
Isteri meninggal dunia akibat keganasan rumahtangga, kepulangan ke pangkauan suami akibat desakan ibu berakhir tragis. Seorang wanita muda, Ananda Isnaini Putri, 20 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga, hanya beberapa jam selepas kembali ke pangkuan suami atas nasihat keluarganya.
Dalam kejadian yang berlaku di Kisaran Barat, Sumatera Utara, mangsa dipercayai dipukul dan ditendang oleh suaminya, Mohammad Ali, 29 tahun sehingga menyebabkan kecederaan serius pada organ dalaman sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Menurut polis, pasangan itu dipercayai kerap bergaduh. Pada hari kejadian, suspek berang apabila isterinya pulang ke rumah keluarga di Tanjungbalai tanpa pengetahuannya.
Pertengkaran antara pasangan itu kemudiannya bertukar menjadi keganasan apabila suspek bertindak memukul dan menendang mangsa, selain menenggelamkan kepala isterinya ke dalam kolah air di bilik mandi, menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Suspek yang panik kemudian cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawa mangsa ke hospital menaiki motosikal. Bagaimanapun, Ananda disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Pada peringkat awal, suspek mendakwa mangsa meninggal dunia akibat terjatuh daripada motosikal. Namun, pihak polis mula mengesyaki sesuatu tidak kena selepas melihat kesan lebam pada tubuh mangsa, selain luka seperti tusukan pada bahagian nadi pergelangan tangan kiri dan kanan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan, AKP Imanuel P. Simamora, berkata siasatan lanjut membawa kepada keputusan untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazah mangsa.
“Hasil autopsi mendapati terdapat kecederaan serius pada organ dalaman akibat hentaman objek tumpul. Mangsa mengalami patah tulang rusuk serta koyakan pada organ hati, yang menyebabkan mangsa lemas,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Zainal, berkata anak perempuannya sempat pulang ke rumah keluarga di Tanjungbalai sebelum dijemput semula oleh suaminya bersama dua rakannya untuk kembali ke Kisaran.
“Ali menghubungi saya dan memberitahu rumah tangga mereka sudah tidak sehaluan dan mahu bercerai, tetapi dia mahu berbincang terlebih dahulu dengan anak kami,” katanya.


Menurut Zainal, perbincangan tersebut berakhir dengan pertengkaran. Mangsa masuk ke dalam bilik sambil menangis sebelum dipujuk oleh ibunya.
“Selepas dipujuk, anak saya bersetuju untuk ikut suaminya pulang semula ke Kisaran,” katanya.
Zainal berkata selepas waktu Maghrib, keluarga cuba menghubungi mangsa namun tidak mendapat sebarang jawapan.
“Panggilan terakhir dijawab Ali yang hanya berkata anak saya ada, sebelum menamatkan panggilan. Namun pada jam 2 pagi, polis menghubungi saya dan memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan, dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan serta penganiayaan yang menyebabkan kematian.
Kes ini mencetuskan perhatian ramai selepas didedahkan bahawa mangsa kembali ke pangkuan suami atas nasihat keluarga, namun kepulangan itu berakhir dengan tragedi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




