
Gagal tamatkan PhD dalam tempoh ditetapkan, wanita & 3 penjamin diarah bayar pinjaman pendidikan Mara RM857,000.
Mahkamah Tinggi Sungai Petani di sini menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjumlah RM857,000.
Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam berkata, beliau mendapati tiada merit dalam alasan rayuan berkenaan dan tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah perbicaraan.
“Penemuan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata,” katanya dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan minggu lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan MARA tidak terhalang oleh Akta Had Masa 1953 memandangkan tindakan undang-undang itu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Mahkamah turut memerintahkan perayu membayar kos sebanyak RM10,000.
Kes itu membabitkan Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, yang menerima pinjaman MARA pada 2011 untuk melanjutkan pengajian sarjana di University of Manchester sebelum memperoleh pinjaman kedua pada 2013 bagi mengikuti program Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman berkenaan.
MARA memulakan prosiding undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal membayar balik pinjaman yang diterimanya.
Dalam rayuannya, Siti Norbaya berhujah bahawa beliau menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh yang ditetapkan dan mendakwa tuntutan MARA di bawah perjanjian pinjaman 2011 terhalang oleh Akta Had Masa 1953.
Bagaimanapun, Darmafikri berkata, terma sesuatu kontrak mengikat pihak-pihak yang terbabit dan mahkamah perlu melaksanakan niat jelas pihak berkenaan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian.
Beliau berkata, Klausa 4.6 surat tawaran MARA 2013 dan Klausa 3.1(a) perjanjian pinjaman 2013 dengan jelas mewajibkan Siti Norbaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun.
Menurutnya, menerusi surat bertarikh 15 Februari 2017, Siti Norbaya mengakui tidak dapat menamatkan pengajian dalam tempoh tajaan dan diberikan lanjutan sehingga Ogos 2017.
Bagaimanapun, beliau masih gagal menamatkan pengajiannya.
“Mahkamah mendapati kegagalannya menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan adalah satu kemungkiran kontrak.
“Sehubungan itu, plaintif (MARA) berhak menuntut bayaran balik keseluruhan jumlah pinjaman menurut Klausa 3.5 perjanjian pinjaman 2013,” katanya.
Darmafikri berkata, niat pihak-pihak yang terlibat sudah jelas sejak awal dan Siti Norbaya tidak boleh membuat tafsiran berbeza terhadap perjanjian bagi mengelak tanggungjawab membayar balik pinjaman.
“Walaupun dia mendakwa mendapat status reinstatement daripada universiti itu, perkara itu tidak membabitkan mahupun mengikat MARA,” katanya.
Beliau turut mengambil maklum bahawa Mahkamah Sesyen mendapati Siti Norbaya masih belum menamatkan pengajian PhD pada tarikh perbicaraan dan oleh itu bertanggungjawab membayar balik keseluruhan jumlah pinjaman di bawah perjanjian 2013.
Mengenai isu had masa, Darmafikri memutuskan MARA mempunyai budi bicara kontrak untuk menentukan bila bayaran balik perlu dibuat dan telah menangguhkannya ketika wanita itu menyambung pengajian di bawah pinjaman kedua.
Susulan itu, katanya, saman yang difailkan pada 2022 masih berada dalam tempoh had masa berkanun. Kredit :- Harian Metro