
Ibu tuntut keadilan anak dirempuh pemandu mabuk, Zulfikar Zamir meninggal selepas 13 hari bertarung nyawa.
“Saya hilang tempat bergantung. Arwah menghembuskan nafas terakhir pada 4.28 petang ketika menerima rawatan. Inilah luahan hati Hamidah Othman, 51 selepas anak sulung kesayangannya, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam meninggal dunia selepas bertarung nyawa 13 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Berusia 27 tahun, Zulfiqar yang bekerja sebagai penasihat servis di sebuah syarikat automotif mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk patah tangan, kaki kanan, tulang belikat serta tiga jari terpaksa ditidurkan selepas mengalami pendarahan otak akibat parah selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kenderaan dipandu pemandu mabuk yang melawan arus dalam kejadian di Persiaran Kota, di sini pada 13 Mei lepas.
Hamidah berkata, mereka sekeluarga dipanggil doktor untuk berkumpul di wad berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi selepas keadaan anak saya dilaporkan semakin merosot.
“Pihak hospital kemudian memaklumkan bahawa keadaan anak saya agak kritikal dan dirinya hanya bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan sebelum denyutan nadinya didapati semakin menurun,” katanya sebak.
Ibu ini turut memaklumkan, hasrat anaknya mendirikan rumahtangga juga berakhir dengan tragedi menyayat hati.
“Anak bekerja secara sambilan sebagai penghantar makanan. Dia nak kumpul duit untuk majlis perkahwinannya yang dijangka berlangsung di Pasir Gudang, Johor pada Disember depan. Dirinya dirempuh ketika keluar mencari rezeki untuk persiapan majlisnya.
“Pihak kami juga telah menghubungi pegawai penyiasat polis untuk memaklumkan mengenai berita kematian anak saya bagi membolehkan siasatan kes ini dikemas kini mengikut perkembangan terbaharu.
“Kami amat berharap agar peruntukan seksyen atau pertuduhan bagi kejadian ini dapat dinaikkan atau ditukar serta-merta kepada hukuman yang lebih berat memandangkan Zulfiqar kini telah pun meninggal dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirul Nizam berkata tindakan tegas perlu diambil memandangkan kemalangan yang meragut nyawa anak sulung daripada empat beradik itu dipercayai berpunca daripada kecuaian seorang pemandu mabuk, sambil menegaskan bahawa individu terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya yang bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah turut memusnahkan masa depan anaknya.
“Kehilangan Zulfiqar amat dirasai oleh kami semua kerana arwah merupakan tunjang utama serta tulang belakang yang banyak membantu keluarga selama ini.
“Selain tidak sempat merealisasikan impiannya untuk membuka perniagaan sendiri, hasrat murni arwah untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini juga terkubur,” katanya.
Jenazah Allahyarham Zulfiqar Zamir selamat di kebumikan ke kampung halaman iaitu di Tanah Perkuburan Islam Hutan Melintang, Perak, malam semalam.
Pada 18 Mei lepas, seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penghantar p-hailing.
Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.
Jumlah itu melebihi had 146 mg alkohol dalam 100 ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Zulfiqar Zamir di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei.