Hasrat Eina Azman Tercapai, Bawa Dua Beradik Sakit Kulit Jumpa Pakar Dapatkan Rawatan

Share

Mulianya sikap pelakon, Datin Paduka Eina Azman dan suami Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah yang membantu golongan susah dan memerlukan. Pasangan ini prihatin dengan penderitaan dua beradik Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan yang mengalami sakit kulit serius.

Sebelum ini, menerusi instagram ibu kepada pasangan kembar Arianna Aubrey dan Karl Kareef, 2 ada memuat naik hasrat untuk membantu adik beradik yang mengidap penyakit kulit ini.Akhirnya, hasrat Eina Azman dipermudahkan apabila dia berpeluang membawa mereka bertemu doktor pakar kulit, semalam.

Eina berkata, luahannya yang dimuat naik di laman instagram, baru-baru ini mendapat perhatian ibu dua kanak-kanak itu, Nurul Ain Abdullah, 29, yang bersetuju membawa mereka bertemu pakar kulit.

“Alhamdullilah harini eina dan husband berkesempatan untuk berjumpa dengan keluarga kak nurul.Sebentar tadi Eina bawa kak nurul dan suami serta dua orang anaknya berjumpa dengan doktor pakar kulit di sebuah klinik swasta di Subang Jaya”.

“Doktor cakap Mohammad dan kakaknya Lela Safiya boleh pulih tapi memakan sedikit masa.Kak nurul juga mempunyai masalah Ekzema dan Eina akan minta doktor untuk rawat dia juga”.

“Insyallah diberi rezeki yang lebih eina dan suami akan menghulurkan bantuan setiap bulan kepada keluarga kak nurul sehingga pulih. Insyallah”.

Tersentuh Hati

Pelakon yang popular menerusi drama, Rahsia Hati Seorang Perempuan itu berkata, hatinya tersentuh apabila mendapat tahu mengenai penderitaan yang ditanggung Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan.

Selepas berbincang dengan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah,
Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman sepakat membawa dua kanak-kanak itu dan ibu mereka mendapatkan rawatan dengan pakar kulit.

“Sebagai ibu yang mempunyai sepasang anak yang sedang membesar, saya sebak melihat penderitaan dua beradik itu.

“Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya berada dalam situasi mereka. Itu yang menggerakkan hati saya untuk membantu keluarga ini.

“Saya difahamkan, ibu kanak-kanak itu turut menghidap ekzema sejak remaja, selain penglihatannya kurang jelas.

Mereka bergantung hidup kepada pendapatan suami Nurul, Shahrul Azmi Aziz, 27, yang menerima RM850 sebulan sebagai kelindan lori.

“Sedih apabila dimaklumkan, mereka sering dipandang rendah, malah dua beradik itu juga sukar tidur malam kerana tidak selesa dan pedih dengan keadaan kulit mereka,” katanya.

Eina juga berharap, usaha murninya itu dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk sama-sama membantu meringankan beban keluarga terbabit.

MW: Tahniah, buat Eina Azman dan suami atas keprihatinan ini. Semoga menjadi contoh buat ramai pihak agar sama-sama turut membantu meringankan beban golongan susah dan tidak berkemampuan.

Sumber: Bharian, Iena Azman

IKLAN