Berita Sosial

Hannah Yeoh Dapat Sokongan Mastura Yazid, Seru Netizen Henti Spekulasi

Share

Hannah Yeoh menerima sokongan moral daripada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid, ketika beliau sedang berdepan ujian peribadi membabitkan alam rumah tangganya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Mastura mengakui beliau tidak mempunyai hubungan rapat secara peribadi dengan Hannah Yeoh, selain kedua-duanya datang daripada latar dan ideologi politik yang berbeza.

Namun, sebagai seorang wanita yang turut melalui cabaran dunia politik dan kepimpinan, beliau memahami bahawa situasi yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Segambut itu bukan sesuatu yang mudah.

Baca artikel: Hannah Yeoh Bidas Cadangan MP PAS, Poligami Untuk Selesaikan 8.4 Juta Wanita Lambat Kahwin

Berbeza Politik, Tetap Sokong Sesama Wanita

Menurut Mastura, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau dan Hannah Yeoh pernah berdebat serta bertukar pandangan mengenai kepentingan dan masa depan wanita Malaysia.

Ada masanya, kedua-duanya turut mencapai titik persetujuan walaupun berbeza pandangan politik.

Mastura berkata, tidak ada sesiapa yang berhak menghukum atau mengadili kehidupan yang tidak pernah dilalui sendiri.

“Apa pun sebab di sebalik perceraian beliau dan suami, tiada siapa berhak menghukum atau mengadili sebuah kehidupan yang tidak kita jalani dan luka yang tidak kita rasai,” katanya.

Seru Henti Spekulasi Dan Sindiran

Mastura turut menyeru orang ramai supaya menghentikan sindiran, andaian serta spekulasi liar yang boleh menambahkan tekanan kepada Hannah Yeoh dan keluarganya.

Menurut beliau, belas ihsan dan sifat kemanusiaan sepatutnya mendahului perbezaan politik, terutama ketika seseorang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadi.

Beliau turut mengingatkan bahawa dunia politik sendiri sudah cukup mencabar, apatah lagi apabila media sosial menjadi medan perbicaraan terbuka tanpa henti.

Mastura menyeru masyarakat supaya menghormati ruang dan privasi yang diperlukan oleh Hannah Yeoh serta keluarganya.

Di penghujung hantaran, beliau turut menitipkan kata-kata semangat buat Hannah dan dua anak perempuannya agar diberikan kekuatan serta ketenangan untuk meneruskan kehidupan.

Sokongan Mastura terhadap Hannah Yeoh turut menjadi perhatian kerana memperlihatkan bagaimana empati dan rasa kemanusiaan boleh merentasi perbezaan politik.

Baca juga artikel: Pakaian Rasmi Olimpik Dikecam Teruk, Hannah Yeoh Perjelas Ia Bukan Untuk Perbarisan Perasmian

Sumber: Facebook

Published by
Farhana Syahirah