Tragedi seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun, mati dilanggar kenderaan dalam kejadian di Kilometer 80 JRTB Gerik-Jeli di sini, awal pagi kelmarin memberi kesan yang mendalam di kalangan wanita bergelar ibu.
Kisah tragis yang berlaku tatkala kaum ibu diraikan dek sambutan Hari Ibu, ia mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki oleh manusia, bahkan turut dirasai oleh haiwan, walaupun tanpa suara.
Mana tidaknya, tular di media sosial video yang dimuat naik ke media sosial oleh saksi kejadian menunjukkan ibu gajah setia menanti, dengan meletakkan kepala di lori berkenaan seakan tidak dapat menerima kenyataan pahit akan kehilangan anaknya itu.
“Saya boleh dengar sang ibu (gajah) menangis sambil menolak lori untuk cuba keluarkan anaknya.” Itu merupakan luahan seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian melibatkan sebuah lori dipercayai melanggar mati anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak baru-baru ini.
Memetik laporan Kosmo, Amir Faizal menerusi siaran langsung di Facebook berkata, sewaktu terlibat dalam rondaan memantau keselamatan, dia mendengar secara jelas tangisan ibu mamalia tersebut yang bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya.
“Ibu gajah tersebut turut mengeluarkan satu bunyi kuat ketika cuba menarik anaknya keluar daripada kepala lori ketika enjin masih hidup.
“Malangnya, ia (ibu gajah) tidak mampu menolak lori tersebut dan akhirnya menyerah sebelum pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba,” katanya.
Selain itu, menerusi ruangan komen, orang ramai turut meluahkan rasa hiba dan terharu dengan usaha gajah betina tersebut untuk menyelamatkan anak jantannya.
Menurutnya lagi, bahagian hadapan lori itu turut rosak akibat usaha ibu gajah yang mahu menyelamatkan anaknya.
Menurut Mohd Amir, pada awalnya gajah berkenaan menunjukkan tindak balas agak agresif, namun akhirnya berjaya ditenteramkan selepas diberikan ubat pelali.
Untuk info, pada Ahad, dilaporkan seekor anak gajah jantan berusia kira-kira lima tahun mati selepas digilis sebuah lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sumber : Mohd Amir Faizal