
Dalam perhubungan suami isteri, perkara yang dianggap kecil dan remeh jika dibiarkan boleh melarat dan menjadi isu yang besar. Siapa sangka hanya sebab garam, sepasang suami isteri di Rusia sanggup bergaduh dan berbunuhan!
Gara-gara berang masakannya dikritik kurang garam oleh suami, seorang wanita sanggup membunuh lelaki itu dengan menikamnya sekurang-kurangnya 35 kali.

Kredit Foto: Daily Mail
Kritik Masakan Isteri
Pasangan itu bertengkar selepas Slava Davydkin, 43, mengkritik masakan isterinya, Evgenia, 31, kurang sedap kerana tidak meletakkan garam secukupnya ketika menghidangkan makanan kepada tetamu yang datang ke rumah mereka di daerah Penza, Russia.

Daily Mail memetik Jawatankuasa Penyiasatan Rusia berkata, pasangan itu bertekak disebabkan masakan hambar Evgenia yang dituduh Davydkin sebagai ia merupakan tanda wanita itu tidak menyayanginya.
“Pergaduhan itu semakin besar selepas tetamu mereka masuk tidur, apabila Evgenia diprovokasi suaminya berulang kali termasuk dipukul. Akibatnya Evgenia hilang sabar, lalu menikam suaminya ketika tidur menggunakan pisau memancing mangsa 35 kali di depan anak mereka yang berumur 4 tahun.
“Dia kemudian mengejutkan tetamu lelaki mereka dan memintanya menghubungi ambulans,” katanya.
Paramedik mengesahkan, suami Evagenia mati di tempat kejadian.
MW: Buat pasangan suami isteri, semoga jadikan kisah ini satu pengajaran. Jangan pandang remeh keperluan pasangan walaupun kecil. Malah jika ingin memberikan kritikan, biarlah kritikan yang membina serta pada waktu yang paling sesuai.
Sumber: Hmetro & Daily Mail
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tip Buat Anak Happy Dan Mama Boleh Cool Hari Pertama Di Tadika

Mak ayah yang ada anak tadika tahun baru nanti pasti excited nak hantar ke sekolah tetapi perasaan risau tu tetap menyelit. Maklumlah, kali pertama anak masuk sekolah.
Mula lah fikir, takut anak menangis, risau tak pandai berkawan dan kalau anak buat drama air mata dari rumah… lagi lah mak ayah susah hati!
Haaa… jangan risau, mak ayah boleh baca perkongsian daripada Pengetua Genius Aulad Saujana Utama, Puan Ashikin Hashim, macam mana nak buat anak happy dan Mama pun boleh cool hari pertama di tadika.
Bila Kali Pertama Anak Tadika
Seperti yang dijanjikan ini tip untuk anda yang pertama kali anak bersekolah tadika. Mesti berdebar kan? Dan super excited bila anak nak sekolah.
Tak sangka dulu dia baby, sekarang dah masuk tadika. Macam mana kita dapat bantu anak kita supaya nanti anak yang menangis akan happy dan mama yang berdebar akan cool.
Tip Anak Happy, Mama Cool Di Hari Pertama Di Tadika
1. Set Minda
Mengapa kita sekolahkan anak kita di tadika? Tak wajib pun kan? Ya. Sebab kita mahukan yang terbaik untuk anak kita. Kita nak dia belajar mengenali dunia luar. Kita nak anak kita happy. Kita bukan nak pressure anak kita. Jadi, jangan memaksa tetapi memujuk dan menggalakkan. Jika anda merasakan anak tidak bersedia, tiada masalah untuk withdraw tapi tunggu dulu. Baca sampai habis. Jangan withdraw selagi anda tak buat semua tip ini.
2. Konsisten dan sabar
Jika anak anda menangis pada hari pertama sekolah bukan bermaksud anak anda tak bersedia. Bukan juga bermaksud dia tak suka sekolah berkenaan. Bukan juga bermakna anda ibu ayah yang tidak bagus.
Tidak salah anak menangis pada hari pertamanya. Pujuk anak dengan baik dan berikan kata-kata semangat buat anak. Anak juga seperti kita. Kita akan rasa janggal di tempat baru. Kita juga akan rasa takut jika berpisah. Begitu juga anak kita.
Konsisten dengan rutin baru ini. Bangun pagi seperti biasa dan tetap ke sekolah seperti yang dijadualkan. Setiap anak berbeza penerimaan mereka.
Ada yang cepat membiasakan diri tapi ada juga yang memakan masa. Mengikut pengalaman saya paling lama anak akan cuba sesuaikan diri adalah dalam masa sebulan. Tapi sesetengahnya ada yang mengambil masa yang lebih lama.
Jadi bersabarlah.
3. Sentiasa berkomunikasi dengan guru
Jika anak menangis, berkongsilah perasaan anda dengan guru anak anda. Guru yang professional dan berpengalaman akan sentiasa menenangkan dan memberi jaminan bahawa anak anda akan OK.
Tidak salah jika anda bertanya tentang keadaan anak dan guru akan menjawab dengan baik. Cumanya anda kena bersabar jika guru mengambil masa untuk menjawab soalan di whatsapp. Jika telefon, gunakan masa selepas waktu belajar. Anak anda adalah keutamaan guru pada waktu pembelajaran, bukan menjawab telefon dan mesej melainkan perkara penting.
4. Perlu kah tunggu anak depan kelas?
Bagi saya cukup memberikan pelukan dan ciuman dan lambaian. Kemudian anda pergilah dating dengan husband biar kami jaga anak anda. Hehee. Berilah kepercayaan kepada kami dan yakinlah anak anda berada di dalam tangan pendidik yang berpengalaman. Nak tunggu juga? 15 minit sudah cukup.
5. Jika anak mengamuk berguling?
Baik. Cuba pujuk dulu. Biasanya memang guru akan bantu. Sekali lagi berikan kepercayaan kepada guru untuk mengendalikan anak anda. InshaAllah lama-lama anak akan ok bila dia tengok eh selamat rupanya saya di sini. Eh best rupanya. Eh ada kawan rupanya.
6. Peranan selepas sekolah.
Tugas kita ketika selepas sekolah adalah amat penting. Bila di rumah berbuallah dengan anak tentang sekolahnya atau kenangan anda bersekolah dulu. Katakan bahawa esok kita akan ke sekolah lagi. Mama nak Wafa senyum. Nanti jumpa kawan. Dapat main dengan kawan. Tidur awal semoga mood anak nanti baik. Tak mengamuk sebab tak cukup tidur.
Percayalah kata-kata ini: Mama yang cool akan menjadikan anak lebih happy dan tenang.
Tenang-tenang sahaja Mama. Anak anda pasti akan ok. Doa banyak-banyak kepada Allah mudahan Allah mudahkan perjalanan anak kita yang baru sekolah ini. Selalu sebarkan positive vibes kepada anak agar anak dan kita lebih tenang.
Nota:
Jika anak anda menangis berterusan atau anda terlalu bimbang, terdapat tanda anak kemurungan atau stress bila bersekolah, rujuklah kepada pengetua dan yang lebih pakar. Kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa seperti ASD/ADHD dan sebagainya, consult dulu dengan doktor dan OT.
Pihak sekolah perlu tahu keadaan anak anda. Biasanya anak istimewa yang bersekolah biasa adalah kerana ianya salah satu terapi mereka untuk membiasakan diri dengan persekitaran baru.
Bagi ibu bapa yang mungkin tidak tahu anak mereka mungkin ASD dan sebagainya, pasti mengharapkan pihak sekolah untuk alert dan aware.
Jadi, para pendidik awal kanak-kanak perlu tahu apakah tanda atau kelakuan anak istimewa ini. Pada saya wajib tadika untuk bekerjasama dengan mana-mana OT sebagai tempat rujuk.
Semoga tip dan perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Konon Niat Nak Memujuk, Tapi Mak Ayah Mohon Jangan Banyak BERJANJI Dengan Anak!

Pernah tak mak ayah berjanji dengan anak macam-macam sebab nak hentikan anak menangis atau konon nak pujuk si kecil daripada buat sesuatu yang tak elok?
Haaa… faham, sebenarnya bukan niat nak main-mainkan hati anak tetapi kadang ada yang terlupa. Atau mungkin sebab tengok anak dah ok, jadi mak ayah abaikan janji yang dah buat dengan anak.
Maka untuk tahu kesan dan cara terbaik selesaikan masalah berjanji dengan anak ini, kita semak cara yang dikongsikan oleh saudara Muhammad Ahmad ini…
Cara Yang Biasa Mak-mak Buat
“Adik mandi, makan, umie janji petang nanti kita pergi taman.”
Tapi bila sampai waktunya kita tidak tunaikan. Esok kita ulang skrip yang sama. Kita anggap anak-anak lupa sedangkan otak mereka telah program apa yang kita janjikan.
Akhirnya anak-anak akan kecewa. Mula tidak peka dengan arahan. Mereka mula anggap kita tidak jujur dan berbohong.
Sebab itulah saya pesan kepada isteri:
1. Jangan sesekali berjanji dengan anak, jika berjanji ‘wajib’ tunaikan. Jika tidak mampu pergi kepada anak ‘wajib’ minta maaf dan terangkan kenapa janji tersebut tidak dapat ditunaikan.
2. Didik anak buat sesuatu untuk الله sayang.
“Muhammad mandi,makan,solat,kemas tempat tidur pasti الله sayang,pasti الله bagi ganjaran. Apabila الله sayang Muhammad umie pun sayang,abi pun sayang,semua orang sayang”
3. Banyakkan memberi dari berjanji.
“Oleh kerana adik rajin,soleh. Umi dan abi hadiahkan adik sebuah basikal..?♂️”
4. Setiap percakapan sertakan perkataan INSYAALLAH (dengan hati yang ikhlas)
“Muhammad RAJIN mandi,makan,solat,bantu umi kemas rumah INSYAALLAH umi dan abi bawa pergi jalan-jalan di pantai ya”
Nampak tak setiap perlakuan, percakapan kita memberi impak terhadap emosi anak-anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita Ini Tidak Akan Lupa Saat Suami Hembus Nafas Akhir Di Depan Matanya

Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Reda Apa Yang Terjadi
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Dibaringkan Berdekatan Suami
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Berkat Kuasa Doa
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Kerja Baru
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Seronok Sertai Persatuan
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.

Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

