
Kesedihan yang sukar digambarkan dirasai oleh Nur Izati Mohd Hairi, 34, apabila kehilangan anak kesayangannya, Muhammad Zafri Aman Shaiful, 11 tahun, yang meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai akibat lemas ketika menyertai aktiviti renang di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, baru-baru ini.
Walaupun diuji dengan kehilangan besar itu, Nur Izati dan suaminya, Aman Shaiful Yatin, 39, menerima pemergian anak mereka dengan hati yang reda.
“Saya dan suami reda dengan pemergian Zafri. Kami tidak salahkan sesiapa kerana cikgu-cikgu sudah menjaga dan mendidik anak kami dengan baik,” luahnya ketika ditemui pada Ahad.
Katanya lagi, Zafri merupakan anak kedua daripada lima beradik dan antara pasangan kembar yang disahkan menghidap autisme sejak berusia setahun. Kedua-duanya, Zafri dan kembarnya, Muhammad Zakir, sangat rapat serta aktif dalam aktiviti harian.
“Rumah kami dulu riuh dengan suara Zafri, dia suka buat bunyi-bunyi sebab itulah cara dia mengekspresikan diri, tapi kini suasana itu tidak sama lagi, rumah kami jadi sunyi.
Zakir pun banyak termenung, dia cakap rindu abangnya dan mahu tidur di bilik mereka semula,” katanya.
Menurutnya, Zafri begitu teruja pada pagi kejadian. Anak kecil itu bangun lebih awal daripada kebiasaannya dan tidak sabar untuk ke sekolah bagi menyertai aktiviti air yang dijadualkan.
“Selalunya dia mandi bila hari dah cerah, tapi pagi itu dia mandi awal sekitar 6.40 pagi dan tak sabar nak ke kolam renang.
Malam sebelumnya itu pun dia ada cakap seronok nak buat aktiviti air keesokannya,” cerita Nur Izati.
Namun, kegembiraan itu bertukar duka apabila dia menerima panggilan daripada guru anaknya sekitar jam 10.38 pagi yang menangis sambil menyebut nama Zafri dan meminta dia segera ke kompleks sukan berkenaan.
“Saya bergegas ke sana dan bila sampai, saya lihat anak sudah terbaring kaku, badannya kebiruan.
Jurulatih sudah cuba beri bantuan pernafasan tapi saya dimaklumkan nadi Zafri dah tiada, saya hanya mampu berdoa semoga ada keajaiban,” ujarnya sebak.
Menurut Nur Izati, di hospital, pasukan perubatan berusaha menyelamatkan Zafri sehingga nadi anaknya kembali berdegup.
“Saya sangat bersyukur dan anak diberikan rawatan serta bantuan pernafasan namun keadaannya semakin kritikal apabila dia sudah tidak boleh menerima susu (dimasukkan melalui tiub).
Selain itu otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak, itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Muhammad Zafri kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan kejadian membabitkan murid Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan itu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Program Sokongan Keyakinan Air di kolam renang Kompleks Sukan Desa Tasik pada Rabu.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan susulan sebelum disahkan meninggal dunia pada Jumaat sekitar jam 2.30 petang.
Sumber: Sinar Harian
Artikel lain: Pensyarah UiTM Lemas: Insiden Tragik Di Kolam Renang Resort Kemaman
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE