Apa yang sepatutnya menjadi hari paling bahagia dalam hidup seorang lelaki, bertukar menjadi episod duka yang tidak akan pernah dilupakan. Muhd Syafiq Abdul Rahim, 24, bakal pengantin lelaki yang sepatutnya bernikah esok, kehilangan tiga insan tersayang dalam sekelip mata.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, tiga mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta jenis Perodua Myvi.
Tiga ahli keluarganya, kakak tersayang, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, anak saudara yang juga penggubah hantaran perkahwinannya, Nur Atikah Najihah, 18, dan menantu kakaknya, Mohamad Faris Kamaludin, 24 terkorban dalam kemalangan ngeri apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam, Kelantan.
“Esok adalah hari bahagia saya, namun luluhnya hati apabila tiga ahli keluarga saya terbabit dalam kemalangan dan pergi buat selama-lamanya,” ujar Syafiq dengan suara penuh sebak.
Kisah tragis ini berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan ke majlis akad nikah Syafiq yang dijadualkan berlangsung jam 2.30 petang di Besut.
“Saya sempat berhubung dengan kakak sekitar jam 10.30 pagi. Mereka baru melepasi kawasan Chiku, Gua Musang. Tak lama selepas itu, saya terbaca berita kemalangan. Hati saya sudah berasa tidak sedap.”
Naluri seorang adik ternyata benar. Hatinya remuk apabila mengesahkan bahawa kereta dalam gambar berita itu adalah kenderaan yang dinaiki kakak sekeluarga.
“Kakak bertolak dari Johor Bahru jam 1 pagi. Saya pesan guna laluan LPT, tapi mereka ikut Waze dan melalui Gua Musang-Kota Bharu – laluan yang tak pernah mereka lalui sebelum ini.”
Yang lebih memilukan, kepulangan kakaknya bukan sahaja untuk menyambut hari bahagia, tetapi turut membawa hantaran yang sudah indah digubah oleh arwah Nur Atikah sendiri.
“Beberapa hari sebelum kejadian, saya memang rasa tak sedap hati. Tak sangka itu petanda saya akan kehilangan mereka selamanya.”
Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Kampung Kayu Rendang, Melor, selepas selesai proses bedah siasat.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE