Hilang Dua, Tiga Tawaran… Allah Ganti Yang Lebih Indah. Elly Mazlein Reda, Kontrak Ditarik Selepas Berhijab

Share

Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, mengakui berdepan ujian apabila beberapa kontrak kerjanya ditamatkan selepas dia memilih untuk berhijab baru-baru ini.

Namun, bagi Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, keputusan untuk menutup aurat bukan sesuatu yang perlu disesali, bahkan menjadi langkah penuh keyakinan terhadap rezeki daripada Allah SWT.

“Memang betul, selepas penghijrahan ini ada kontrak yang tiba-tiba ditamatkan. Ada juga tawaran yang sudah ‘booking’, tetapi mereka tarik diri.

Macam-macam dugaan datang selepas berhijab, tapi saya percaya rezeki itu milik Allah . hadir dalam pelbagai cara,” katanya menerusi satu video di Instagram.

Elly menegaskan, walaupun pada awalnya timbul rasa risau, dia tidak akan gentar dalam melakukan perkara yang baik.

“Kita manusia biasa, kadang-kadang ada rasa takut atau risau. Tapi saya yakin, tak perlu gusar sebab kalau hilang dua, tiga, atau empat tawaran kerja, insya-Allah Allah akan ganti dengan rezeki yang lebih indah.”

Beliau turut memohon doa dan sokongan orang ramai agar terus kuat istiqamah dalam penghijrahan ini.

“Saya harap mendapat doa dan sokongan daripada semua. Semoga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur, dan permudahkan segala urusan. Itu pun satu bentuk rezeki juga. Jangan takut untuk berubah,” ujarnya penuh makna.

Sokongan Suami

Difahamkan, keputusan Elly untuk berhijab hadir selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), yang memberi kesan mendalam terhadap dirinya. Tindakan itu turut mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh.

Langkah Elly ini bukan sekadar perubahan penampilan, tetapi juga lambang kekuatan seorang wanita yang yakin bahawa setiap pengorbanan demi kebaikan pasti dibalas dengan rezeki yang lebih bermakna.

Published by
Rosmah Idayu