Ibu muda menghadap Ilahi selepas bersalin anak kedua, sebaj bila suami titip doa buat isteri. Belum sempat memeluk apatah lagi menyusukan bayi yang baru dilahirkan, seorang ibu muda, Ain Farhana Mohd Fadzli, dijemput Ilahi sejurus selepas melahirkan anak keduanya.
Kisah pemergian wanita berusia 27 tahun itu menyentuh hati ramai, terutamanya apabila video suasana pilu itu mula tular di media sosial dan mengundang air mata dalam kalangan warga maya.
Di saat kelahiran sepatutnya menjadi detik paling bermakna buat sesebuah keluarga, takdir Tuhan telah mengubah segalanya. Suaminya kini perlu menelan kenyataan pahit apabila kehilangan isteri tercinta pada hari yang sepatutnya membawa kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
Menurut laporan, Ain Farhana dilaporkan mengalami komplikasi serius di bahagian kepala sejurus melahirkan anaknya. Pemergian mengejut itu benar-benar meruntun jiwa insan-insan tersayang, terutamanya si suami yang setia menemani hingga ke hembusan nafas terakhir isterinya.
Menerusi video yang dimuat naik oleh mr_wan_cai_official kelihatan si suami membaca doa penuh emosi di sisi jenazah isterinya. Rakaman itu nyata menyentuh hati ramai apabila dia meluahkan isi hatinya dalam suasana penuh sebak dan duka.
“Ya Allah, dia adalah ibu dan isteri yang terbaik. Dia pilih nyawa anaknya berbanding dirinya sendiri,” luah si suami dalam nada penuh sebak.
Video turut memperlihatkan suasana penuh hiba sepanjang pengurusan jenazah Ain Farhana. Tangisan dan rasa redha daripada ahli keluarga menyelubungi persekitaran, sementara si suami memberikan ciuman terakhir kepada isterinya sebagai tanda kasih yang abadi.
Kisah Ain Farhana bukan sahaja meruntun hati keluarga terdekat, malah turut mengundang simpati warganet. Ramai yang tidak mampu menahan air mata apabila melihat video doa terakhir dari si suami, lebih-lebih lagi apabila mengetahui wanita itu tidak sempat menatap wajah bayi yang dikandungnya selama sembilan bulan.
“Doa Ikhlas Buatmu, Wahai Isteriku yang Tercinta…Ikhlas aku titipkanmu pada Allah saat kau pergi di pelukan keabadian dengan darah perjuangan, kau hadiahkan kehidupan anak kedua kita lahir, sementara engkau kembali pada Pencipta-Mu…”
Ucapan takziah serta doa buat arwah Ain Farhana membanjiri ruangan komen. Rata-rata memohon agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
Kisah ini menjadi peringatan buat kita semua betapa besar pengorbanan seorang ibu demi melahirkan zuriat ke dunia. Semoga Allah mengangkat darjat arwah dan memberi kekuatan luar biasa buat si suami serta dua anak yang kini menjadi amanah terakhir isteri tercinta.
Sumber: Instagram mr wan chai official
Baca artikel lain juga: Isteri Akbar Sahari Meninggal Dunia, Lama Berjuang & Melawan& Kanser
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE