
Hisap Vape
Rupanya hisap vape jadi punca pelajar tingkatan dua, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, dipukul pelajar senior di sebuah sekolah berasrama di Kuala Pilah, Jumaat lalu. Apa yang menyedihkan ibu dan ayahnya, pelajar tersebut dikatakan dipukul dengan getah paip.
Menurut sumber berita, mangsa ditangkap warden kerana menghisap vape pada 23 September lalu sebelum tindakan susulan dikenakan oleh pelajar senior terhadapnya.
Siasatan mendapati kejadian melibatkan dua suspek berusia 16 tahun dengan suspek pertama mengarahkan pelajar kedua memanggil mangsa berjumpa dengannya di asrama.
Pada awalnya, maklumat yang diketahui hanyalah mangsa ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan disahkan meninggal dunia.
Namun, hasil siasatan polis kini mula memberikan gambaran lebih jelas mengenai apa yang dipercayai berlaku pada malam tersebut
Selepas solat Maghrib, semua pelajar sepatutnya kembali untuk sesi ulang kaji atau “prep”. Kemudian mangsa dipercayai dipanggil oleh seorang pelajar senior ke sebuah bilik di tingkat dua asrama.
Siasatan awal mendapati mangsa dipanggil kerana didakwa menghisap vape. Mangsa kemudian dipercayai diarahkan mengambil sendiri getah paip dari bilik air.
Di dalam bilik tersebut, mangsa dipercayai dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan getah paip.
Mangsa kemudiannya diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipercayai dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah.
Apabila mangsa terbaring dan keadaannya semakin kritikal, suspek dipercayai cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum menghubungi warden. Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Hari yang sepatutnya dipenuhi dengan kehidupan seorang remaja bertukar menjadi berita kehilangan yang begitu berat untuk diterima.
Semoga segala persoalan mengenai apa yang berlaku kepada Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril dapat dirungkai dengan seadilnya.