
“Saya sangat sedih mengenangkan arwah kerana dia dijangka menimang cahaya mata sulung bulan depan iaitu pada hari kelahirannya. Namun dia pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri yang sarat mengandung.”
Demikian luahan pilu Zaiton Abdul Rahman, 64, ibu kepada Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Sungai Golok, Thailand, malam tadi.
Menurut Zaiton, kesedihan yang dirasainya bertambah apabila mengenangkan anak keempat daripada enam beradik itu baru sahaja pulang ke rumah mereka di Pasir Mas pada Khamis, sebelum kembali semula ke Golok sekitar jam 3 petang semalam.
“Rutin arwah setiap kali mahu kembali ke Golok, dia akan peluk cium saya dan suami. Selepas enam jam anak kembali ke Thailand dalam keadaan sihat, siapa sangka saya menerima panggilan anak meninggal dunia ditembak.
“Malah hasrat arwah Fuad untuk melihat anak sulung bulan depan juga tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka.
Zaiton yang merupakan pesara guru memberitahu, anaknya telah mendirikan rumah tangga dengan Wan Fatihah Mat Husin, 35, dari Rantau Panjang kira-kira dua tahun lalu.
“Selepas berkahwin anak ulang-alik tinggal di Pasir Mas dan Golok memandangkan besan saya tinggal di Golok, jadi anak saya tinggal di sana sambil berniaga beg dan batu permata dalam talian.
“Boleh dikatakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu arwah akan pulang ke rumah memandangkan suami saya sedang sakit dan terlantar.
“Menantu juga menjalani pemeriksaan kandungan di sini dan sepatutnya Selasa ini dia akan pulang semula kerana menantu perlu berjumpa doktor pakar.
“Saya tidak sangka pelukan kami semalam adalah yang terakhir. Tiada tanda pelik ditunjukkan arwah dan kami berborak seperti biasa sambil memaklumkan akan pulang semula pada esok. Apa yang berlaku memang sedih namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Jenazah Mohd Fuad Fahmie yang maut ditembak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada jam 2.30 petang Ahad.
Sebelum itu, arwah yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Sumber: Harian Metro
Artikel lain: Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Ditembak Di Golok, Terkena Lapan Das Tembakan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE