Berita Sosial

Isteri Meninggal Dunia Ketika Hamil, Suami Hanya Bahagia Berumah Tangga Empat Bulan

Share

Isteri meninggal dunia ketika hamil, susuami hanya bahagia berumahtangga empat bulan.

“Awak, saya harap awak dah dapat apa yang awak nak. Cumanya awak tinggalkan saya terkapai sendiri tanpa awak lepas ni.”

Itu luahan Muhammad Adib Mohd Razin, 31, yang kehilangan isteri tercinta, Hajar Atikah Nazirah Yacoob, 37, ketika hamil selepas mereka hanya sempat menikmati kebahagiaan rumah tangga selama empat bulan.

Lebih memilukan, Hajar menghembuskan nafas terakhir pada 31 Mei lalu, tarikh yang juga genap empat bulan usia perkahwinan mereka selepas bernikah pada 31 Januari lalu.

Isteri Meninggal Dunia Ketika Hamil

Isteri meninggal, hanya sempat menikmati alam rumahtangga selama 4 bulan sahaja.

Muhammad Adib berkata, dia mengenali isterinya pada Oktober 2024 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Menurutnya, antara perkara yang membuatkan dia menghormati Hajar ialah sikap wanita itu yang berterus terang mengenai masalah kesihatan yang dihidapinya sejak kecil.

“Saya mengenali isteri sejak Oktober 2024 selepas diperkenalkan oleh rakan. Sikap isteri yang berani jujur menyatakan dia mempunyai masalah kesihatan jantung berlubang sejak kecil menyebabkan saya hormat padanya.

“Saya tahu dia mengandung pada 18 April lalu ketika usia kandungannya empat minggu. Ketika itu, saya terkejut dan risau. Namun, isteri tenangkan saya dan minta saya tidak bimbang,” katanya.

Menurut Muhammad Adib, kegembiraan mereka untuk menimang cahaya mata pertama bagaimanapun tidak bertahan lama apabila keadaan kesihatan isterinya mula merosot.

Katanya, selepas kandungan memasuki minggu keenam, isterinya mengalami alahan sebelum dia membawanya mendapatkan pemeriksaan pakar.

“Selepas perjumpaan dengan pakar, isteri dimasukkan ke dalam wad sejak 8 Mei lalu kerana janin didapati tersangkut dalam perut.

“Pakar memaklumkan kandungan mesti dikeluarkan bagi menyelamatkan nyawa isteri. Kami bersetuju untuk mengeluarkan janin berkenaan.

“Namun selepas pembedahan, tahap oksigen isteri menjadi tidak stabil,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumahtangga selama 4 bulan dan isteri meninggal dalam keadaan hamil 4 minggu

Muhammad Adib berkata, dia sempat menyuapkan makanan kepada isterinya sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Saya bawa masakan ibu ke hospital untuk isteri. Ketika saya suapkan makanan, saya nampak tahap oksigennya menurun sebelum saya terus memanggil jururawat bagi memeriksa keadaan isteri.

“Selepas beberapa minit menunggu, saya dimaklumkan isteri meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa pulang ke kampung halamannya di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

“Terima Kasih Buat Saya Merasa Jadi Bakal Ayah”

Muhammad Adib mengakui dia masih terkejut dan sukar menerima hakikat pemergian isterinya kerana sebelum ini keadaan Hajar dilihat semakin baik.

Katanya, dia mempunyai pelbagai perancangan bersama isteri termasuk membawa wanita itu bercuti ke Cameron Highlands sebelum pulang ke Besut, Terengganu sempena Aidiladha lalu.

“Saya ada banyak rancangan untuk dilakukan bersama-sama. Kebanyakan masa, isteri selalu duduk di rumah dan apabila saya bawa dia pergi berjalan ke Bukit Fraser, dia sangat seronok.

“Saya ada merancang untuk membawa isteri ke Cameron Highlands sebelum balik ke kampung keluarga angkat saya di Besut semasa Hari Raya Aidiladha lalu.

“Namun hasrat saya tidak kesampaian apabila dia dimasukkan ke hospital,” katanya.

Sijil nikah dan sijil kematian dalam tempoh 4 bulan

Menurutnya, keluarga juga terkejut dengan pemergian isterinya kerana sebelum itu arwah masih mampu berbual seperti biasa.

“Sejujurnya, saya dan ahli keluarga terkejut dengan pemergiannya kerana sebelum ini meskipun tahap oksigennya hanya 30 peratus, dia masih boleh bersembang,” katanya.

Luahan Muhammad Adib di media sosial mengenai pemergian isterinya turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.

“Awak, saya harap awak dah dapat apa yang awak nak, cumanya awak tinggalkan saya terkapai sendiri tanpa awak lepas ni.

“Saya harap saya dah penuhi segala hajat awak.

“Terima kasih awak untuk empat bulan pernikahan kita.

“Terima kasih bagi saya merasa jadi bakal ayah.

“Terima kasih buat saya jadi bertanggungjawab.

“Terima kasih buat saya tak pernah mengeluh tentang penatnya uruskan awak.”

Pukul 6.19 dia makan. Pukul 6.20 dia sesak nafas. pkul 7.22 Dr. sahkan dia dah takde. 😭😭😭😭 Ya Allah ujian ni saya tak mampu Ya Allah…

Tak Pernah Salah Takdir

Menurut Muhammad Adib, arwah isterinya seorang wanita yang sangat sabar dan tidak pernah menyalahkan takdir meskipun diuji dengan masalah kesihatan sejak kecil.

“Wife saya sangat penyabar sebab dia pun mencari jodoh. Umur dia 35 tahun baru kami dijodohkan.

“Dengan keadaan dia yang sakit, dia tak pernah menyalahkan keadaan. Dia terima saja.

“Setelah kami kahwin, dia banyak sabar dengan kehidupan kami yang serba kekurangan,” katanya.

Katanya, setiap kali dia meminta maaf kerana belum mampu memenuhi kehendak isterinya, arwah akan memberikan jawapan yang membuatkan dirinya semakin menghargai wanita itu.

“Bila saya kata maaf belum dapat belikan apa yang dia nak, dia akan kata, ‘Tak apa, as long as I’m with you, I’m okay with that’.

“Bila dengar saja macam itu, saya akan cuba juga cari jalan untuk belikan apa yang dia nak walaupun kadang-kadang tengah sesak,” katanya.

Dalam satu lagi perkongsian, Muhammad Adib turut memuat naik gambar isterinya ketika menerima sijil yang disifatkan sebagai antara detik paling menggembirakan dalam hidup arwah.

“Gambar sebelah kiri adalah gambar hari yang dia paling seronok sekali bila dapat sijil ini. Seronoknya dia waktu itu Allah saja yang tahu.

“Empat bulan selepas itu, saya pula berduka. Hanya Allah yang tahu betapa rindunya saya dekat arwah wife saya.

“Terima kasih atas pinjaman yang Engkau berikan untuk empat bulan sembilan jam ini Ya Allah. Sangat memberi makna untuk saya.

“Maafkan saya sebab tak mampu nak mewahkan awak di dunia. Insya-Allah saya cuba mewahkan awak di akhirat nanti.”

Muhammad Adib berkata, perancangan seterusnya adalah untuk menyelesaikan hutang arwah isterinya serta melakukan badal haji buat Allahyarhamah.

Katanya, sebelum ini mereka juga merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga pada tahun hadapan.

“Saya akan cari duit untuk infaq dan wakaf untuk keluarga kecil kita. Itu saja yang mampu saya lakukan sekarang. Harap Allah terima infaq dan wakaf saya,” katanya.

Published by
Almaswa Haji Che Ros