Kejadian postpartum depression atau gila meroyan ini bukan kejadian baru. Bila dengar berita ibu kelar leher anak umur 2 tahun, Allahu.. macam tersentak-sentak rasa hati ini. Setiap tahun ada saja kes sebegini berlaku. Tahun-tahun sebelumnya juga ada kes yang hampir sama. Nampaknya orang Malaysia ini masih ada lagi yang ambil lewa pentingnya tempoh berpantang untuk ibu selepas bersalin.
Baik suami mahupun orang terdekat kena ambil peduli. Sebab andai masih beralasan ‘Tak mengapa’ ‘isteri masih boleh handle lagi’ ‘dia ok tu nanti’, semua ini akan memudaratkan emosi ibu lepas bersalin. Sayunya ada isteri yang perlu bertahan dengan penyakitnya sampai bertahun-tahun lamanya. Tanpa suami sendiri sedari perubahan emosi yang isteri alami.
Terpanggil dengan kejadian yang berlaku, Puan Siti Zubaidah, yang ketika ini dalam pengajian peringkat PhD Pharmacology/Phsiology di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan panduan dan cara terbaik yang bukan saja ibu-ibu lepas bersalin boleh guna pakai, malah suami dan orang terdekat perlu hadam agar kejadian seumpama tidak berulang.
Kelar Leher Anak Sebab Ada Suara Yang Suruh
Berita ibu kelar leher anak umur dua tahun hari ni cukup memedihkan hati.
Yang paling menyentuh hati, si ibu tu sama umur dengan saya, 31 tahun.
Mungkin apa yang saya tulis ini tak sedap dibaca di tengah kemeriahan hari raya macam ni.
Tapi saya rasa terpanggil juga untuk menulis juga. Menulis tentang realiti.
Rentetan bebanan menjaga keluarga yang terpikul di bahu seorang diri, ramai ibu-ibu muda yang mengalami stress, distress, kemurungan, halusinasi, depresi, postpartum depression atau sebut saja lah perkataan gila meroyan.
Gila meroyan bukan sahaja melanda ibu yang baru melahirkan atau ibu yang sedang berpantang, tapi ia boleh menyerang semua ibu-ibu selagi ibu tersebut mempunyai anak yang kecil-kecil dalam jagaannya.
Gila meroyan merupakan satu penyakit yang dipandang ringan dan disisihkan dalam masyarakat. Ibu-ibu yang menderita penyakit gila meroyan hampir ke semuanya tidak pernah mendapat rawatan sepatutnya. Jika ada pun, mungkin sudah terlewat.
3 Faktor Ini Mungkin Jadi Punca
Saya fikir, mungkin tiga faktor ini puncanya:
1. Ibu itu sendiri rasa malu nak dapatkan rawatan. Suami pula ambil ringan, cakap semua tu akan hilang.
2. Mak ayah adik beradik pula mungkin tak sangat nak pandang sebab mereka cakap tak nak campur urusan kelamin orang. Lagi pun mereka tak menerima apa-apa aduan. Jadi mereka diam.
3. Mak ayah mertua ipar duai lagi lah tak ambil bilang, sebab mereka kata tak ada kaitan kenapa nak sibuk ambil tahu hal rumah tangga orang. Nak bertanya pun segan, jauh sekali nak menyelesaikan.
Tu yang saya fikir. Mungkin juga fikiran saya salah.
Ads
Masalahnya sekarang, gila meroyan ni hampir wujud pada setiap ibu muda yang mempunyai anak kecil. Dah macam virus berbisa, menyerang semua perempuan muda yang melahirkan atau yang sedang menjaga anak-anak yang masih kecil.
Sebelum ini, saya ada berinteraksi dengan ibu-ibu muda seperti ini di kelab ibu hamil di Fb. Masa tu timbul satu posting tentang seorang ibu yang meminta tips bagaimana nak berubat sakit meroyan.
Rentetan dari posting itu, saya dapati ada beratus-ratus komen dari ibu-ibu muda yang lain yang mula berkongsi bahawa mereka juga ada sakit gila meroyan.
Boleh baca di gambar screen shot yang saya telah tutup nama mereka. Ada antara mereka yang suami mereka tolong, tapi ada juga yang suami yang tak faham pun. Dan ada juga bernasib baik mendapat bantuan daripada ahli keluarga.
Jangan Beri Alasan TAK TAHU, Ini Cara Terbaik Rawat Gila Meroyan
Yang paling jelas tentang masalah ni adalah tiga isu utama:
1. Si ibu itu sendiri tidak tahu yang dia sedang meroyan.
2. Si ibu itu sendiri tahu yang dia meroyan, tapi tak tahu cara nak dapatkan rawatan.
3. Suami pula tidak tahu menahu. Tak tahu isteri sedang “sakit meroyan”, dan tak tahu cara nak dapatkan rawatan dan bantuan.
Zaman sekarang dah tiada alasan dah untuk cakap “TAK TAHU”.
Facebook ada, google pun ada. Ada berlambak posting pasal cara nak kenal simptom meroyan, dan cara nak dapatkan rawatan. Cuba baca.
Ads
Tapi menggoogle itu bukanlah cara nak merawat.
Lepas dapat maklumat sikit-sikit dari pembacaan, hubungilah seseorang yang boleh diharapkan untuk membantu.
4 Senarai Penting Individi Perlu Dihubungi
Ini saya bagi senarai nama orang yang patut dihubungi:
1. Suami – berterus terang baik-baik pada waktu suami sedang berehat atau waktu berbaring di sebelah suami waktu malam. Dalam keadaan tenang macam tu mengadulah pada suami. Cakap kat suami, kesianlah kat anak. Minta suami bantu carikan rawatan dan bantuan. Jangan sesekali mengadu waktu suami sedang letih atau baru balik kerja. Masa tu telinga dan hati suami “tak mendengar”. Lagi sakit hati si ibu lagi ada. Makin parah pulak meroyan jadinya.
2. Ibu kandung – call dan beritahu minta tolong jagakan anak dulu buat sementara waktu. Dalam pada tu boleh ajak suami pergi jumpa doktor di klinik kesihatan atau klinik sakit puan swasta jika berkemampuan.
3. Kalau tak ada ibu kandung, call kakak atau sahabat perempuan yang paling dipercayai.
4. Kalau semua di atas tak boleh bantu, cuba hubungi jururawat yang pernah datang melawat di rumah sewaktu ibu baru melahirkan bayi. Jururawat tersebut mungkin akan meminta ibu untuk datang sendiri ke klinik untuk mengambil tarikh temujanji untuk berjumpa doktor.
√ Kalau di klinik kerajaan, ibu akan diaturkan untuk berjumpa doktor biasa atau doktor sakit puan dahulu. Kemudian barulah doktor tersebut akan merujuk kepada doktor pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.
Lebih kurang macam tu lah prosedurnya. Mungkin ambil masa berminggu jugak nak tunggu jumpa doktor pakar psikiatri tu.
√ Dalam proses nak tunggu jumpa doktor tu, suami buatlah solat hajat, atau bawa isteri dapatkan rawatan cara Islam.
Ads
Dalam tempoh ini memang isteri sangat perlukan bantuan suami. Suasana mungkin agak celaru dan haru biru dengan keadaan anak-anak kecil yang “tiada ibu” dan si ayah yang perlu juga keluar bekerja.
√ Nenek dan atuk mereka mungkin tak boleh lelama sangat jaga cucu-cucu kecil yang aktif kan. Kalau boleh waktu ni carilah pengasuh sementara untuk tolong jagakan anak-anak.
√ Manakala mana-mana sahabat, kawan Fb, orang luar, dan makcik makcik bawang yang dapat tahu si ibu tu sedang dapatkan rawatan meroyan, jangan hina, jangan sindir, jangan buat ulasan tak bertauliah, jangan.
√ Tapi bersosial lah macam biasa dengan si ibu tadi. Mungkin si ibu tadi tak bersedia nak terima tetamu di rumahnya, jadi jangan sesuka hati pergi ziarah dia. Kalau nak pergi ziarah juga, bagitahu si ibu tu dulu, dan pastikan dia sudi terima tetamu, baru datang ke rumah dia.
Wahai Ibu, Kalau Tak Kuat Semangat, Sila Uninstall Facebook
√ Manakala di Fb, si ibu tu juga nak bersosial di Fb, nak post gambar baby, nak share resepi, jadi kawan-kawan Fb berilah support. Beri komen-komen positif.
√ Dan si ibu tu sendiri perlu ingat, jangan “meroyan” di Fb. Kalau rasa tak kuat nak layan macam-macam ragam di Fb, baik jangan main Fb terus. Uninstall Fb.
Kadang-kadang, bila tengok gambar kawan-kawan post gambar bahagia bersama pasangan pun, si ibu tadi boleh naik dengki dan meroyan juga.
√ Apa yang paling penting adalah hubungan dengan ahli keluarga kena sentiasa rapat. Selalu lah balik kampung jumpa mak atau adik beradik. Kalau tak dapat balik, sembang melalui wasap pun ok. Bila kita banyak bersembang kosong dan bergurau dengan mereka, gundah dan depression yang ada dalam hati kita akan hilang.
√ Selain tu, cuba lah amal telan vitamin penenang, dan vitamin anti-stress seperti Ostematrix dan B Complex. Ia sangat membantu mengurangkan keletihan ibu, membantu tidur yang sangat lena dan menenangkan kecelaruan emosi ibu.
√ Dalam pada itu, jangan pernah tinggal baca surah Yassin setiap malam atau setiap kali lepas solat subuh sambil doa minta Allah sembuhkan penyakit meroyan tu. Surah Yassin ni “hati” Al Quran, in sha Allah boleh rawat hati kita. Ni pesan sahabat saya sebenarnya.
Luahan Hati Isteri Lepas Bersalin, Dan Ini Yang Emosi Mereka Lalui
Setiap wanita adalah berbeza antara satu sama lain, ada yang mudah terpengaruh bila melihat barang kemas, ada setengahnya suka melihat makanan yang sedap dan ada pula yang suka membeli beg tangan berjenama. Masing-masing mempunyai minat dan citarasa yang berbeza walaupun di kalangan adik-beradik.
Oleh itu sebagai pasangan hidup, suami harus memahami minat isteri kalian kerana tidak semua wanita miliki minat yang sama. Jika berkemampuan apa salahnya raikan minat dan kesukaan isteri bila tiba hari istimewanya, isteri rasa bahagia dan paling penting dapat pahala. Insyallah.
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami sebaiknya :
Raikan Minat Isteri
Ada isteri, dia teruja apabila terlihat gambar mahupun iklan periuk belanga mahupun bekas makanan berjenama.
Ada isteri pula, bersinar matanya apabila nampak gambar barangan kemas berkilauan.
Ada isteri yang dia lebih teruja mengumpul gajet di dapur dan peralatan eletrik terkini.
Ada isteri yang senyumnya melebar tatkala ada iklan beg tangan dan makeup berjenama.
Sebaliknya, ada isteri pula yang tidak kisah satu pun hal di atas melainkan obsesinya buku-buku dan barangan deko rumah.
Subhanallah. Bermacam ragam!
Kalau dapat menilik gambar, boleh angau dibuatnya selagi tak memiliki hal-hal ini. MasyaAllah, begitulah uniknya wanita ni tuan-tuan.
Gembira Bukan Main Dapat Kejutan
Adakalanya datang serabut alam, asyik nak bad mood, namun si dia terus tersenyum apabila dapat surprise, dihadiahkan barangan yang menjadi idaman. Alahai.. Boleh senyum simpul seminggu!
Jika suami ada kemampuan dan kesempatan, pun tak salah meraikan kesukaan para isteri ini, terutama pada hari-hari penting di dalam kehidupan kalian. Pahala tu insyallah, apabila membahagiakan dan menyukakan hati isteri.
Window shopping dan shopping memang kesukaan wanita, lazimnya walau bukan semua jenis begitu. Jika dapat isteri dalam kalangan yang lazim ini kena banyakkan bersabar ya tuan-tuan.
Jangan Pula Berlebihan
Bagaimanapun, jangan lupa mengingatkan isterimu, bahawa jangan terlalu berlebih-lebihan hingga menjadi pembaziran, kerana segala harta yang dibelanjakan pasti akan ditanya kemana pergi dan apa kegunaan dan manfaatnya untuk iman dan agama.
Buat pengumpul emas pun jangan lupa membayar zakat sebagaimana yang telah dipertanggungjawabkan. Zakat ialah untuk membersihkan harta kita.
Firman Allah SWT, bermaksud:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.” (At-Takathur : 1-2)
“Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmati)!” (At-Takathur : 8)
MW: Bila suami meraikan minat dan permintaan isteri, jangan pula isteri mengambil kesempatan dengan kebaikan suami. Jangan berlebihan hingga membazir. Renung-renungkan sebagai peringatan bersama.
Sebelum bertengkar, suami isteri boleh ikut tiga tip yang diberikan ini. Miudah-mudahan tidak berlarutan. Bertengkar suami isteri itu normal. Rasanya, JARANG sungguh ada pasangan yang tak pernah bergaduh sepanjang berkahwin. Lagi pun, kalau asyik okay je sepanjang masa, bosan pula. Sesekali nak juga ‘panaskan’ keadaan.
Lagi satu, zaman sekarang bila bergaduh atau bertengkar, sibuk nak rakam. Bergaduh dengan pasangan rakam, gaduh dengan orang luar pun rakam. Adoi!
Sebelum Bertengkar, Tolong Tengok Sekeliling
Kalau nak bergaduh pun tunggulah pada masa yang sesuai. Hari ini ramai orang bergaduh di tengah ramai, jangan lupa HP berada di tangan setiap orang. Kemudahan mengambil video dengan Hp ini sangat meluas. Silap-silap mereka upload di Youtube, satu dunia akan menonton kita bergaduh bagaikan orang hilang akal.
Dan usah percaya andainya tiada sesiapa merakam walaupun kita memberi amaran, “Jangan rakam! Jangan rakam!” Sambil menuding ke arah si perakam. Tahu-tahu video itu viral pula, dengan telunjuk kita tajam menunjal kamera.
Foto: 123rf
Orang Teruja Rakam
Kalau pun kita berjaya menghentikan dia, ada banyak lagi orang yang merakam dari sudut-sudut lain. Kita akan malu sangat dengan kata-kata yang kita keluarkan. Ketika itu kita seperti hilang akal lantas tidak sedar dengan semua yang dikeluarkan, tetapi nanti setelah stabil kita akan malu sangat menonton kesemuanya sekali.
Sedangkan senario biasa pun orang teruja untuk menyebarkannya, lagilah yang luar biasa seperti bertekak, bertumbuk, menerajang. Lebih teruja jika yang bergaduh adalah suami isteri ataupun sepasang kekasih.
Lebih buruk kalau bergaduh di hadapan anak-anak. Keluar pula ayat-ayat yang tak sepatutnya, macam, “Sudahlah ko tu. Ingat aku heran sangat dengan muka ko tu. Muka macam penyu!”
“Dah kalau macam penyu apa yang ko terhegeh-hegeh dengan aku dulu? Kenapa tak cari betina lain je?”
INGAT TIGA PERKARA SEBELUM CETUS PERTENGKARAN
Anak-anak yang mendengar tentu confuse. Jangan sampai mereka pun merakam pergaduhan anda! Sebaliknya lakukan tiga perkara berikut sebelum anda hendak bergaduh:
Bertenang Sejenak
Tariklah nafas dalam-dalam beberapa kali. Cuba pejamkan mata dan anggap tidak melihat dan tidak mendengar apa-apa. Jika pasangan terus menghentak dengan kata-kata keras, istigfar dan beredar dari situ. Jika dia terus menghambat ambil air dan minum. Masih juga tidak berhenti, pergi ambil wuduk dan solatlah…
Serkap Jarang Dan Perangkap
Adakalanya taktik ini menjadi. Ia dapat mendiamkan pasangan seketika. Katalah, “Tak apalah bang, katalah apa-apa pun abang nak kata. Tapi Rosmenah janda beranak dua tu apa khabarnya?”
Mesti suami kaget. Jika benar atau sipi-sipi dia akan ngelabah, jika tiada dia akan menafikan dengan keras. Senyum sahajalah. Sampailah dia berkata, “Kenapa awak senyum pulak?”
“Tak ada apalah. Kalau tak ada apa-apa tak payahlah serius sangat. Tahu abang memang baik. Macam tu juga saya…”
Sebelum Bertengkar Jangan Lupa Rakam
Panggil anak suruh dia rakam pergaduhan itu. Biasanya pasangan akan terdiam, kecuali sudah terlalu marah (dalam istilah lain sudah terlalu setan) dia mungkin akan menghendik si anak atau berbuat sesuatu kepadanya. Tetapi juga akan membuatkannya terpatung. Amat jarang suami isteri yang sedang bergaduh akan melepaskan kemarahan mereka kepada anak-anak sendiri.
Apapun, tak payahlah bergaduh sebab bergaduh itu buruk. Kalau hendak bergaduh juga lakukan ia dalam bilik yang tertutup. Pastikan suara tidak terlalu tinggi jangan sampai didengar anak-anak dan jiran tetangga.
Memanglah sewaktu bergaduh akan merasakan puas jika dapat berteriak, memekik dan mengherdik tetapi apakah perasaan kita jika mendengar orang lain bergaduh dan melakukan hal sama? Tentu kita berasa jelih (meluat, geli, tak patut, malu) dan menyampah bukan? Happy-happy sajakan bagus…
Seronoknya bila tengok keluarga yang mempunyai anak ramai sekurang-kurangnya lebih 2 orang. Mesti berbeza perangai anak-anak dan cara mak nak layan karenah mereka. Mulalah terfikir, macam mana mak mampu kawal dengan karenah anak yang berbeza-beza.
Rezeki setiap pasangan. Anak ramai atau anak lebih 2 orang, tiga orang atau sepasukan bola sepak pun tak perlu mengeluh. Semuanya kurniaan dan rezeki yang telah ditetapkan. Nampak macam susah sangat bila anak ramai, nak urus dan meniti hari-hari membesar mereka.
Mungkin ada yang beranggapan, bila anak lebih 2 orang, masa untuk mak terus berubah dan ada yang tak mampu nak urus diri sebab segalanya diberikan keutamaan kepada anak. Mak tak kisah untuk dirinya asalkan anak terjaga dan terbela.
Namun, jangan ingat anak ramai ini hanya isteri saja uruskan. Suami pun kenalah beri kerjasama. Nak anak ramai tapi suami lepas tangan. Susah juga. Jangan biarkan isteri ‘terjerit’, termarah anak sebab keadaan ini boleh berlaku bila tak ada kerjasama dari suami.
Menurut perkongsian Mohd Fhais Salim, cabaran jaga anak ini lebih ekstrem daripada sukan ekstrem. Jangan terkejut kalau tiba-tiba mak mengeluarkan suara tarzan. Inilah cabaran sebenar mak-mak bila anak ramai. Suami kena faham dan tolong beri kerjasama.
Masa anak seorang kira ok lagi. Gaya hidup selesa kita masih lagi terurus.
Nak makan tak huru hara, tidur pun senang, mengantuk je terus masuk bilik bum atas katil.
Masuk dua orang, sedikit demi sedikit cabaran nak ‘survive’ hidup dengan selesa tu datang menerjah.
Makan pun kelam kabut, kadang sampai tercekik gara-gara nak urus anak sekali di waktu yang sama.
Tiba saat anak masuk tiga orang, tak ada lagi erti hidup selesa. Nescaya lifestyle mak-mak memang berubah 360 darjah.
Diri dah tak terurus, makan minun tak ikut waktu, tidur tak menentu dan rambut dulu lurus macam buat ‘rebonding’ sekarang asyik gugur setiap kali mandi.
Macam mana nak ada masa urus diri kalau setiap masa sibuk mengurus anak-anak.
Sebelum nak makan kena pastikan dulu anak-anak cukup makannya.
Sebelum nak mandi, anak-anak dulu kena di pastikan dulu mandi dan siap persalinannya.
Sebelum nak bergerak ke sana ke mari, barang barang ‘keperluan’ anak-anak kena sediakan dulu kalau tak huru hara sepanjang perjalanan.
Sibuk mengurus diet makan berkhasiat untuk anak-anak sampaikan diri sendiri hilang selera makan gara-gara ‘kortisol’ datang menyerang.
Anak Jadi Keutamaan
Segala berkenaan anak tak pernah lekang di fikiran, anak sentiasa jadi keutamaan dalam minda, dalam tenaga dan aktiviti harian.
Sehinggakan lupa buat ‘Self Love’ badan pun makin lemau dan tepu.
Tu baru tiga orang, kalau masuk je empat orang ke atas bermula la ‘mimpi ngeri’ setiap insan. Sehari kalau tak jadi tarzan memang tak sah!
Jaga anak ni cabaran dia lebih extreme dari sukan extreme tau!
Anak-anak bukan kerja untuk satu orang. Anak-anak kerja untuk satu pasukan yang boleh bekerjasama.
Suami dan isteri bersatu teguhlah nasib anak-anak, saatnya suami dan isteri tidak sepakat maka roboh sudahlah nasib anak-anak.
Bukan nak cakap bila suami isteri dapat bekerjasama proses urus anak-anak tu akan jadi mudah, tetap juga ada cabarannya.
Tapi risiko untuk mati akal bila mengurus anak bersama akan jadi 50 : 50, sebaliknya kalau urus seorang diri risiko ‘mati akal’ kemungkinan besar 100% comfirm.
Mingguan Wanita : Sangat perlukan kerjasama dari suami. Jangan harapkan isteri seorang uruskan anak-anak. Ada masanya isteri perlu ‘me time’ untuk dirinya.
Kanak-kanak dipukul dengan tukul masih kritikal, suspek disahkan ada rekod dadah & halusinasi. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Jelawat, Bachok, Khamis lalu masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.