Dalam sebuah rumah tangga, kehadiran cahaya mata sering dianggap pelengkap kasih sayang. Namun, tidak semua pasangan dikurniakan rezeki itu dengan mudah. Ada yang terpaksa melalui perjalanan panjang dan berliku.
Berjumpa doktor, menjalani rawatan kesuburan, mencuba pelbagai kaedah termasuk inseminasi buatan hingga bayi tabung (IVF). Di sebalik senyuman dan doa yang tak putus-putus, tersimpan air mata, kegagalan berulang, bahkan rasa kehilangan yang menikam jiwa. Namun demi sebuah harapan bergelar ibu dan ayah, mereka terus melangkah, berjuang tanpa mengenal erti putus asa.
Produksi Paragon Pictures tampil dengan sebuah naskhah sarat emosi berjudul Lyora: Penantian Buah Hati yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 September ini.
Filem bertema kekeluargaan ini diangkat daripada novel Lyora: Keajaiban Yang Dinanti karya Fenty Effendy, yang diinspirasikan daripada kisah benar. Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Meutya (Marsha Timothy) dan Fajri (Darius Sinathrya), dalam perjuangan penuh air mata untuk mendapatkan zuriat.
Meutya, seorang wanita bekerjaya yang kian menginjak usia, melalui pelbagai rawatan kesuburan termasuk kaedah bayi tabung (IVF). Namun perjalanan itu bukanlah mudah. Kegagalan, keguguran berulang dan rasa kehilangan mendalam menjadi teman perjalanan mereka.
Meski begitu, semangat pasangan ini tidak pernah padam, kerana bagi mereka setiap cubaan adalah langkah mendekatkan diri pada keajaiban yang dinanti.
Menurut data WHO, 1 daripada 6 pasangan di dunia berdepan masalah kesuburan. Justeru, Lyora hadir sebagai filem keluarga pertama di Indonesia yang berani mengangkat perspektif wanita dan pasangan dalam perjuangan memiliki anak.
Sutradara Pritagita Arianegara menyifatkan karya ini sangat personal. “Saya tahu rasanya menunggu, mencuba dan gagal. Menerusi Lyora
, saya ingin memeluk mereka yang masih berjuang dan mengingatkan bahawa ini bukan perjuangan satu orang saja. Filem ini adalah penghormatan buat mereka yang bertarung dalam diam.”Bagi Marsha Timothy, menghidupkan watak Meutya bukan sekadar lakonan, tetapi satu perjalanan emosional yang mendalam. Dia harus menyelami perasaan seorang wanita yang terpaksa berdepan keguguran berkali-kali, namun tetap teguh berdiri dengan harapan.
“Watak Meutya ini mewakili suara para isteri yang sedang menanti buah hati. Ia seperti surat cinta dan pembakar semangat buat pejuang garis dua. Ia juga mengingatkan bahawa sehebat mana pun seorang wanita, mereka tetap manusia biasa yang ada kalanya lelah, menangis dan memerlukan sokongan,” jelas Marsha penuh emosi.
Darius Sinathrya yang melakonkan watak Fajri pula berharap filem ini membuka mata masyarakat bahawa perjuangan memiliki anak bukan hanya di bahu isteri semata-mata.
“Perjuangan menantikan buah hati bukan beban satu orang. Filem ini membuka ruang diskusi tentang pentingnya peranan suami untuk sama-sama berjuang.”
Selain Marsha dan Darius, Lyora: Penantian Buah Hati turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Widyawati, Aimee Saras, Olga Lydia, Hannah Al Rashid, Ariyo Wahab dan Ivanka Suwandi.
Lyora bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah refleksi tentang keberanian, pengorbanan dan cinta. Ia menyentuh isu yang jarang dibicarakan perjuangan pasangan yang menanti zuriat. Bagi mereka yang pernah atau sedang melalui perjalanan ini, filem ini hadir sebagai pelukan hangat, tanda bahawa mereka tidak berjuang sendirian.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE