Kisah mukanya melecur angkara kecuaian terima rawatan service mobile spa menjadi viral di laman sosial pada bulan Disember 2018 lalu. Siti Zalina tidak mahu mengaibkan sesiapa ketika rakannya menviralkan kisahnya itu. Cuma dia agak terkilan apabila beberapa page laman web online telah menyebarkan gambar suami dan anak-anaknya tanpa kebenaran di laman sosial.

“ Mereka tidak tahu cerita sebenar, dengan selambanya mereka berkata saya mencari benda murah dan sebagainya. Sebenarnya saya sangat menjaga bab berkaitan penggunaan produk kecantikan kerana kulit wajah saya jenis sensitif.

“ Motif kawan saya viralkan cerita saya itu bukan sebab mahu mengenakan semula orang yang buat rawatan itu. Tetapi kami tidak mahu perkara ini jadi pada orang lain dan mahu memberi kesedaran kepada semua.

“ Saya harap pada masa hadapan akan kesedaran dalam diri semua orang agar lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang rawatan wajah terutamanya apabila menggunakan facial steamer,” ujarnya membuka bicara.

Tak Boleh Keluar Rumah

Sewaktu MW menemu ramah Siti Zalina, wanita ini sedang berehat di rumahnya setelah mendapat cuti sakit. Doktor menasihatinya agar tidak keluar rumah untuk mengelakkan wajahnya terkena cahaya matahari.

Ini kerana, ketika itu kulit barunya masih dalam proses pemulihan, jadi dia perlu bercuti selama sebulan bagi memastikan proses itu berlaku dengan baik. Doktor juga menasihatkan agar dia tidak mencuci muka dengan kerap. Jika boleh, cuci hanya menggunakan air sejuk sahaja.

Siti Zalina juga perlu menyapu ubat setiap hari bagi memastikan wajahnya tidak dijangkiti kuman. Selain itu, dia perlu mengambil ubat mata dan ubat tahan sakit. Besar juga kos yang perlu dikeluarkan bagi memastikan wajahnya pulih daripada kecederaan.

“ Selama enam bulan pertama, doktor tidak membenarkan saya memakai sebarang produk penjagaan kulit di muka. Doktor juga mengatakan dalam tempoh setahun, kulit wajah saya akan mengalami proses pertumbuhan yang tidak stabil.

“ Kulit saya juga akan bertukar-tukar warna kerana pigmennya sudah rosak. Sekarang ini saya tidak tahu kulit akan jadi warna apa. Kalau kita pernah tengok orang melecur kena air panas, kulit mereka sudah tidak sama warna. Begitulah yang boleh saya katakan mengenai kulit wajah saya selepas ini,” sambungnya sedih.

Hampir Buta Gara-gara Facial Steamer Terjatuh Atas Muka, Mangsa Tidak Mahu Orang Lain Terima Nasib Yang Sama
Suami beri sokongan.Anak-anak takut lihat wajahnya yang melecur.

Cedera

Mengimbau kejadian tersebut, Siti Zalina telah mengalami kecederaan pada mata, muka, hidung dan leher, seperti dalam gambar yang diviralkan di media sosial. Cuma dia tidak menunjukkan kecederaan pada leher kerana hendak menjaga aurat.

IKLAN

“ Muka sebelah kanan yang teruk. Berkaitan dengan parut, doktor tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku kerana kulit belum tumbuh. Parut itu satu masalah tapi kalau kita pandai jaga sudah pasti ia boleh pudar.

“ Namun masalah yang paling besar adalah warna kulit yang tidak akan sama dengan warna asal. Luka boleh pulih tetapi kulit wajah akan berbelang-belang, sama ada akan jadi putih atau gelap,” tambahnya.

Ditahan Di Hospital

Siti Zalina telah ditahan selama 11 hari di hospital. Hari pertama dia telah dikejarkan di jabatan kecemasan bagi melakukan pembedahan. Kulit yang terbakar akibat tersimbah air panas itu perlu dibuang segera. Pembedahan itu menyebabkan hanya tinggal isi sahaja pada wajahnya.

“ Memang sakit, tak boleh cakap. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Nasib baik saya dibius penuh. Kesakitan itu masih terasa walau pun doktor telah menyuntik ubat tahan sakit selepas pembedahan.

“ Selepas pembedahan, muka saya rasa pedih. Beberapa hari kemudian keluar air dan gelembung pada wajah. Ketika itu doktor yang jaga dan cuci muka saya. Dekat seminggu gelembung itu baru hilang. Doktor tidak memaksa kulit itu tanggal. Yang mana boleh tanggal, dia cuci sedikit demi sedikit,” terangnya.

Cerita Siti Zalina lagi, selepas pembedahan kulit wajah terutamanya pada bahagian dahi dan pipi seperti telah koyak. Tetapi bahagian matanya hitam kerana doktor tidak membenarkan bahagian sekeliling matanya diusik.

IKLAN

“ Nasib baik mata saya tidak buta sebab air panas itu masuk ke dalam mata saya,” ucapnya syukur.

Tak Sangka

Siti Zalina tidak pernah menyangka bahawa dia akan mengalami kejadian yang tidak dapat dilupakan ini.

“ Kisahnya begini. Saya sebenarnya tidak suka buat facial. Tetapi apabila seorang kawan sudah banyak kali menawarkan perkhidmatan facial yang dijalankannya, saya tak sampai hati nak tolak. Ikutkan saya keberatan hendak membuat facial pada hari tersebut sebab ada hal lain.

“ Tetapi setelah dipujuk rakan tersebut, saya akur. Dia datang rumah saya dan sebelum buat facial, saya perasan dia ada bawa ‘steamer’. Saya ingatkan basic facial sahaja.

“ Saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Sama ada dia terlanggar, tertolak atau terlepas ‘steamer’ itu yang mengakibatkan ia terhempas ke atas muka saya. Air yang menggelegak dan mendidih itu telah tumpah di atas muka saya.

“ Bila sudah jadi begitu, saya terus cuci muka saya. Itu tindak balas automatik saya. Selepas cuci, saya telefon suami dan beritahu saya rasa sakit sangat dan hendak pergi ke hospital. Masa itu kawan saya yang buat facial itu masih ada di rumah saya.

IKLAN

“ Ketika dia mengemas barang-barangnya sebelum balik, dia hanya beritahu yang saya tak perlu bayar servis dia hari ini. Saya hanya diam sahaja pada ketika itu. Tak marah pun sebab anggap itu sebagai kemalangan dan tidak disengajakan. Tambahan pula ketika itu saya sedang menahan sakit yang teramat.

“ Kemudian kawan saya itu balik dan suami saya terus bawa saya ke hospital. Saya ingatkan keadaan saya itu tidaklah teruk tetapi apabila doktor pakar mengatakan bahawa saya perlu menjalani pembedahan dan sebagainya, saya mula rasa terkejut.

“ Doktor juga menasihatkan saya agar tabah menerima keadaan sekarang apabila mengetahui saya bekerja sebagai eksekutif insurans yang memerlukan saya berhadapan dengan pelanggan setiap hari,” luah Siti Zalina.

Sukar Terima Kenyataan

Tiga hari Siti Zalina menangis tidak dapat menerima hakikat setelah mendengar penerangan doktor. Dia juga tidak tahu apa yang bakal berlaku pada kariernya setelah mukanya jadi teruk.

Siti Zalina juga jadi stres apabila anak-anak juga takut melihat wajahnya ketika dia berada di hospital ketika itu.

“ Saya memang tidak boleh terima hakikat pada ketika itu. Perasaan saya sangat sensitif. Saya tertanya-tanya, kenapa perkara ini terjadi pada saya. Memanglah ini takdir tetapi saya risau bila fikirkan masa depan saya. Bagaimana dengan karier saya selepas ini,” kongsi Siti Zalina.

Sehingga kini Siti Zalina masih tidak yakin untuk keluar dan berhadapan dengan orang ramai.

“ Sekarang saya cuba kuatkan semangat demi anak-anak. Saya juga bersyukur kerana suami sentiasa memberikan sokongan emosi kepada saya. Dia sentiasa nasihatkan saya agar ingat pada Tuhan.

“ Dia kata perkara dah hendak jadi. Itu kuasa Tuhan. Sebagai makhluk-Nya kita tidak boleh buat apa. Suami saya positif orangnya. Malah sepanjang 11 hari di hospital, suami yang jaga saya, sanggup cuti demi menjaga saya. Saya kasihan juga pada suami kerana dia bekerja sendiri. Kalau dia tidak kerja, maknanya tak ada gaji. Tapi dia sentiasa ada di sisi saya ketika di hospital dan saya sangat menghargai pengorbanannya itu,” akhiri Siti Zalina.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI