Kekeluargaan

Ibu Syed Saddiq Pernah Menangis, Sampai Orang Kata Tak Pandai Didik Anak

Share

Ibu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz meluahkan rasa syukur dan gembira selepas anaknya bersama selebriti Bella Astillah mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada 10 Oktober depan.

Ibu Syed Saddiq Syed Pernah Menangis

Menurut Sharifah Mahani, pengumuman tersebut turut melegakan ahli keluarga yang kini boleh memberikan tumpuan terhadap persiapan majlis kedua-dua belah pihak.

“Allahuakbar, sungguh gembira. Amat-amat menggembirakan kerana sekarang ramai yang sudah tahu tentang hal ini.

“Ahli keluarga juga rasa senang dan persiapan akan dibuat seberapa segera. Marilah kita sama-sama doakan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sampai Orang Kata Tak Pandai Didik Anak

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan tersebut, bekas guru yang berkhidmat selama 38 tahun itu mengakui pernah menangis selepas menerima pelbagai mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mempertikaikan dirinya sebagai seorang ibu selain mengeluarkan kata-kata negatif terhadap Syed Saddiq dan Bella.

“Pada awalnya saya menangis sebab tak biasa dengan situasi macam ini. Ada yang kata saya gagal jadi ibu, tak pandai mendidik Saddiq dan memalukan keluarga.

“Ada juga yang berkata negatif tentang Bella dan memandang rendah anak saya. Memang susah nak terima pada awalnya,”

ujarnya.

Lebih mengejutkan, Sharifah Mahani mendakwa ada antara mesej tersebut mengandungi kata-kata nista dan ugutan malah pengirim menggunakan nombor lain selepas disekat.

“Kadang-kadang setiap minggu terima mesej, kadang-kadang seminggu dua kali. Bila saya sekat, ada yang guna nombor lain.

“Bukan dari dalam negara sahaja, ada juga nombor dari luar negara seperti Singapura. Saya sendiri tak tahu macam mana mereka boleh dapat nombor telefon,” katanya.

Namun, dia kini memilih untuk menerima perkara tersebut sebagai lumrah dan hanya berharap urusan pernikahan Syed Saddiq bersama Bella dipermudahkan.

“Yang penting Allah Maha Mengetahui hubungan mereka. Biarlah hubungan mereka sah dari segi agama.

“Saya hanya mendoakan semoga Allah permudahkan, sahkan mereka bernikah pada tarikh tersebut dan bahagia sampai ke Jannah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengumumkan bakal bernikah pada 10 Oktober depan selepas membuat pengumuman rasmi.

Sumber: Astro Gempak

Published by
Nadia Mohamad