut nak kutuk orang. Takut Allah balikkan pada diri sendiri. Lintasan hati je pun! Tapi saya dah rasa kesannya. Ya Allah, takutnya! Seksa!
Baru-baru ni saya berbual dengan seorang ‘kakak’ yang saya hormati. Tersentak saya bila beliau menceritakan tentang anaknya yang ditangkap polis kerana kes dadah. Sungguh, saya sangat mengagumi kebaikan dan ketenangannya. Tampak keibuan. Tampak wibawa. Suaminya juga orang hebat. Orang yang dihormati dalam masyarakat.
Tapi anaknya terlibat dengan dadah. Dah beberapa kali ditangkap polis. Ya Allah. Macam mana boleh jadi macam tu?
“Dulu, ada anak kawan akak terlibat dengan dadah. Mak ustazah. Ayah ada PHD. Terdetik kat hati akak, agaknya mak budak ni sibuk sangat sambung belajar ambil master sampai anak-anak terbiar macam tu.
Masa tu, akak sendiri pun sedang teringin nak ambil master. Nak sangat. Tapi akak batalkan. Sebab akak takut anak akak jadi terbiar macam anak dia. Akak ingat bila akak tak ambil master, anak akak baik-baik je. Tapi tak!
Allah tunjukkan pada akak satu pengajaran. Takdir Allah ni jangan kita nak pandai-pandai nak buat kesimpulan sendiri. Jangan kita pandai-pandai nak judge orang itu orang ini. Akak tak ambil master sebab takut anak terlibat dengan dadah macam anak dia. Tapi anak akak sama juga, Menagih juga! Allah…”
Berderau darah saya mendengar ceritanya. Menggeletar jiwa memikirkan betapa Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di fikiran kita.
Kalau hal yang terlintas di fikiran pun kita Allah balas, apatah lagi jika yang kita cakap dengan lepas. Kita tengok orang itu perangai begini dan begini, kita kutuk, kita caci. Hati-hati, terlalu besar potensi untuk keburukan itu berbalik pada diri sendiri!
Cuba kita tengok pasangan kita, anak-anak kita. Apa yang kita tak puas hati dengan dia? Apa masalah dia? Kita duduk diam-diam, kita muhasabah balik diri kita. Kita cuba cari punca. Adakah semua masalah yang berlaku itu ujian atau hukuman?
Takut-takut kesilapan yang dilakukan oleh mereka itu sebenarnya berpunca daripada kejahatan mulut kita sendiri atau pun mungkin pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di dalam hati.
Insya-Allah, sama-sama kita cuci balik semua kesilapan kita dengan banyakkan beristighfar dan solat sunat taubat. Mudah-mudahan Allah terima dan perbetulkan kembali hidup kita.