
Baru-baru ini, bekas suami pelakon dan usahawan, Nora Danish, 43, iaitu Nedim Nazri Aziz memuat naik hantaran berbaur sindiran di platform Threads yang telah mengundang pelbagai spekulasi mengaitkan dirinya. Namun, empunya badan memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Jelas Nora, dia tidak mahu mencampuri urusan peribadi Nedim memandangkan mereka sudah membawa haluan masing-masing, selain mahu terus menghormati privasi kedua-dua pihak.
“Sebenarnya saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini, ditambah pula saya sudah tidak lagi bersama dengannya.
“Saya hormati hak dan privasi dia. Lagipun, perkara itu tiada kena-mengena dengan saya,” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media drama Saling Tak Terlihat, terbitan UTV, di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Ujar Nora lagi, dia juga tidak tahu akan kewujudan status daripada Nedim atau Boss Ned di media sosial yang dikatakan ditujukan kepadanya.
“Saya tak juga tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab saya sedang sibuk uruskan restoran saya.
“Saya tak ‘aware’ (perasan) dan tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia.
Walaupun sudah berpisah, Nora menjelaskan hubungannya dengan Nedim kekal harmoni demi anak mereka.
“Saya mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua pihak.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya menitikberatkan hubungan yang sihat demi membesarkan anak kami dalam suasana yang positif,” ujarnya.
Terdahulu, Nedim atau lebih dikenali sebagai Boss Ned, mencuri perhatian ramai apabila memuat naik beberapa hantaran berbaur sindiran terhadap seseorang di platform Threads.
Dalam hantaran tersebut, Nedim dilihat seolah-olah menegur seorang wanita yang disifatkan berpura-pura baik di sebalik imej berhijab, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Dalam perkembangan lain, Nora kembali menghiasi skrin menerusi drama Saling Tak Terlihat, yang bakal menemui penonton mulai 6 November ini di platform penstriman UTV.
Naskhah arahan Izuan Mokhtar itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Remy Ishak, Fattah Amin, Alicia Amin, Raja Azmi, Datin Seri Umie Aida dan Aleza Shadan.
Mengangkat tema cinta, kehilangan serta semangat untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat menawarkan kisah yang menyentuh hati dengan sentuhan sinematik menawan berlatar belakangkan keindahan Auckland, New Zealand.
Lebih menarik, watak utama wanita dalam telefilem ini digambarkan sebagai seorang gadis buta, menjadikan tema ‘deria dan rasa’ lebih kuat dan simbolik dalam penceritaan.
“Saya percaya Orang Kurang Upaya (OKU) memiliki kelebihan tersendiri. Dalam kisah ini, watak buta mempunyai deria rasa yang sangat tajam. Dari situ datangnya hubungan emosi yang unik antara dua karakter utama,” tambah pengarah Izuan Mokhtar.
Telefilem ini akan disiarkan pada 6 November 2025, jam 9 malam, eksklusif di platform UTV. Dalam pada itu, Jadikan Aku Nadi Hidupmu menjadi runut bunyi bagi telefilem ini. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu dipersembahkan oleh Lah Ahmad yang cukup dikenali dengan kekuatan vokal dan emosi dalam menyampaikan lagu.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE