
Derita yang ditanggung Roslina Yusof, penghidap angin ahmar dan kudung kaki kiri akibat diabetes, berakhir selepas meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, hari ini.
Memetik Harian Metro khabar duka pemergian ibu seorang anak berusia 57 tahun itu dikongsikan suaminya, Ah Yauddin Ahmad, 63, yang terkenal sebagai peniaga air balang dan pernah tular kerana kesetiaannya menjaga isteri uzur.

Roslina Yusof Meninggal Dunia Di HTAR
Menurut Ah Yauddin, Roslina Yusof meninggal dunia jam 9.30 pagi akibat jangkitan kuman dan tekanan darah rendah. Katanya, jenazah diuruskan di HTAR sebelum dibawa ke Masjid Asy-Syarif untuk disembahyangkan dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru selepas solat Asar.
“Isteri meninggal dunia di sisi saya dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, saya sempat bercakap, cium dan katakan saya sayang dia. Tak lama selepas itu, isteri meninggal dunia… sedih sangat kerana kami tak pernah berpisah. Bila jadi begini memang hiba, pasti akan teringat sana kerana bukan senang nak lupakan dia,” katanya.
Ketabahan Seorang Suami
Sebelum ini, kisah pasangan ini pernah mengundang perhatian ramai apabila Ah Yauddin sanggup mendukung isterinya yang lumpuh setiap kali mahu turun dari rumah mereka di tingkat empat di Pangsapuri Meru Ehsan, Klang. Semua dilakukan atas rasa tanggungjawab dan cinta mendalam terhadap isterinya yang tidak mampu bergerak sendiri.
Walaupun bekerja sebagai peniaga air balang di pasar malam Pantai Dalam setiap Sabtu, Ah Yauddin tidak pernah meninggalkan isterinya sendirian. Beliau sentiasa membawa Roslina Yusof ke tapak niaga kerana enggan berpisah, biarpun dalam keadaan serba kekurangan. Arwah yang bergantung pada kerusi roda serta perlu minum susu melalui tiub di hidung tetap ditemani suami tercinta dalam setiap urusan.

Pengorbanan Anak Tunggal
Anak tunggal mereka, Siti Nur Aliah, 21, turut menjadi tulang belakang keluarga apabila sanggup menangguhkan impian menyambung pengajian demi membantu bapanya menjaga ibu yang uzur. Namun, pada Ogos lalu, rezeki berpihak kepadanya apabila menerima tawaran menyambung pelajaran dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Klang hasil kunjungan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ke rumah mereka.

Cinta Hingga Ke Akhir Hayat
Pemergian Roslina Yusof meninggalkan kesan mendalam buat suami dan anaknya. Namun, kisah cinta sejati pasangan ini mengajar erti pengorbanan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak pernah luntur walau diuji dengan dugaan penyakit dan kesusahan hidup.
Semoga roh Allahyarhamah Roslina Yusof ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga ini terus tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
Sumber: ERA (Malaysia)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!






