
Sungguh mulia hati peniaga ikan ini. Bukan keuntungan semata-mata yang dicari. Dalam berniaga ada sedekahnya. Inilah yang diceritakan oleh Saudagar Jalanan terkenal, Ikram Al Banjari tentang seorang lelaki bermotosikal yang mahu membeli ikan di tapak jualan ikan.
Cerita Lelaki Yang Singgah Ke Khemah Jualan Ikan
Ada lelaki yang membuatkan aku menangis dalam hati sebentar tadi.
Ada banyak cerita pahit manis sepanjang kami berjualan ikan sejak kelmarin. Antara yang aku masih terkesan sampai ke saat ini ialah cerita seorang lelaki tadi.
Dia datang singgah ke khemah jualan kami. Meletakkan motosikal betul-betul di hadapan khemah dan terus berjalan ke mari. Kami ‘greet’ seperti biasa. Selepas puas mundar mandir melihat ikan, dia memanggil aku ke tepi.
“Sini jap adik “
“Ya bang? Apa boleh saya bantu? “
“Abang cakap ni jangan marah ya. Nak tanya dulu ni. Ikan Kembung tu dua ringgit dapat berapa ekor ? “
Aku senyum. Aku tersentak.
“Takpa bang. Sekejap ya saya timbang dulu “
Aku ambil beberapa ekor ikan kembung dan letakkan di atas penimbang digital. Aku tekan harga RM5 sekilo. Jawapan yang aku dapat selepas timbang ialah RM2.30 untuk 5 ekor.
“Bang, saya dah timbang tadi. Dapat 5 ekor “
Beliau senyum dengar jawapan aku. Nampak suka betul.
“Ha. Baguslah kalau macam tu. Bagilah 2 ringgit “
Aku bungkuskan 5 ekor tadi dan aku topup ikan ekstra untuknya. Aku bagi lebih lagi untuk beliau.
“Nah bang “
“Terima Kasih dik ya. Terima Kasih banyak. Abang doakan bisnes adik maju.“
Mungkin Abang Tadi Sedang Diuji
Beliau terus ke motosikal dan bergegas pulang. Ini kisah realiti kehidupan yang benar-benar wujud. Mungkin abang tadi sedang diuji. Aku hanya mampu mendoakan apa saja urusan beliau dipermudahkan. Apa pun yang terjadi, tangungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyediakan lauk pauk di dapur mesti ditunaikan. Dapur mesti berasap.Aku salute.
Dua ringgit nilainya pelbagai di mata orang. Bagi kita, mungkin itu cuma nilai beli jajan buat anak. Mungkin juga, itu cuma nilai untuk bayar parking di pusat membeli belah. Tetapi, ada orang cuma berbelanja 2 ringgit itulah untuk mengenyangkan semua perut yang ada di rumah.
Begitulah. Hidup mesti terus. Usaha jangan putus-putus.
Kami Masih Berada Di Siini.
Di hadapan Stesen Minyak Petron Putra Heights Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan untuk menjual ikan.
Ikan Kembung RM5 sekilo
Ikan Kerisi RM7 sekilo
Ikan Cencaru RM7 sekilo
Ikan Tongkol Hitam RM11 sekilo
Ikan Mata Besar RM8 sekilo
Ikan Sardin RM7 sekilo
Ikan dari Kuantan, bukan dari Kotak. Tak percaya datang tengok sendiri. Tak jadi beli tak apa, sekurang-kurangnya kita jadi kawan. Tak gitu?
Mak-mak kalau nak beli ikan, jangan datang hari biasa. Seban jualan ikan peniaga berhati mulia ini cuma setiap hari Sabtu Ahad sahaja.
Sumber/Foto : Ikram Al-Banjari
Hasrat Sambut Syawal Tidak Kesampaian, Jenazah 4 Beranak Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

Allahu, sayu rasa hati bila mendengar berita melibatkan kemalangan maut melibatkan kaum keluarga tatkala Syawal semakin menghampiri.Apatah lagi segala persiapan dan keperluan barangan raya telah dibeli namun hasrat untuk menyambut lebaran tidak kesampaian apabila ajal dan maut telah menjemput tiba. Lebih memilukan, pasti sedih dan terkilan rasa hati ketika kejadian berlaku didepan mata, namun cubaan untuk menyelamatkan insan tersayang gagal kerana ketidakupayaan kudrat untuk membantu.
Cuba Bantu Ibu Tersepit
“Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.
Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan. Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu. Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.
“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman. Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.
Kereta Rempuh Penghadang Jalan
Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.
“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Beli Barang Keperluan Persiapan Syawal
Sementara itu,tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman di sini,selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan, semalam.
Lebih memilukan kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli-belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.
Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memaklumkan enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.
“Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah…saya di sini (rumah) menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.
“Kali terakhir isteri telefon jam 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah… saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR)Temerloh untuk berehat sebelum dimaklumkan pagi ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.
Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.
“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.
“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan… kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad
Jenazah empat beranak tersebut telah disolatkan di Surau Ar Ridhuan, Bandar Cheneh Baru pada 10.30 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheneh Baru, Chukai, pada 11.50 malam tadi. Jenazah mereka yang siap dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Jengka, Pahang, dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan dalam satu liang.
Sementara itu, suami Allahyarham Azian, Mazlan Mohd Rashid, 54, berkata dia bersyukur jenazah isteri dan tiga anaknya dapat dikebumikan dalam satu liang.
“Ramadan kali ini sangat menguji kekuatan dan kesabaran saya menghadapi dugaan Allah yang mengambil isteri serta tiga anak kesayangan sekali gus,” katanya sebak.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak sama ada di Pahang atau di Terengganu yang membantu melicinkan proses tuntutan mayat ahli keluarganya sehingga selesai pengebumian.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman pada bulan yang mulia. Semoga kita lebih berhati-hati dijalanraya, pandu dengan cermat dan dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang.
Sebelum Dirempuh Kereta, Pelari Marathon Ini Sempat Merakam Gambar Dan Berbalas WhatsApp Dengan Isteri..

Ada cerita di sebalik kemalangan tragis membabitkan 3 peserta larian Klang City International Marathon yang dirempuh kenderaan Proton Iswara di Batu 2, Jalan Kapar 10 Disember lalu.
Wartawan Mingguan Wanita, menemubual seorang mangsa nahas, Amiruddin Hamid, 37 yang cedera di bahagian kepada selepas perlanggaran yang berlaku jam 4.30 pagi itu.
Manakala 2 lagi mangsa, seorang bloggerm Evelyn Ang Gek Suan, 44, parah di bahagian kepala dan rahang. Mangsa ketiga, Ahmad Hadafi Jus, 42 cedera di bahagian kaki.
Suami Hantar Gambar Maklum Dah Lepas 14KM Larian
Menurut Amiruddin yang bertugas sebagai juruteknik di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Shah Alam ini, dia sempat merakam gambar ketika berhenti di checkpont yang tertera tulisan 14KM dan dihantar kepada isterinya Rosmizar Ishak, 34 beberapa minit sebelum meneruskan larian.
Kata isterinya, semasa berhenti di chekpoint itulah suaminya sempat berbelas whatsapp dengannya. Ibu tiga anak ini sama sekali tak menyangkan suaminya terlibat dalam kemalangan terbabit.
“Dia sempat rakam gambar, hantar dekat saya dan beritahu dah lepas 14KM larian. Setengah jam lepas itu saya terkejut bila polis maklumkan suami kemalangan.”
Segera dia bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas menerima panggilan kecemasan itu.
“Saya bersyukur, suami terselamat dalam kejadian. Meskipun dia cedera di bahagian kepala, selain luka-luka kecil di bahagian badan lain.
“Kejadian ini pertama kali menimpa suami saya yang gemar menyertai larian, memanjat gunung dan aktiviti-aktiviti lasak yang lain.”
Luka Di Kepala Belum Sembuh
Empat hari suami berada di dalam wad. Syukur kecederaan suaminya tak serius. Bagaimanapun masih perlu dirawat dengan rapi bimbang jankitan kuman.
“Alhamdulillah luka dekat bahagian lain semakin kering. Cuma di kepala ambil masa agak lama. Jari telunjuk belah kiri dan di bahagian kaki beransur pulih.”
“Sepanjang di hospital saya yang jaga suami. Tiga orang anak dijaga keluarga. Selepas kemalangan, suami masih trauma. Sekarang ini masa untuk pulihkan semangatnya.
“Kalau dia nak lari balik pun kena tunggu 3 bulan lagi. bagi betul-betul pulih. Itupun larian dalam jarak 10KM tak lebih dari itu.
Amiruddin yang kini masih bercuti sakit, maklumkan pergerakannya terbatas kerana bahagian badan yang cedera masih belum pulih sepenuhnya.
“Kejadian yang berlaku terlalu pantas. Selepas dilanggar saya tak sedarkan diri dan tak ingat apa-apa. Saya bersyukur kerana Allah beri kesempatan saya bernafas lagi.
“Pergerakan saya terbatas. Alhamdulillah isteri banyak membantu dan menjaga saya sepanjang berada di hospital.
“Saya sangat hargai pengorbanan isteri. Walaupun penat menjaga tiga anak kami, dia masih bertenaga menjaga saya di hospital.”
Takkan Serik Berlari
Perasaan Amiruddin sedikit hiba kerana sesi pembukaan sekolah yang lalu, dia tak dapat bantu isterinya uruskan persekolahan anak-anaknya.
“Jika saya banyak bergerak, saya akan berasa pening kerana kecederaan di bahagian kepala masih belum pulih.”
Suaminya aktif dalam larian sejak 2 tahun lalu. Waktu itu dia sertainya sekadar suka-suka dan tujuan kesihatan.
“Kadangkala saya ikut sekali larian seperti Fun Run dan bawa anak-anak bersama. Larian aktiviti yang menyihatkan. Saya pun beri suami galakan.” tutur Rosmidar
Akui Amiruddin, “Saya tak serik dan tak sabar nak sembuh. Dengan hobi larian ini saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru dan mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan lama.
“Boleh dikatakan, cara saya rehat dan lepaskan tekanan di hujung minggu adalah dengan melakukan aktiviti kecergasan.”
Sumber : Sinar Harian & Koleksi Peribadi Amirruddin
Tak Berpantang Betul Sebabkan Ibu Ini Meroyan Hampir Nak Tikam Anak, Kemurungan Akhirnya Hilang Dengan 9 Cara

Sekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashid tak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Saya Capai Pisau Dan Hampir Tikam Anak-anak
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Kisah Meroyan Ini Bermula
Februari 2015
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Februari 2016
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Kawan Saya Kesan Tulisan Di Facebok Seperti Adanya Simptom Meroyan
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Ini Yang Paling Teruk Saya Nak Lakukan Masa Meroyan,
Kurung Diri Dalam Bilik
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Bila Sendirian Atau Dengar Bising Suara Anak-anak Akan Berhalusinasi
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Menangis Dan Rasa Diri Tak Berguna, Tapi Tak Buat Apa-apa
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Fikirkan Nak Bunuh Diri
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Rasa Penat, Badan Sakit, Pergerakan Terbatas
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
9 Usaha Mastura Hilangkan Meroyan Dan Rawat Diri
Pertama : Sibukkan Diri, Tapi Hati Tak Juga Gembira
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Kedua : Menulis Di Facebook
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Ketiga : Mak Minta Minum Air Ubat Dari Herba
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Keempat : Baca Buku Motivasi
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Kelima : Segera Dapatkan Sokongan
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Keenam : Demi Nak Sihat, Tak Hirau Apa Kata Negatif Orang
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Ketujuh : Mula Berkongsi Perawatan Meroyan Dengan Natural Remedy
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.
Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Kelapan : Baca Doa Hilangkan Sedih Dan Resah
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Kesembilan : Sentiasa Amalkan Zikir Pagi
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِيْ وَدُنْيَايَ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِى وَآمِنْ رَوْعَاتِى. اَللَّهُمَّ احْفَظْنِيْ مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِيْ، وَعَنْ يَمِيْنِيْ وَعَنْ شِمَالِيْ، وَمِنْ فَوْقِيْ، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِيْ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)

Perilaku Ibu Meroyan Kerap Berubah Watak, Dari Bidadari Syurga Ke Raksasa
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.

Wahai Suami! Perhatikan Perubahan Isteri Jika..
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
لرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِم (سورة النساء: 34)
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Nasihat Ibu Rose Tentang Meroyan
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.
- Cari orang yang boleh membantu untuk sedarkan anda. Bantuan daripada doktor atau pakar yang boleh
- berbincang untuk tindakan selanjutnya.Dekatkan diri dengan orang-orang yang positif dan empati, ada perasaan timbang rasa dan ada ilmu.
- Letakkan diri dalam vibrasi yang tinggi. Ini kerana semasa meroyan, vibrasi (tenaga) seseorang dalam keadaan rendah. Bila rendah ia akan menarik gangguan atau attach dengan yang bervibrasi rendah seperti jin. Masa itulah kita rasa teruk dan sebagainya.
- Solat dan amalkan zikir.
- Macam Ibu, apa yang Ibu lakukan adalah usahakan tolong orang lain. Misalnya berikan kata-kata semangat. Dari situ vobrasi akan naik. Dan makhluk ini takkan dapat attack pemikiran yang lebih kuat.
- Para suami kena peka dan prihatin dengan perubahan isteri. Kerana mungkin isteri sedang alami postnatal depression. (lihat simptom yang dikongsikan Puan Mastura)
Sumber/Foto : Mastura Rashid, Sesi Live Ibu Rose ‘An Evening With Ibu Rose’