Rasanya tidak cukup sekadar ucapan terima kasih, kerana pengorbanan petugas kesihatan barisan hadapan terlalu besar. Mereka berjuang siang dan malam demi menyelamatkan nyawa seorang demi seorang pesakit Covid-19.

Bergelut dengan virus yang tidak nampak dek mata kasar bukanlah sesuatu yang mudah kerana bila-bila masa sahaja jika tersilap langkah nyawa mereka sendiri akan terancam. Bertugas hingga tidak sempat kisahkan diri sendiri, apatah lagi memikirkan tentang anak di rumah.

Ikuti perkongsian, Ezatul Marini ini:

Pagi ini saya bangun dengan penuh rasa syukur. Syukur kerana masih waras, masih utuh hati menghadap keadaan yang belum pasti. Kalau tidak fikirkan bukan saya seorang sedang berjuang dengan kekalutan rasa dan kebimbangan, mahu gundah-gulana sepanjang hari barangkali.

Namun, dalam rasa syukur, dalam rasa lapang dada, hati tidak pernah berhenti terkenangkan mereka yang melaungkan pada semua slogan #weworkforyousoyoustayathome.

Siapa mereka itu? Aduh, hati saya seolah tertikam sembilu. Para petugas barisan hadapan yang sudah barangkali tidak mampu lagi memikirkan apa kemungkinan yang bakal berlaku pada mereka.

Sedang kita, sedang kami semua berkeluh-kesah, panik dan barangkali juga masih keras kepala berdegil tidak mahu menurut perintah, tidak akur dengan peringatan, pujukan hingga membawa kepada amaran dan tindakan tegas, kalian tiada sebarang pilihan.

IKLAN

Di kala kami berkeluh-kesah melayan kerenah dan ulah anak-anak di rumah, hampir keseluruhan kalian langsung tidak punya kesempatan untuk fikirkan apa yang anak-anak makan, sedang apa mereka dan sihatkah. Sedang keadaan diri sendiri juga kalian tidak punya masa untuk kisahkan.

Begitu Besar Jihad Barisan Hadapan

Allahu Akbar! Andai kami rasa kami sudah cukup berkorban menurut perintah, apalah yang hendak dibandingkan dengan jihad dan perjuangan kalian. Andai kami rasa cukup payah menghabis masa duduk terkurung sepanjang hari, adilkah kami terhadap apa sedang kalian kerjakan?

Sungguh! Tidak akan terbalas jasa kalian kepada seluruh penduduk negara ini. Tidak layak kami bandingkan sumbangan kami yang kecil ini kepada negara berbanding apa yang sedang kalian lalui.

Kami tiada sumber lain untuk disalurkan kepada anda. Kami cuba ada doa tulus yang tidak berhenti kami tembak kepada Pemilik Alam agar kalian terus dalam perlindungan dan peliharaan-Nya.

IKLAN

Kami sedih, kami hiba melihat keresahan kalian. Kami sayu memandang kerinduan kalian, kami hanya ada ingatan tulus dan permintaan kepada Pemilik Dunia agar sentiasa bantu kalian semua. Agar segala wabak ini diangkat segera dan kalian semua terus-terusan sejahtera.

Kalian Adalah Wira

Kalianlah wira! Hari ini barangkali semuanya ternampak payah, segalanya ternampak melelahkan, percayalah ada ganjaran besar menanti kalian di hujung perjuangan besar ini.

Teruslah berkuat wahai wira wirawati. Kami pasti ramai yang semakin lelah, tidak kurang yang sudah kering emosi dan motivasi. Yakinlah! Tetaplah berkuat! Doa kami sentiasa mengiringi. Di belakang kalian, ada kami dengan kasih sayang dan doa yang tidak mati.

IKLAN

In shaa Allah. Ini perjuangan kita bersama.
Kita pasti menang kerana cinta Tuhan sentiasa bersama kita semua.

Terima kasih para frontliners!

Sumber: Ezatul Marini

MW: Semoga Allah membalas segala jasa petugas kesihatan barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja. Insyallah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI