
tulang belakang bengkok
Bertahan dengan masalah tulang belakang bengkok, remaja perempuan, Arissa El Zahra Reduan perlukan sumbangan RM10 000 untuk kos pembedahan skoliosis yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 September ini.
Bapanya, Reduan Saad, 41, berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra, 13, menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok.
“Pada mulanya, saya nampak dia macam membongkok sedikit, tetapi lama-kelamaan saya perasan tulang belakang anak saya senget sebelah dan kedua-dua bahunya juga tidak seimbang.
“Perubahan itu menyebabkan saya dan isteri membawanya berjumpa dengan pakar ortopedik di HRPB pada 5 Jun 2024 dan mereka mengesahkan bahawa anak saya menghidap penyakit itu,”
katanya.Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas disahkan menghidap skoliosis, Arissa El Zahra terlebih dahulu diberi rawatan menggunakan pendakap belakang bagi mengawal tahap kebengkokan tulang belakangnya sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Reduan yang bekerja sebagai pembantu jualan berkata doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan ketika itu kerana Arissa El Zahra masih terlalu muda dan perlu menunggu masa yang lebih sesuai berdasarkan perkembangan fizikalnya.
“Arissa El Zahra mula memakai pendakap tulang belakang itu sejak September tahun lepas dengan kos kira-kira RM2,500. Pendakap ini perlu dipakai hampir 24 jam sehari kecuali ketika mandi bagi membantu mengawal keadaan tulang belakangnya daripada terus membengkok.
“Walaupun agak tidak selesa pada peringkat awal, Arissa El Zahra tetap mengikut arahan doktor dan tabah memakainya setiap hari kerana dia faham rawatan ini penting sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan,”
katanya.Reduan berkata sepanjang tempoh memakai pendakap berkenaan, Arissa El Zahra perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi memantau perkembangan keadaan tulang belakangnya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terkini mendapati tahap kelengkungan tulang belakang anaknya telah mencecah kira-kira 70 darjah, menyebabkan rawatan menggunakan pendakap tidak lagi mencukupi dan pakar ortopedik mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.
“Doktor nasihatkan supaya pembedahan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana kami bimbang jika dibiarkan terlalu lama, lengkungan tulang belakangnya akan menjadi semakin teruk dan boleh memberikan kesan kepada fungsi organ dalaman, terutama apabila dia semakin membesar.
“Sekarang pun kami nampak perubahan pada Arissa El Zahra. Dia mudah letih, pergerakannya semakin terbatas dan tidak boleh melakukan aktiviti seperti biasa. Sebagai ibu bapa, kami risau melihat keadaan dia dan berharap pembedahan ini dapat membantu membaiki kehidupannya,” katanya.
Reduan berkata dia amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan berkenaan ekoran kemampuan kewangan keluarganya yang agak terhad.
“Saya bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dengan pendapatan bersih kira-kira RM2,100 sebulan. Jumlah itu agak terhad kerana perlu menampung keperluan dua lagi anak yang masih bersekolah selain perbelanjaan harian keluarga, memandangkan isteri saya tidak bekerja,” katanya.
Selain itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 158284021706 atas nama Mohd Reduan Saad.
Sumber: Berita Harian