
Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, sempat menunaikan solat Maghrib sebelum ditembak 18 das oleh dua suspek yang juga sepupu kepada isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada malam Sabtu.
Ahli keluarga mangsa yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 50, berkata, dia yang kebetulan berada di lokasi kejadian ternampak tangan dari arah atas pagar rumah sebelum dua suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah arwah.
“Ketika kejadian, dua beradik lelaki itu tidak memakai penutup muka, hanya memakai topi.
“Ada bersama di rumah ketika itu ialah isteri dan bapa mentua arwah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada Ahad.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang menembak Mohd Fuad Fahmie adalah sepupu kepada isteri arwah dan mereka saling mengenali. Dua suspek dalam kejadian tersebut dipercayai merupakan abang dan adik.
“Mereka adalah sepupu kepada Wan Fatihah. Sehingga kini, kami belum mengetahui perkembangan terkini sama ada kedua-duanya sudah berjaya ditangkap polis atau belum,” katanya.
“Suami ditembak 18 das depan mata saya.” Demikian luahan isteri kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, iaitu Wan Fatihah Mat Hussin, 35, ketika menceritakan semula detik cemas yang dilaluinya pada malam Sabtu di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand.
Menurut Wan Fatihah yang kini sedang mengandung anak sulung hasil perkahwinannya dengan arwah, semasa kejadian kira-kira jam 6.40 petang waktu Thailand, suaminya sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
“Dua suspek datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol.
“Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arahnya dan sempat memeluk selepas dia rebah.
“Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru sebelum mereka berjalan pergi.
“Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada Ahad.
Wan Fatihah memberitahu, suaminya ditembak pada bahagian tubuh, leher dan beberapa bahagian lain.
Ujarnya, jumlah 18 das tembakan itu disahkan selepas selesai urusan bedah siasat mayat dijalankan.
Dia berkata, Mohd Fuad Fahmie menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Golok pada jam 9 malam.
Jenazah Mohd Fuad Fahmie yang maut ditembak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada jam 2.30 petang Ahad.
Turut hadir, ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64, serta sanak saudara yang lain.
Sebelum itu, arwah yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Menurut ibunya, Zaiton, beliau dimaklumkan tentang kematian anaknya oleh menantu, Wan Fatihah, kira-kira jam 9 malam.
Wan Fatihah dimaklumkan akan menjalani tempoh idah di rumah ibu mentua serta melahirkan bayinya di sini.
Sumber: Sinar Harian 1 dan Sinar Harian 2
Artikel lain berkaitan: Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Ditembak Di Golok, Terkena Lapan Das Tembakan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE