Hilang kasih ibu & ayah, Menteri Pengajian Tinggi janjikan pengecualian yuran buat adik Putera di UUM.
Di sebalik senyuman mahasiswa mahasiswi seramai 4,549 yang mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam, ada seraut wajah tenang seorang pelajar. Jika pelajar lain mendaftar diiringi keluarga dan adik beradik, berbeza dengan adik Putera Iman Shah Shahiran, 19 yang datang sendirian.
Ya anak tunggal yatim piatu ini menaiki keretapi datang ke universiti seorang diri. Tanpa iringan doa ibu mahupun ayah. Keduanya telah pergi meninggalkannya tanpa sempat melihat dirinya menggengam segulung ijazah.
Arwah ibunya, Allahyarhamah Khatijah binti Mohd Rashid meninggal dunia pada 2019 ketika Putera baru di Tingkatan 1. Sebulan lalu, ayahnya, Shahiran Pake Chi, 57 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pergi secara mengejut dalam tidur hanya beberapa minggu sebelum anak tunggal ini menjejakkan kaki ke menara gading.
Alhamdulillah, pada hari pendaftaran di UUM, Putera Iman yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dirai seolah mendapat ahli keluarga baru. Atas arahan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, kakitangan Inasis SME Bank telah menunggu dirinya yang datang sendirian di Stesen Keretapi Arau untuk membawanya ke ke kampus Sintok, menyertai ribuan pelajar baharu.
“Awalnya saya rasa hilang arah tetapi apabila kakitangan UUM datang menjemput, saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM,” katanya sambil mengesat air mata.
Ads
Fasiliti penginapan di UUM juga membuatkan Putera Iman rasa bersyukur.
“Masuk sahaja ke bilik, sejuk seperti bangunan berhawa dingin. Bagi saya, itu sudah lebih daripada cukup. Saya amat bersyukur,” ujarnya.
Putera kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran, berbekalkan CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi. Walaupun kehilangan tempat bermanja, anak tunggal yatim piatu ini memilih untuk bangkit, menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan.
Ads
Semangat besar anak yatim piatu ini turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut ambil peduli kisah anak yatim piatu ini. Pagi tadi, dirinya sempat menghubungi Putera melalui panggilan video.
Beliau mengucapkan takziah serta mengumumkan sokongan penuh melalui Program SULUNG pengecualian yuran sehingga tamat pengajian, komputer riba, penginapan dan elaun bulanan buat pelajar ini.
Bahkan dirinya sempat menitipkan pesanan.
“Belajarlah bersungguh-sungguh. Jadikan ilmu sebagai bekal, dan apabila berjaya nanti, pulangkan semula jasa itu kepada masyarakat serta negara,” titipnya.
Ads
Buat masa ini, Putera akui dia ada sedikit simpanan hasil bekerja selepas matrikulasi selain derma orang ramai.
Kisah anak remaja ini, dari Arau ke Sintok bukan sekadar jarak fizikal. Ia adalah perjalanan jiwa. Daripada duka kepada harapan. Daripada kehilangan kepada permulaan baharu. Di bumi Sintok, dia mungkin hadir tanpa ibu bapa tetapi keluarga besar UUM menyambutnya dengan kasih dan doa.
Info terkini, MARA AKAN BAGI SARA HIDUP BULANAN ADIK PUTERA
MARA akan tampil membantu dengan:
Pembiayaan sara hidup bulanan
Bantuan awal persekolahan
Sebuah komputer riba untuk kegunaan belajar.
Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, juga mengambil inisiatif menjadikannya sebagai anak angkat agar Putera terus merasa ada keluarga yang menyokong.
Jom ikuti temu bual Dr Asyraf Wajdi dengan adik Putera, yang dirakamkan pagi tadi. Sumber :- FB UUM.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Haqiem Rusli & Anis Sofea pasangan pengantin muda. Tahniah diucapkan buat penyanyi terkenal Haqiem Rusli, 23 yang akhirnya sah bergelar suami kepada ahli perniagaan, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19.
Pasangan ini telah disatukan pada 19 November di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya kira kira jam 3.40 petang selepas dua kali lafaz.
Haqiem Rusli & Anis Sofea Pasangan Pengantin Muda
Haqiem yang berusia 23 tahun telah berkenan dengan gadis cantik yang kini sudah menjadi suri hatinya yang baru berusia, 19 tahun.
Pasangan yang menjalinkan cinta sejak dua tahun lalu itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin wanita, Wan Zamzuri Wan Muhammad.
Dalam majlis serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu dihadiri 20 orang tetamu di kalangan keluarga terdekat mempelai, Haqiem atau nama sebenarnya,
Ridzuan Haqiem Rusli, 23, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 selain wang hantaran, RM100,000.
“Saat yang saya tunggu selama ini untuk menghalalkan hubungan kami akhirnya terpateri.
“Selepas mengumumkan berita nak menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, saya bersyukur kerana keinginan itu tidak hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.
“Biarpun akur, detik bersejarah ini berlangsung di era pandemik COVID-19 yang segala gala serbi terbatas… saya harap fasa baru ini akan dirahmati. Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” ungkap Haqiem.
Usahakan Restoran Bersama Anis Sofea
Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, semuanya bermula selepas isterinya ketika itu mencari duta untuk mempromosikan perniagaan restoran miliknya di Setapak.
“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.
“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.
“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” jelasnya.
Mengenai perancangan memiliki cahaya mata, baik Haqiem dan isterinya tidak menolak rezeki jika dikurniakan cepat.
“Soal anak, rezeki yang saya dan isteri menerima dengan lapang dada. Cuma seboleh bolehnya kami nak ‘enjoy’ dulu momen berdua.
“Tapi kalau datang juga anak secara ‘mengejut’, saya okey saja,” selorohnya yang akui akan berbulan madi di Sabah terlebih dahulu sebelum merancang ke luar negara.
Pasangan berkenaan turut akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass dengan mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.
Primadona Events dan Ben Signatures Event menjadi perancang majlis dalam masa tiga bulan secara privasi.
Mingguan Wanita : Tahniah Haqiem dan isteri semoga bahagia hingga ke jannah.
Sumber Foto Instagram @aqoimran
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Pengacara cantik pemilik nama lengkap Nurhidayah Abu Bakar atau lebih sinonim dengan Dayah Bakar kini mengikut suaminya, Kapten Muhammad Hanif yang bertugas di Australia berkongsi perkembangan cahaya mata sulungnya, Achbar Muhammad Fahri yang berusia lapan bulan.
Menerusi perkongsian sebuah video Dayah menunjuk aktivit anaknya Fahri yang pertama kali dihantar ke sekolah walaupun usianya masih terlalu muda.
Dayah Bakar Teruja Kongsi Gelagat Fahri Hari Pertama Ke Sekolah
Pasti ramai yang terkejut pada usia terlalu muda Dayah sudah menghantar anaknya ke sekolah. Namun Dayah menerangkan sekolah itu sebenarnya berkonsepkan playground yang bertujuan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada persekitaran baru.
“Fahri’s 1st day to school
“Ibu… la tiba-tiba Fahri dah pergi school , apa ni ? “Basically, it’s a playgroup , jadi Fahri boleh jumpa kawan-kawan, explore new thing and environment . Sekejap je , around 2 hours,” tulis Dayah.
Ternyata aksi dan telatah Fahri begitu comel.
“I surely cherish moment like this and of course Dayah record and documented it , so someday Fahri boleh tengok balik “
“Setiap waktu bersama sangat berharga, sentiasa bersyukur , jangan kita sia-siakan dan remember ,when you do something, do it out of love,” kata Dayah lagi.
“Cepatnya Fahri Besar”
Dayah juga berasa sangat bersyukur kerana dapat bersama suami di Australia dan membesarkan anak sulung mereka bersama-sama.
“8 months and clap clap clap all the way ! Cepatnya Fahri besar ni. Memang confuse , at one point tak sabar nak tgk Fahri next boleh buat apa , but at the same time mcm “my babyyyy nooo , dont grow up so fast,” kongsi Dayah.
Puasa Bertiga Di Perantauan
Dayah juga berasa sangat gembira tahun ini dapat berpuasa bersama suami tercinta. Ramadan tahun lalu Dayah terpaksa berpisah sementara dengan suami kerana suaminya berada di Australia.
“Salam Ramadhan. “Alhamdulillah diberikan peluang untuk menjalani ibadah puasa tahun ini . “Tahun lepas, Fahri masih dalam perut , dan tarawikh berjemaah dengan family di Malaysia. “Tahun ni Allah bagi rezeki dapat berpuasa bertiga. “Jom kita sama-sama manfaatkan bulan istimewa ni dengar 1001 kebaikan,” terang Dayah.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Cookies Viral Legend
Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Dengar pesanan ibu usia 49 tahun ini. Yusni Binti Mintol yang dikurniakan anak autisme. Demi anaknya, ibu ini rela menjadi guru pada anak-anak autisme yang lain selama 12 tahun di National Autism Society of Malaysia (NASOM).
Hayati perjalanan inspirasi ibu yang kini anak autismenya yang dijaga dari kecil itu sudahpun berusia 24 tahun.
Yang mana, anak ini sedang belajar membaca dan menghafal Al-Quran di Akademi Faqeh yang juga merupakan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa.
Usia 6 Bulan Anak Diserang Sawan
Ketika anak autismenya dilahirkan, maklumat berkaitan autisme amat berkurangan. Sungguh pun sumber rujukannya terhad, ibu ini cukup tabah dan kental semangatnya membesarkan anak autismenya, Dinie Edry Bin Badrul Hisham.
“Kami telah menerima seadanya keadaan Dinie. Ketika berusia enam bulan, Dinie diserang sawan. Sejak itu dia kerap keluar masuk di hospital. Disebabkan sering kena sawan itulah, kami mula lihat perbezaan kesihatan Dinie.
“Doktor beritahu, dia mengesyaki anak kami itu mengalami masalah disebabkan tingkah lakunya yang hiper.
“Akhirnya kamu rujukkan pada doktor pakar. Pemeriksaan MRI dilakukan dan hasilnya, Dinie disahkan alami masalah austisme sejak umur dua tahun setengah,” ujar Yusni memulakan perbualan dengan wartawan Mingguan Wanita.
Mengetahui anak mengalami masalah autisme dan ADHD menjadi satu cabaran baru pada Yusni dan suaminya Badrul Hisham pada ketika itu.
“Ketika itu kelengkapan dan maklumat mengenai austisme masih kurang. Kami mendiagnosis Dinie pada usia awal tetapi kami tak dapat intervensi di kawasan tempat tinggal kami di Seremban.
“Jadi kami daftarkan Dinie dengan National Autism Society of Malaysia (NASOM) di Seremban. Umur dia enam tahun barulah Dinie dapat masuk.
“Waktu itu memang sukar mencari maklumat. Demi Dinie saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai technical assistant. Saya beritahu suami, biarlah saya jaga Dinie sendiri. Saya sedar, sukar untuk mencari orang untuk menjaga anak istimewa sebegini.
“Sukar sebenarnya membesar dan mendidik anak autisme pada ketika itu. Saya tak tahu dekat mana hendak belajar mengenai autisme.
“Menguruskan Dinie agak sukar kerana dia tidak pandai bercakap. Dia hanya menggunakan gerakan (gesture) sahaja jika mahukan sesuatu. Saya tidak pernah dengar dia mengucapkan perkataan ‘Mama’ atau ‘Papa’ pada ketika itu.
“Macam-macam dah kami tuturkan dekat dia tetapi tidak ada bunyi yang keluar daripada mulutnya.
“Hanya setelah diterima masuk ke NASOM, banyak perubahan telah berlaku pada Dinie. Dia sudah boleh bercakap dan saya bersyukur dengan perubahan tersebut,” tambah Yusni penuh kesyukuran.
Guru Sementara NASOM Yang Bertahan 12 Tahun
Keputusan menghantar Dinie belajar di NASOM juga membuka peluang baru dalam hidup Yusni. Peluang di hadapan mata diterima dengan tangan yang terbuka.
“Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu NASOM mencari guru sementara. Saya tanya, bolehkah saya memohon. Setelah ahli lembaga bersetuju, saya telah diterima masuk menjadi guru sementara di NASOM Seremban.
“Jadi guru di sana amat bagus kerana saya dapat tahu cara berkomunikasi dengan Dinie. Saya boleh nampak perkembangan Dinie di depan mata. Tetapi saya tidak mengharap sangat dia mampu melakukan lebih daripada kemampuannya.
“Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada Dinie. Cukuplah sekadar dia dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya juga sering memberikan kesedaran dan cara bagaimana menguruskan Dinie kerana jika ditakdirkan kami telah ada di dunia ini, ada orang yang boleh menjaganya.”
Yusni bekerja selama 12 tahun di NASOM dan baru empat tahun dia berhenti kerja.
Kini dengan masa yang ada dia menggunakan ilmu yang dipelajari dahulu untuk terus mendidik dan menguruskan anak keduanya itu selagi hayat dikandung badan.
“Sekarang saya buat ‘freelance talk’ untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka didiagnosis mengalami masalah autisme.
“Kami juga mempunyai grup Whatsapp ibu bapa anak istimewa autisme di Negeri Sembilan. Tugas saya banyak membantu dari segi apa yang perlu dibuat, persediaan sebelum masuk sekolah dan juga memberi motivasi.”
Layan Dia Sama Macam Orang Normal
Akui Yusni, dia sentiasa melibatkan Dinie dalam apa sahaja aktiviti keluarga.
“Kami tidak akan meninggalkan Dinie di rumah seorang diri. Kami juga sering cuba berkomunikasi dengan dia. Walau dia tidak tahu bercakap, Dinie akan cuba memberikan tindak balas.
“Dinie tidak duduk di sudut bermain sendirian. Sebaliknya dia bermain dengan adik-beradiknya juga. Pada mulanya adik-beradiknya sukar menerima keadaan Dinie. Namun lama-kelamaan mereka juga menganggap Dinie itu normal.
“Saya sering menasihati anak-anak lain jangan anggap Dinie itu istimewa. Layan dia seperti orang normal. Saya juga menasihatkan anak-anak agar jangan malu dengan orang kerana Dinie. Saya bersyukur anak dapat faham.”
Susah Sebenarnya Nak Educate Orang Ramai
Sebagai ibu yang berpengalaman dalam membesar dan mendidik anak autisme, Yusni berharap masyarakat lebih menerima kelainan upaya autisme dalam komuniti.
“Memang susah hendak educate people but insya-Allah jika dengan usaha yang tidak mudah putus asa, mungkin akan boleh juga.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang baru ada anak autisme, agar jangan bersedih lama-lama. Jangan denial lama-lama.
“Jangan hendak mencari silap dan juga jangan mencari alternatif yang merugikan masa serta wang kita sebab ini akan melambatkan proses intervensi anak kita.
“Sekarang zaman amat canggih, tidak seperti zaman anak saya. Tiada sumber untuk dirujuk. Carilah terapi yang sesuai untuk anak, jika tidak dapat yang percuma, usaha untuk yang berbayar.
“Insya-Allah akan ada rezeki untuk kita. Jika tidak juga mampu, google dan carilah cara-cara home schooling untuk anak tersebut, jangan tunggu peluang datang tapi cari peluang yang ada.
“Lebih Cepat kita mulakan intervensi, insya-Allah lebih banyak perubahan anak kita akan nampak walau segala terapi tidak akan mengubah autisme pada diri anak kita.
“Tapi sekurang-kurangnya kita dapat cover tiga masalah autisme iaitu dari segi komunikasi, tingkah laku dan juga sosial.”
Yusni berbangga walaupun Dinie tidak cemerlang dalam akademik tetapi dia boleh menghafal dan mengingat terutama perkara berbentuk muzik.
Lagu pertama dia hafal dengan hanya mendengar adalah nasyid kumpulan Raihan walau sebutan tidak berapa jelas sebab Dinie adalah non verbal sebelum usia enam tahun.
Foto: Yusni Mintol
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah menyentuh hati tentang Nur Qasehku hilang selama dua bulan akhirnya berakhir dengan berita gembira apabila remaja itu ditemui selamat di Cheras. Doa seorang ibu akhirnya dimakbulkan.