adik beradik

Ibarat air dicincang yang takkan putus, begitulah istimewanya hubungan adik beradik.Namun yang membuat rasa terkilan, apabila adik beradik semakin meningkat dewasa, usia semakin bertambah dan masing-masing sibuk mengejar impian serta cita-cita masing-masing.Hubungan yang pernah erat ini semakin renggang dan menjauh.

Mungkin ada adik beradik yang berjaya dalam hidup dan mungkin ada juga yang kecundang. Namun, janganlah sampai kita mengabaikan hubungan adik beradik meskipun sudah berbeza haluan. Kenangkan kembali zaman kanak-kanak kita membesar bersama-sama di bawah bumbung rumah yang sama dan berkongsi rahim yang sama.

Adat adik beradik ada kala terjadinya perselisihan faham dan perselisihan pendapat. Bila dah bermasam muka dan tidak bertegur sapa, nak berbaik semula tu yang susah.Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.Jagalah hubungan sesama adik beradik, saling bermaafan dan menghormati. Kadang kala mengalah bukan sebab kalah, kita mengalah sebab hormatkan dengan hubungan yang ada.

Sebenarnya bila adik beradik bergaduh sebenarnya telah hilang rahmat Allah dalam keluarga tu sebab tu penting jaga hubungan dengan adik beradik.Kalau kita tengok ada adik beradik kita susah sikit dan Allah bagi kita rezeki lebih.Bantulah adik beradik kita.Bukan kah sebaik baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat.

Ini antara 10 tip yang boleh dipraktikan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik beradik.

Tip Jaga Hubungan Adik Beradik:

1. Solat Berjemaah

Jika masih tinggal serumah, rebut peluang solat secara berjemaah sesama adik beradik. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Jika berjauhan,jadikan amalan solat berjemaah ini sebagai rutin setiap kali berkumpul bersama.

2. Makan Bersama

Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, tetapkanlah satu waktu dan keraplah makan bersama-sama. Selain itu, boleh juga sesekali makan didalam dulang dengan adik beradik. Selain merupakan sunnah ia mampu mengeratkan lagi hubungan adik beradik, apabila dapat bergurau senda dan makan bersuap pasti menambah kemesraan. Bahkan jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.

3. Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik

Berbanding kawan-kawan, adik beradik, mak ayah dan keluarga kita lah antara orang yang paling boleh dipercayai. Ini kerana mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain dan dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.

4. Melakukan Aktiviti Bersama-Sama

Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah,bersenam, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan.

5. Menyambut Hari Penting

Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan mak ayah dan sebagainya.Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.

6. Memberi Hadiah Dan Buah Tangan

Jika ada rezeki lebih, contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan.

7. Sentiasa Berhubung

Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.Contohnya aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja. Tidak seperti zaman dahulu yang memerlukan sepucuk surat sampai berhari-hari lamanya.

8. Saling Menghormati

Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT. Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya. Jangankan kita sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa kita menghormati orang lain terlebih dahulu.

9. Menghargai Dan Mencari Kelebihan Mempunyai Adik-Beradik

Mak ayah sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.Jangan sesekali berasa tertekan dan mengangap bilangan adik beradik yang ramai sebagai bebanan dan sukar, sebaliknya anggaplah kehadiran adik-beradik sangat memeriahkan dan tidak sunyi.

10.Mudah Memaafkan

Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan. Jangan ego dan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.

Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.

Semoga Bermanfaat!

Baca juga Disini: Rahsia Kekalkan Hubungan Adik Beradik, Mak Ayah Tolong Siap Sedia Tanam 6 Cara Ini Dalam Diri Anak Sejak Kecil