
Gaji lebih RM10,000, namun nafkah yang diterima isteri hanya sekitar RM100 hingga RM200. Lebih menyedihkan, setiap kali meminta wang membeli beras, gas memasak atau barang dapur, dia akan ditengking suami.
Selepas 39 tahun mempertahankan rumah tangga dan 17 tahun memilih untuk berdiam diri kerana terlalu terluka, wanita berusia 59 tahun itu akhirnya nekad mahu menamatkan perkahwinannya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh Perunding Keluarga dan Peguam Syarie, Suzana Ghazali selepas menerima panggilan telefon daripada wanita berkenaan yang sudah tidak lagi mampu bertahan dengan sikap suaminya.
Gaji Lebih RM10,000. Nafkah Isteri Cuma RM100
Menurut Suzana, wanita itu memulakan perbualan dengan luahan yang cukup menyentuh hati.
“Akak dah tak boleh hidup sama lagi dah. Tujuh belas tahun dah akak tak bercakap dengan dia.”
Apabila ditanya apakah punca sehingga dia sanggup mendiamkan diri selama itu, wanita tersebut menjelaskan suaminya memang seorang yang terlalu berkira sejak awal perkahwinan.
Katanya, ketika masih bekerja dia tidak pernah berkira membantu perbelanjaan keluarga walaupun gajinya tidak besar. Namun selepas mereka dikurniakan dua orang anak, suaminya meminta dia berhenti kerja kerana berjanji akan menyara isteri dan anak-anak sepenuhnya.
Malangnya, kehidupan selepas itu tidak seperti yang diharapkan.
Menurut wanita itu, suaminya hanya memberi sekitar RM100 hingga RM200 untuk kegunaan dirinya bersama anak-anak. Jika wang tersebut tidak mencukupi dan dia meminta tambahan bagi membeli keperluan asas seperti beras, gas memasak atau barang dapur, suaminya akan mengamuk, menengking dan menuduhnya hanya tahu meminta duit.
Tidak mahu terus bergaduh, dia memilih untuk mencari pendapatan sendiri dengan mengambil upah menjahit.
“Hasil duit menjahit itulah saya menyara diri dan anak-anak. Alhamdulillah, ketiga-tiga anak kami berjaya belajar sampai universiti,” katanya.
Suzana kemudian bertanya berapa sebenarnya pendapatan suaminya ketika itu.
Wanita berkenaan memberitahu sekitar tahun 2007 atau 2008, suaminya pernah menunjukkan slip gaji kepada anak sulung sebagai motivasi supaya belajar bersungguh-sungguh.
Jumlah yang tertera pada slip gaji itu melebihi RM10,000 sebulan.
Mendengar perkara tersebut, Suzana mengakui beliau sendiri terkejut.
Lebih mengejutkan apabila wanita itu turut berkongsi suaminya tidak pernah berkira apabila melibatkan rakan-rakan. Jika ada rakan menelefon mengajak keluar atau meminjam wang, suaminya mudah menghulurkan bantuan. Malah ketika masih bekerja, suaminya juga gemar membelanjakan wang untuk mengubah suai kereta.
Namun layanan terhadap isteri jauh berbeza. Peristiwa yang paling meninggalkan kesan berlaku apabila bekalan gas memasak dan beras di rumah habis. Bila diminta, suami menengking.
Wanita itu menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri membeli gas baharu, beras dan sedikit barang dapur. Apabila suaminya pulang ke rumah, dia hanya memaklumkan perkara tersebut.
Namun yang diterima bukan ucapan terima kasih, sebaliknya tengkingan.
“Masa itu saya rasa kosong sangat,” luahnya kepada Suzana.
Menurut wanita itu, selepas suaminya bersara pada tahun 2015, sikap tersebut masih tidak berubah. Malah sejak tahun 2022, dia pula yang menanggung sepenuhnya bayaran sewa rumah yang mereka diami.
Bagi Suzana, sepanjang lebih 28 tahun mengendalikan kes-kes kekeluargaan, beliau sudah menemui ramai wanita yang bertahan dalam perkahwinan dengan harapan pasangan akan berubah.
Namun hakikatnya, ada perubahan yang tidak pernah berlaku walaupun usia semakin meningkat.
Malah beliau pernah mengendalikan kes seorang wanita berusia 73 tahun yang akhirnya memilih perceraian kerana suaminya kekal panas baran dan terlalu berkira walaupun sudah puluhan tahun hidup bersama.
Menurut Suzana, setiap pasangan mempunyai hak untuk membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan diri dan keluarga. Namun apa yang lebih penting ialah jangan terlalu lama menunggu perubahan sehingga akhirnya kehilangan ketenangan hidup sendiri.
“Ramai yang masih berharap pasangan akan berubah. Persoalannya, sampai bila? Jangan sampai usia semakin lanjut, tetapi kita masih hidup dalam luka yang sama,” katanya.
Apa pandangan anda? Jika suami bergaji lebih RM10,000 tetapi hanya memberi sekitar RM100 hingga RM200 untuk isteri dan anak-anak, kemudian menengking setiap kali isteri meminta duit membeli barang dapur, adakah anda masih sanggup bertahan?