
Nurul Hafizah Shaary, 39 dan anak keduanya, Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan tragis yang berlaku pada jam 6 petang itu. Seorang lagi anak arwah, Nur Radya Athalia, 4, disahkan menghembuskan nafas terakhir setibanya di Klinik Kesihatan Jerangau di sini.
Dalam pada itu, dua lagi anak Nurul Hafizah yang turut berada di dalam kenderaan utiliti sukan SUV Aruz iaitu Nur Raesha Amanda,14, dan Nur Rakhis Aral Yn, 9 pula mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Menurut adik Nurul Hafizah, Mohd Saddam, 33, kemalangan menimpa kakaknya itu berlaku ketika arwah yang menetap di Ajil dalam perjalanan pulang daripada majlis perkahwinan adik bongsu mereka di sini semalam.
“Pada majlis berkenaan, kakak kelihatan begitu ceria dan mesra malah sempat bergurau senda dengan ahli keluarga yang hadir. Saya amat terkejut dan luluh hati apabila menerima berita kakak maut bersama dua anaknya selepas SUV yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan hanya beberapa jam selepas kami bersama,” katanya ketika berkongsi berita duka itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, dalam tragedi menyedihkan ini, Nurul Hafizah yang bekerja sebagai ejen sebuah syarikat penapis air dan udara dalam perjalanan dari Jerangau ke Ajil, Hulu Terengganu bersama empat anaknya.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV dipandu mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke laluan bertentangan, seterusnya melanggar paip air dan merempuh tiang elektrik di sebelah kanan jalan.
Ketiga-tiga mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Kredit :- Sinar Harian/ Bernama