Sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini memperlihatkan detik cemas apabila para aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dikumpulkan di satu kawasan selepas ditahan oleh tentera Isr4el.
Dalam rakaman itu, turut kelihatan wajah dua anak Malaysia yang kita kenali, penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah.
Video berdurasi singkat tersebut memperlihatkan kesemua aktivis dari pelbagai negara duduk berkelompok di atas lantai, sementara Menteri Keselamatan Isr4el, Itamar Ben-Gvir berdiri di hadapan mereka sambil bercakap dalam bahasa Ibrani. Kehadiran beliau nyata menimbulkan keresahan, apatah lagi ia dimuat naik dengan naratif propaganda yang cuba melabelkan aktivis kemanusiaan ini sebagai “pengganas”.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mengesahkan bahawa dua sosok yang dirakam dalam video itu sememangnya Heliza dan Hazwani. Malah menurut beliau, The Helmis merupakan peserta terakhir yang dipilih menyertai misi flotila, selepas sanggup meninggalkan Madinah demi menyertai perjuangan membawa bantuan untuk Palestin.
“Semangat mereka tinggi, masa ditangkap pun cukup gagah dan reda. Kakja (Heliza) dan Ika (Hazwani) antara peserta akhir yang dipilih kerana sanggup berkorban untuk bersama misi ini,” jelas Nadir di Instagram.
Beliau turut menegaskan bahawa video yang disebarkan Israel itu jelas berbentuk propaganda, kerana hanya menunjukkan sepotong rakaman semata-mata. Menurutnya lagi, tentera Zionis cuba menggambarkan seolah-olah flotila hanya membawa satu kotak bantuan, sedangkan hakikatnya ratusan kotak telah dibeli, dipaket dan diagihkan oleh pasukan Sumud Nusantara ke dalam kapal misi.
Suami Heliza, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, turut berkongsi semula rakaman berkenaan di Instagram Story sebagai bukti kehadiran isterinya serta adik ipar di lokasi kejadian. Sementara itu, di ruangan komen media sosial, ribuan rakyat Malaysia tidak putus-putus menitipkan doa agar semua aktivis berada dalam keadaan selamat.
“Heliza dan Hazwani duduk dekat tengah-tengah tu. Cuba tengok, ada tentera bersenjata di belakang mereka,” tulis seorang pengguna.
“Ya Allah, lindungi mereka. Semoga kembali ke tanah air dengan selamat,” doa seorang lagi netizen.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Ben-Gvir mendakwa aktivis flotila membawa “bahan kimia” di atas kapal. Tuduhan yang jelas tidak berasas dan sengaja dicipta untuk mengaburi dunia. Rakaman turut menunjukkan beliau memasuki salah sebuah kapal dan cuba menuduh kononnya wujud elemen berbahaya di situ.
Walau apa pun cubaan Zionis, semangat perjuangan dan keberanian para aktivis, termasuk Heliza dan Hazwani, menjadi bukti bahawa misi kemanusiaan ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa suara hati jutaan rakyat dunia yang mahu melihat Palestin bebas dan merdeka.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE