Kekeluargaan

Isteri ‘Provider’ Memang Wujud, Ramai Wanita Berpendidikan Lebih Tinggi Daripada Lelaki

Share

Isteri ‘provider’ memang wujud, ramai wanita berpendidikan lebih tinggi daripada lelaki. Ya, isteri ‘provider’ itu memang wujud, terutama dalam zaman sekarang di mana ramai wanita memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding lelaki.

Isteri ‘Provider’ Memang Wujud, Ramai Wanita Berpendidikan Lebih Tinggi Daripada Lelaki

Jika anda merasakan golongan ini tidak wujud, mungkin kerana anda belum pernah berada dalam lingkungan kehidupan yang menemukan anda dengan mereka.

Isteri ‘provider’ ini adalah wanita yang sanggup bersusah payah, asalkan keluarganya dapat hidup selesa dan bahagia. Contohnya, jika suami hanya mampu menyewa rumah, dia akan berusaha membeli rumah sendiri dan membantu menampung kekurangan.

Jika suami hanya mampu membeli beras, dia akan membeli lauk-pauk. Jika suami hanya mampu membawa keluarga berjalan-jalan di taman, dia akan menambah dengan merancang percutian yang lebih menyeronokkan.

Golongan isteri ini jarang merungut, jarang meminta-minta, dan jarang merajuk. Mereka terbiasa hidup berdikari dan secara tidak langsung memiliki sedikit sifat kepimpinan seperti seorang lelaki.

Seorang isteri ‘provider’ bekerja untuk membantu suami dalam hal-hal di luar nafkah wajib seperti pendidikan anak-anak, perbelanjaan untuk ibu bapa, serta percutian keluarga. Dia juga memasak, bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan untuk suami, anak-anak, dan dirinya sendiri. Jarang keluarganya makan makanan luar kerana dia lebih suka menyediakan sendiri.

Dia melakukan kerja rumah seperti membasuh pakaian, membasuh pinggan, menyapu sampah dan lain-lain tugas seperti para isteri yang lain. Dia juga sentiasa berada di sisi anak-anak apabila diperlukan, menjadi guru, membantu kerja sekolah dan memberi tunjuk ajar.

Dia merancang percutian keluarga dari membayar, menempah hotel, sehinggalah mengatur aktiviti. Apa yang dia mahu, dia beli sendiri tanpa perlu meminta daripada suami. Namun, selepas membeli, dia tetap berkongsi dengan suaminya.

Dia tidak kisah jika suaminya memberi wang yang tidak mencukupi pada bulan-bulan tertentu kerana memahami ada komitmen lain seperti roadtax, cukai tanah dan sebagainya.

Isteri ‘provider’ ini kadangkala mampu membimbing suaminya. Ada lelaki yang membesar dengan latar belakang yang kurang baik, tidak solat, tidak puasa, kurang adab. Tetapi dengan bimbingan, kesabaran dan kasih sayang isteri, mereka berubah menjadi suami yang lebih baik, mampu menjadi imam, bersikap lembut dan berbudi bahasa.

Malangnya, ramai yang memandang serong terhadap isteri ‘provider’ ini dianggap angkuh, suka melawan, berlagak sombong, atau menakutkan suami. Namun, tidak semua mereka bersikap sedemikian.

Kebanyakan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan sebahagian tanggungjawab suami tanpa banyak keluhan. Mereka hanya ingin sebuah keluarga yang bahagia dan kekal setia. Namun, ramai pula yang tidak menghargai. Masih mencari kekurangan dan mendambakan yang lain, walaupun diri sendiri belum cukup sempurna.

Kepada para suami yang dikurniakan isteri seperti ini, jangan ambil kesempatan. Jangan bersikap sambil lewa. Jangan fikir dia sentiasa kuat dan tidak apa-apa.

Kerana dia juga manusia. Dia tetap seorang wanita. Dia juga ada masa lelahnya. Dia tetap mempunyai naluri untuk disayangi, dipeluk, disentuh dan dihargai dengan kata-kata yang lembut.

Cukuplah sekadar satu ungkapan:

“Awak okey?”

“Terima kasih, sayang.”

“Awak nak makan apa-apa? Saya belikan.”

Apabila dia tiba-tiba diam dan tidak seceria selalu, hampirilah dia. Urut bahunya. Cium pipinya. Jangan biarkan dia memulihkan keletihannya seorang diri. Dia tidak meminta, kerana dia telah terbiasa memberi sehingga dia sendiri lupa bagaimana mahu meminta.

Jika anda telah dikurniakan isteri seperti ini, jagalah dia sebaik-baiknya. Kerana apabila dia sudah terlalu penat dan memilih untuk pergi, dia tidak akan kembali lagi. Saat itu, barulah anda akan merasai betapa sukarnya hidup tanpa dia kerana selama ini, dialah yang telah ‘provide’ segalanya.

Sumber: Farizal Radzali

Suami Provider, Idaman Ramai Wanita Bila Nak Kahwin

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

 

Published by
Has