
Ibu ayah arwah Nurly Shahirah sebak ambil ijazah anumerta anak, kami cuba senyum tapi rasa kosong. Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-27 di Tanjung Malim apabila nama Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23 dan Fatin Nasrien Fadli, 22, disebut di hadapan ribuan hadirin.
Jika graduan lain tersenyum bangga menerima skrol hasil usaha bertahun menimba ilmu, berbeza pula bagi dua arwah pelajar ini. Saat nama mereka diumumkan yang melangkah ke pentas bukan dua graduan itu sebaliknya ibu dan ayah mereka yang hanya mampu menahan sebak menerima ijazah anumerta, tanda penghargaan atas perjuangan anak-anak yang telah pergi terlalu awal.
Kedua-dua arwah merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur–Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, pada 9 Jun lalu.
Hari itu, buat seketika, tepukan bertukar menjadi tangisan dan konvokesyen yang biasanya penuh tawa bertukar menjadi simbol kasih, kehilangan dan kebanggaan seorang ibu ayah.
Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang menyampaikan ijazah anumenta tersebut turut dilihat menyeka air mata selepas menonton montaj khas tragedi berkenaan yang dipaparkan di dewan. Detik itu menjadi antara momen paling menyentuh hati sepanjang istiadat berlangsung.
Bagi Azman Mohamad, 63 tahun, bapa kepada arwah Nurly Shahirah, perasaan yang dirasai sukar digambarkan antara bangga dan pilu yang bertindih.
“Saat nama dia disebut, saya cuba kuat. Saya tak nak menangis. Saya cuba senyum tapi dalam hati rasa kosong tu tak pernah hilang,” katanya dengan suara bergetar.
Azman menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (Kepujian) milik anaknya daripada Tuanku Zara. Menurutnya, Nurly merupakan anak yang sangat berdedikasi dan bercita-cita besar mahu menjadi guru pendidikan khas, namun takdir menentukan sebaliknya.
““Sebagai seorang ayah dan ibu, hati mana yang tidak sedih kerana UPSI menjadi sejarah harapan kami untuk melihat anak naik ke podium tetapi ALLAH SWT telah aturkan dengan sebaiknya.
“Rasa sedih dan gembira bercampur-baur ketika nama anak disebutkan. Alhamdulillah, ALLAH SWT beri kekuatan, kesedihan itu disimpan, walaupun hati kecil ini berasa sayu,” katanya yang turut ditemani isteri, Kamariah Abdul Latif, 60, di Dewan Tuanku Canselor di sini.
Dalam kesedihan itu, keluarga kecil ini tetap menemui kekuatan. Abang kepada arwah, Mohd Najmuddin, kini menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Khas secara pembelajaran jarak jauh, sebagai cara meneruskan impian adik tersayang.
“Dia kata, biarlah dia teruskan apa yang adik dia mulakan. Nurly mungkin tak sempat jadi cikgu tapi semangat dia tetap hidup,” kata Azman lagi.
Sementara itu, Fadli Abd Rahman, 50 tahun, bapa kepada arwah Fatin Nasrien, turut berkongsi rasa yang sama.
“Saya gembira, tapi lebih banyak sedihnya. Dia anak sulung, harapan saya dan contoh kepada adik-adiknya. Terima kasih kepada UPSI kerana tidak melupakan arwah. Penghargaan ini sangat bermakna buat kami,” katanya.
Istiadat Konvokesyen UPSI kali ini berlangsung hingga 18 November di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City meraikan seramai 7,173 graduan. Namun dua daripadanya diraikan dalam kenangan, dengan penuh doa dan air mata.
Dan di sebalik tepukan gemuruh yang bergema di dewan itu, satu hakikat kekal abadi
kasih ibu dan ayah tidak pernah putus walau anak telah pergi.