Jika Ambil Moratorium, HANYA Sambung Bayar Macam Biasa, TIADA Caj Tambahan

Share

Ramai yang ternanti-nanti sama ada terdapat caj tambahan atau tidak kepada peminjam sewa beli jika mengambil moratorium.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah apabila Menteri Kewangan mengesahkan bahawa tiada caj tambahan atau penalti lewat bayar jika ambil moratorium seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Tiada caj tambahan dikenakan kepada peminjam sewa beli konvensional dan syariah sepanjang tempoh moratorium pembiayaan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian membuat keputusan itu selepas mencapai kata sepakat dengan industri perbankan.

Jumlah Ansuran Tidak Berubah

Beliau berkata, persetujuan dicapai menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan tidak berubah bagi kedua-dua jenis pembiayaan berkenaan.

Sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma perjanjian dengan bank masing-masing.

“Ia termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium berkenaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, maklumat lanjut boleh didapati daripada bank masing-masing.

“Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga mak, ayah sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat sepanjang tempoh PKP ini. Mungkin duit bayaran kereta yang ditangguhkan buat beberapa bulan ini dapat disimpan untuk kegunaan lain pada masa akan datang. 

IKLAN