
Ada cara mudah rupanya mak-mak boleh buat puding karamel mudahyang sedap tak perlu guna telur dan tak perlu dikukus. Bukan apa, puding karamel yang menggunakan telur jika salah cara buatnya boleh menyebabkan puding tersebut berbau hanyir malah teksturnya pun berlubang-lubang setelah dikukus.
Ikut resipi yang dikongsikan oleh Mimiey Zuhaa ni cukup senang, puding karamel mudah, nampak cantik, permukaannya licin malah tak gunakan telur langsung serta tak perlu dikukus.
Puding Karamel Mudah Tanpa Telur
Berikut antara perkongsian resipi beliau;
“Ni dia puding caramel tanpa telur & tanpa perlu kukus. Alhamdulillah membentuk dengan elok dan jayanya.Biasa puding caramel letak telur bau hanyir kan.So boleh la cuba resepi ni nanti.Yang tak boleh makan mesti boleh makan , budak-budak pun suka.”
Bahan Gula Karamel:
¼ cawan gula
3 sudu besar air
Bahan-Bahan Puding:
1 paket agar-agar(10gm)
4 cawan air
1 tin susu cair
½ cawan susu pekat
¾ cawan gula (nak manis lagi letak 1 cawan)
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu kecil esen vanila
Cara Membuat:
1.Panaskan gula dan air didalam loyang dengan api perlahan sehingga gula keperangan dan kacau hingga rata. Ketepikan dulu.
2.Satukan kesemua bahan untuk puding didalam periuk dengan api perlahan.Biarkan ia larut dan tidak berketul.
3.Setelah adunan sedikit pekat boleh tutupkan api.
4.Tapis adunan terlebih dahulu sebelum masukkan ke dalam loyang berisi karamel tadi.
5.Selepas siap tuang ke dalam loyang bolehlah masukkan kedalam peti selama 2-3jam atau betul-betul adunan puding jadi keras.
6.Bila dah keras bolehlah potong , hidang dan makan sejuk-sejuk.

Siap puding karamel mudah, sesuai untuk dihidangkan bila tetamu datang.
Mudah,ringkas dan cepat kan.
Selamat Mencuba!
Sumber: Mimiey Zuhaa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setahun Tak Mengeluh Cuci Kain Najis Ibu Pakai Tangan, Ada Mesin Basuh Legalah

Bukan mudah seorang anak muda dalam usia 19 tahun sanggup menumpukan sepenuh masanya pada ibu yang sakit dan tidak mampu uruskan diri sendiri. Tetapi Che Muhammad Arif Che Suhaimi membuktikan dia sebaliknya.
Ketika remaja lain sibuk dengan dunia masing-masing, Che Muhammad Arif lebih selesa mengambil tanggungjawab menguruskan ibunya.
Sudah setahun dia tak pernah mengeluh cuci kain najis ibunya pakai tangan, sekarang ada mesin basuh hasil sumbangan legalah.
Cuci Kain Najis Ibu Pakai Tangan
“Sudah setahun Arif cuci kain najis saya dengan tangan, tak pernah dia mengeluh atau mengadu geli. Bila ada mesin basuh baharu ni, ringan sikit tugas dia,” kata Junaidah Ismail, penghidap angin ahmar dari Kampung Cina, di Kota Bahru, Kelantan.
Menurut, Junaidah, 55, anak keduanya itu, Che Muhammad Arif Che Suhaimi, 19, sudah menjaganya sejak hampir dua tahun lalu selepas diserang angin ahmar sebelah kiri tubuh yang menyebabkannya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri.
Katanya, ada kalanya dia membuang air dalam kain yang dipakai disebabkan kehabisan lampin pakai buang dan tanpa rasa geli, anaknya itu menyental kain berkenaan termasuk selimut yang turut terkena najis.
Tak Pernah Mengeluh Mahupun Geli
“Arif (nama panggilan Che Muhammad Arif) anak yang baik, usahkan merungut, dia langsung tidak menunjukkan rasa geli ketika menyental kain yang terkena najis dan ia sangat menyentuh hati saya.
“Banyak kerja yang perlu dia lakukan untuk menguruskan saya antaranya menyuap makan, memandikan, mengurut (fisioterapi), membasuh pakaian malah perlu memasak dan mengemas rumah sehinggakan beberapa kali demam akibat kepenatan.
“Jauh di lubuk hati, saya sangat kasihankan Arif kerana dalam usia muda dia terpaksa menggalas tanggungjawab ini sehingga menghalangnya daripada bekerja disebabkan perlu menguruskan saya dan tiga adik yang masih bersekolah serta abang yang menghidap masalah kemurungan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Baca Juga Di sini:
18 Tahun Uruskan Mak, Ayah OKU, Akur PKP Ibu Tunggal Hilang PEKERJAAN
Rezeki Uruskan Mak Ayah, Setiap Adik Beradik Ada Bahagian Masing-masing
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Kisah Pengorbanan Anak Pernah Tular
Kisah pengorbanan Che Muhammad Arif yang mengorbankan zaman remajanya untuk menguruskan ibunya pernah dipaparkan sebelum ini dan mengundang simpati ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang tampil menyerahkan sumbangan mesin basuh kepada keluarga itu.
Selain menyerahkan mesin basuh dan barangan makanan, kira-kira 15 wakil POKB turut membantu membersihkan rumah Junaidah yang turut dihuni bersama kakak dan dua anaknya yang juga menghidap kemurungan.
Sementara itu, Ketua Aktivis POKB, Saripah Ismail berkata, mereka terpanggil untuk membantu keluarga itu atas dasar prihatin dan simpati dengan nasib Che Muhammad Arif yang juga terpaksa berhenti sekolah sejak di Tingkatan Satu disebabkan kekangan hidup.
“Kami ada menziarah mereka sebelum ini dan Junaidah turut memberitahu bahawa mesin basuh di rumahnya sudah setahun rosak.
“Kami juga meluangkan masa kira-kira satu jam membersihkan rumah mereka bagi memberi sedikit keselesaan selain menyumbangkan barang makanan,” katanya.
MW: Kisah ini patut dijadikan inspirasi buat anak muda di luar sana. Bukan sahaja menguruskan maknya yang sakit, dia juga mencuci kain najis maknya. Akhlak baiknya harus diberi pujian. Semoga Che Muhammad Arif dan maknya tabah menghadapi ujian ini.
Sumber: myMetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Kahwin Elok-Elok Takkanlah Masa Cerai Nak Gaduh-Gaduh,” Sharnaaz

Isu tuntutan perceraian isteri kepada pelakon Sharnaaz, Noor Nabila masih belum menemui kata putus. Ini kerana pasangan suami isteri ini diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.
Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor,34, berbuat demikian susulan bintang filem Juvana itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu.
Fail Permohanan Cerai Ogos Lalu
Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.Dalam proses perceraian, JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan itu, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Terdahulu dalam prosiding itu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah sudah melihat tuntutan yang diterimanya daripada Noor Nabila pada 29 Ogos lalu, menjawab ” Ya” namun tidak bersetuju dengan tuntutan cerai berkenaan.
Nafkah Zahir Tidak Mencukupi
Difahamkan, selain tiada persefahaman dan tinggal berasingan sejak Februari 2018, Noor Nabila dalam tuntutan perceraiannya memberikan alasan bahawa Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.
Noor Nabila dalam tuntutannya juga memberitahu, langkah sudah diambil untuk mencapai perdamaian termasuk sudah berbincang namun tidak menemui jalan penyelesaian dan defendan berterusan dengan sikapnya.Selain itu, terdapat perbincangan melalui keluarga namun tidak berjaya.
Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila kemudian memohon supaya Sharnaaz selaku defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana mendakwa di dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya.
Bagaimanapun Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian (beri alasan) kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz pada prosiding itu. Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka.
Nabila Tak Sedia Beri Kenyataan
Sementara itu, Noor Nabila menangis sebaik suaminya menolak permohonan cerai yang difailkannya.Sebaik prosiding kes itu berakhir, Noor Nabila yang juga Pengarah Urusan NH Prima International sepatutnya mengadakan sidang media bagi meluahkan perasaannya.
Noor Nabila ketika ditemui tidak bersedia memberikan kenyataan sebelum menangis di hadapan pengamal media.
“Saya tak bersedia memberikan ‘statement’ (kenyataan) kerana fokus ketika ini membesarkan anak (Jebat Jayden) dengan penuh kasih sayang. Saya minta doa anda semua bagi mempermudahkan urusan,” katanya.
Mahu Ikut Prosedur Mahkamah
Sementara itu Sharnaaz berkata, dia enggan mengulas mengenai sebab dia menolak penceraian kerana mahu mengikut prosedur mahkamah yang ditetapkan.Dia ditemani Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya akan mengikuti arahan mahkamah dengan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes penceraian itu.
“Kami akan ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) jam 12.30 tengahari pada 30 Oktober depan. Ketika kami kahwin elok-elok, takkan lah masa cerai nak gaduh-gaduh.
“Reda atau tidak (penceraian ini) kita ada mahkamah dan badan berkanun yang kita perlu hadap. Mahkamah sudah beri arahan (JKP), jadi kena ikut.
“Apabila saya kata tak setuju (tolak penceraian), kita cuba memperbaiki (hubungan) sebaik mungkin dan cari kebaikan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada masih menyayangi isterinya, Sharnaaz menolak untuk menjawab pertanyaan itu.
Menurut Sharnaaz, dia akan menggunakan JKP itu untuk mencari jalan penyelesaian yang berkemungkinan dapat mempertahankan rumah tangganya.
“Berkaitan melantik siapa (wakil JKP) adalah rahsia. Dalam soal anak pula (Jebat Jayden) kami akan berbincang dan setakat ini saya tidak pernah dihalang untuk melawatnya, terima kasih juga kepada Nabila,” katanya.
Minta Tarikh Awal Untuk Bercerai
Dalam pada itu Akberdin berkata, pihaknya mahu menyelesaikan kes penceraian terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan berkaitan tuntutan penjagaan anak. Katanya, melalui Seksyen 47 Akta Undang Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mereka memiliki ruang untuk berbincang dan berdamai.
“Kita akan lihat sama ada perkahwinan dapat diselamatkan atau tidak malah undang-undang memberikan tempoh enam bulan bagi tujuan itu,” katanya.
Akberdin menjelaskan, antara sebab tuntutan ditolak anak guamannya adalah pihak plaintif (Noor Nabila) meminta tarikh awal untuk bercerai.
“Kenapa perlu tergesa-gesa sedangkan undang-undang memberi masa enam bulan. Buat masa ini tiada tuntutan berkaitan perkara lain,” katanya.
Sharnaaz hadir ke mahkamah dengan memakai kot dan berseluar hitam serta bersongkok manakala Noor Nabila mengenakan jubah hitam dan berselendang hitam.
Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Noor Nabila memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz selepas berkongsi foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Instagram Story, baru-baru ini.
Noor Nabila juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.
Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.

MW: Mingguan Wanita mendoakan pasangan ini menemui titik penyelesaian yang terbaik.Apa juga keputusan yang diambil semoga dipermudahkan segala urusan dan dapat mencapai persetujuan bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Risau Anak-Anak Terbeli, Ini Cerita Sebenar Isu Keropok Viral Tidak Halal Yang Mak Ayah Patut Tahu

Baru-baru ini viral gambar-gambar keropok perisa sate yang dikeluarkan oleh pengeluar arak yang cukup dikenali. Penularan gambar-gambar keropok tidak halal tersebut tersebar dan menimbulkan kerisauan ramai pihak, apabila takut ada yang terbeli.Rupanya kisah sebenar ‘penjualan’ keropok ini adalah sebaliknya.
Berikut merupakan perkongsian dan penjelasan oleh Dr Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi, Pensyarah Kanan, Sains dan Teknologi Makanan dari Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam sebagai panduan;
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Awal-awal pagi ni saya menerima kiriman gambar-gambar potato chips di bawah (rujuk Foto 1 dan 2) dikeluarkan oleh Tiger, salah satu pengeluar beer (arak) yang cukup dikenali.
Isunya, pastilah ramai yang tertanya-tanya tentang isu Halal produk ini.Tambahan pula apabila ada ‘disclaimer’ di bahagian belakang produk yang mengatakan produk ini HANYA UNTUK NON-MUSLIM DAN BERUSIA 21 TAHUN KE ATAS rujuk Foto 3.

Jawapan saya ringkas.
Pengeluar tidak salah, tiada undang-undang yang mengatakan TIDAK BOLEH MENJUAL PRODUK MAKANAN YANG HARAM BAGI ORANG ISLAM (MUSLIM). Kewajipan mencari yang Halal itu adalah kefardhuan ke atas seorang insan yang mengaku Muslim makanya, sebagai seorang pengguna, kita harus bijak memilih.
Belajar membaca label pada pembungkus makanan.Ajarkan juga kepada anak-anak anda tentang kepetingan Logo Halal yang diiktiraf JAKIM. InsyaAllaah anda boleh bersandar kepada kredibiliti JAKIM sebagai pengeluar sijil Halal di Malaysia.
Bahkan, disebabkan anak saya sudah faham konsep Halal, saya terselamat daripada membeli jajan-jajan yang tiada logo Halal seperti contoh, Kinder Bueno dalam hati, mama tarik nafas lega sebab dapst selamatkan duit.
Namun, tidak dinafikan, ibu-ibu terutamanya merasa risau bagaimana jika anak-anak TERBELI produk-produk seperti ini?
Ada yang mencadangkan agar produk-produk yang TIDAK HALAL ini diletakkan di kawasan khas yang menempatkan produk-produk NON-HALAL.Saya bersetuju dengan cadangan ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko terbeli.
Untuk mendapatkan kepastian, maka saya bertanya kepada sahabat-sahabat yang aktif dalam bahagian persijilan Halal.
Jawapan yang diterima adalah, produk ini BUKAN UNTUK DIJUAL…benar ia boleh didapatkan di SPEEDMART, tapi hanyalah sebagai free gift jika membeli beer brand Tiger, anda boleh rujuk Foto 4.

Jadi, buat semua pengguna MUSLIM, jadilah pengguna yang bijak. Semak sebelum sebar, semoga kita semua dapat menjaga diri dan makan makanan yang Halal dan daripada sumber yang Halal juga.
Pesanan Ikhlas,
Dr Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi
Pensyarah Kanan
Sains dan Teknologi Makanan
Fakulti Sains Gunaan
UiTM Shah Alam
Semoga perkongsian dan penjelasan ini bermanfaat. Kongsikan maklumat ini agar lebih ramai yang tahu cerita sebenar.
Sumber: Dr Aida Azmi Official
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




