Ibu Sebak Terima Skrol Diploma Arwah Anak – “Hadiah Terakhir Airel Buat Saya”

Share

Suasana sebak menyelubungi Majlis Konvokesyen UniSZA ke-17 apabila seorang ibu, Noorzalawati Jaafar, 51, naik ke pentas menerima skrol diploma secara anumerta bagi pihak anaknya yang telah meninggal dunia, Muhammad Aieril Adam Mohd. Abdul Patah, 21.

Air mata seorang ibu tumpah sewaktu naik ke pentas untuk menerima skrol diploma yang dianggapnya sebagai “hadiah terakhir Airel buat saya” — tanda kasih yang kekal abadi daripada arwah anak tersayang yang tidak sempat menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kredit foto: Harian Metro

Hadiah Terakhir Dari Arwah Airel

Noorzalawati dari Gua Musang, Kelantan, berkata skrol diploma tersebut bukan sekadar simbol akademik, tetapi kenangan paling bermakna sepanjang hidupnya. Bagi beliau, kejayaan anak bongsunya itu merupakan hadiah terakhir daripada Allah yang tidak ternilai.

“Kenangan bersama arwah sentiasa bermain di fikiran, terutama kata-katanya yang selalu menyebut akan meninggal dunia pada hari Jumaat,” katanya dengan suara tersekat menahan sebak.

Anak bongsunya, Muhammad Aieril Adam atau mesra disapa Airel, merupakan pelajar Diploma Reka Bentuk Perindustrian di UniSZA. Namun, takdir menentukan Airel pergi menghadap Ilahi dua minggu sebelum menamatkan pengajian, pada 25 Oktober tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Noorzalawati (tengah) bersama dua anaknya sebak menerima skrol diploma Airel pada majlis Konvokesyen UniSZSA ke-17 di Kuala Nerus. Kredit foto: Kosmo online

Penantian Lapan Tahun, Reda Dengan Takdir

Noorzalawati berkata beliau menunggu selama lapan tahun sebelum dikurniakan Airel, menjadikan pemergian anak bongsunya itu amat dirasai. Namun, di sebalik kehilangan besar itu, beliau memilih untuk reda dengan ketentuan Allah.

“Saya tunggu kelahiran arwah lapan tahun tapi ini takdir yang saya perlu terima. Saya reda dunia akhirat kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen UniSZA.

Menurutnya, Airel merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan amat rapat dengannya. Walaupun masih muda, arwah sering menunjukkan kematangan dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Detik Akhir Bersama Arwah

Mengimbau detik terakhir bersama anaknya, Noorzalawati berkata dia menerima panggilan daripada pihak Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan terus bergegas dari Gua Musang ke Kuala Nerus. Perjalanan dua jam itu terasa begitu panjang, namun takdir menentukan beliau sempat berada di sisi Airel ketika menghembuskan nafas terakhir.

“Saya pandang mukanya ketika itu dan cakap, saya reda dunia akhirat kalau ini ketentuan Allah. Tak lama selepas itu, dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya dengan nada sebak.

Noorzalawati turut berkongsi bahawa beliau sendiri yang memandikan dan mengkafankan jenazah anaknya sesuatu yang dianggapnya sebagai pengorbanan terakhir seorang ibu buat anak tercinta.

Kredit foto: Universiti Sultan Zainal Abidin

Bangga Di Pentas Konvokesyen UniSZA

Menurut Noorzalawati, beliau hadir ke Majlis Konvokesyen UniSZA ke-17

bukan untuk bersedih, tetapi untuk menunjukkan rasa bangga terhadap usaha anaknya yang berjaya menamatkan pengajian walaupun tidak sempat meraikannya.

“Saya tak datang untuk menangis, tapi untuk bangga. Skrol ini bukti usaha dan semangat Airel. Saya tahu dia gembira bila saya naik pentas terima bagi pihaknya,” katanya.

Ketika beliau naik ke pentas, suasana dalam dewan menjadi hening. Ramai tetamu, termasuk para graduan dan tenaga pengajar, tidak dapat menahan air mata melihat ketabahan seorang ibu menerima skrol diploma arwah anak dengan penuh kekuatan.

Kredit foto: Universiti Sultan Zainal Abidin

Kasih Abadi Seorang Ibu

Kisah ini menjadi bukti bahawa kasih seorang ibu tidak pernah terpadam walaupun dipisahkan oleh ajal. Noorzalawati berkata, beliau akan menyimpan skrol itu sebagai kenangan paling berharga, simbol kasih, doa, dan pengorbanan antara ibu dan anak.

“Saya reda dengan pemergiannya, tapi rindu itu takkan pernah hilang. Skrol ini saya anggap hadiah terakhir Airel buat saya, dan saya akan jaga ia sampai bila-bila,” katanya mengakhiri perbualan.

Kredit foto: Universiti Sultan Zainal Abidin

Sesungguhnya, kisah ibu terima skrol diploma arwah anak ini menjadi inspirasi buat ramai bahawa cinta dan doa seorang ibu tidak berakhir di dunia, malah kekal menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Sumber: Kosmo online Harian Metro dan Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel penuh: Anak Gadis Yang Dipelihara Ibu Angkat Cina Sejak Bayi Berjaya Genggam Diploma Terima KasihLaoshi Membesarkan Saya

“Rezeki Anak, Hadiah Dari Allah”- Ibu Muda Berpantang Rai Dua Anugerah Utama UniSZA

Tak Sempat Tengok Anak Bawa Balik Ijazah, Gadis Bangga Tunaikan Impian Ayah Jadi Doktor

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has