Motivasi

Menang Saman RM70,000, Haliza Maysuri Gayakan Tudung Ikonik Setanding Nilai Kemenangan

Share

Dalam dunia digital hari ini, perkongsian di media sosial bukan lagi perkara kecil. Apa yang ditulis boleh memberi kesan besar termasuk dari segi undang-undang. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita, bekas pengedar tudung terkenal, apabila tindakannya mengulas secara terbuka tentang syarikat tersebut membawa padah.

Rosmaliza Mansor, pernah menjadi pengedar sah produk Bawal Exclusive, telah diperintah oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk membayar RM70,000 kepada syarikat tersebut serta dua lagi pihak berkaitan, termasuk pengasasnya, Puan Haliza Maysuri.

Kes ini timbul berikutan satu hantaran di laman Facebook Rosmaliza, yang didakwa memperlekeh strategi pemasaran Bawal Exclusive di akaun TikTok. Meskipun ia mungkin dilihat sebagai ‘luahan peribadi’, kenyataan itu akhirnya mengundang tindakan undang-undang apabila dianggap bersifat fitnah dan berniat jahat.

Pengasas Tegas Pertahankan Nama Baik

Dalam satu sidang media di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, Puan Haliza, yang juga Pengarah Pemasaran syarikat, menyatakan bahawa tindakan undang-undang ini bukan untuk membalas dendam, sebaliknya demi mempertahankan reputasi syarikat dan semua wanita yang bergiat aktif dalam perniagaan tudung.

Turut hadir ialah Encik Mohd Rosli Awang, Pengarah Urusan syarikat, dan peguam mereka, Datuk Adnan Seman dari firma Adnan Sharida & Associates.

“Rosmaliza pernah menjadi pengedar dari tahun 2017 hingga 2022. Namun selepas hubungan itu tamat, syarikat tidak lagi meneruskan beliau sebagai wakil jualan,” ujar Datuk Adnan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu seolah-olah menggambarkan syarikat bersikap tidak adil terhadap para pengedarnya, sekali gus menjejaskan kepercayaan awam.

Tiada Kompromi Bila Nama Baik Dipertaruhkan

Lebih mengecewakan, menurut kenyataan mahkamah, Rosmaliza tidak hadir sepanjang prosiding. Pada 1 Januari 2025, mahkamah memerintah agar kenyataan berunsur fitnah itu dipadam serta melarang beliau mengulangi kenyataan sama pada masa akan datang. Beliau juga diarahkan membayar RM570 atas satu tunggakan invois terdahulu.

“Kami harap tindakan ini jadi pengajaran kepada masyarakat, khususnya para wanita yang aktif berniaga dan berkongsi pandangan di media sosial. Berhati-hatilah. Bukan semua perkara boleh dikongsi tanpa akibat,” tegas peguam Haliza.

Tudung RM70,000 Jadi Saksi Kejayaan Hari Ini

Pada sidang media yang sama, pengasas Bawal Exclusive turut menggayakan  tudung bernilai RM70,000 yang direka khas oleh pasukannya atas arahannya sebagai satu bentuk mesej jelas kepada sesiapa yang cuba menyentuh reputasi jenama yang telah dibina sejak 1998 lagi.

Tudung eksklusif yang direka khas itu mewakili harga maruah dan reputasinya yang cuba dijatuhkan melalui kenyataan fitnah kononnya disebarkan Rosmaliza di media sosial.

“Saya tak pernah pakai tudung harga RM70,000 sebelum ini walaupun pelanggan saya pernah beli tudung harga RM20,000 hingga RM50,000.

“Tapi hari ini saya pakai sempena kemenangan saman sebanyak RM70,000 semalam. Tudung ini menunjukkan bahawa jenama ini tidak boleh diusik,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di sini hari ini.

“Kalau sesiapa cuba jolok sarang tebuan, inilah balasannya. Saya tak pernah kacau sesiapa tapi tolong jangan sentuh jenama ini. Dengan jenama inilah saya cari rezeki. Dengan jenama inilah saya dikenali,” tegasnya.

Haliza turut berkongsi bagaimana Bawal Exclusive kini menjadi antara penyumbang utama kepada jenama kristal antarabangsa iaitu Swarovski hasil kerjasama yang terjalin apabila syarikat itu sendiri menawarkannya sebagai rakan niaga rasmi.

“Swarovski datang kepada kita, bukan kita cari mereka. Kita jadi top 10 contributor kepada Swarovski. Tapi ini semua tak berlaku dalam sehari. Saya tak minta dipuji, saya tak minta dihargai tapi tolong hormati usaha kami,” tambahnya ternyata bangga jenama tempatan dipandang tinggi di mata dunia.

Pengajaran Buat Kita Semua

Dalam kesibukan kita menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa atau berkongsi pengalaman, penting untuk kita tahu batasnya. Apa sahaja yang ditulis secara terbuka, terutama jika melibatkan individu atau syarikat lain, harus berlandaskan fakta dan tidak bersifat menuduh tanpa bukti.

Sebagai wanita, kita bukan sahaja pembeli dan pengguna produk tempatan kita juga penggerak ekonomi dan pencetus jenama. Maka, marilah kita bijak menggunakan suara di alam maya. Hormati reputasi orang lain, demi menjaga maruah dan kredibiliti sendiri.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu